KLR 650







Kawasaki KLR 650

Ulang tayang filem Ali Setan baru baru ini banyak mengembalikan gambaran zaman kegemilangan motosikal "scrambler" sekitar era tahun lapan puluhan dulu. Jenis scrambler seperti ini sekarang kerap dirujuk sebagai jentera kategori "DP" (dual-purpose) yakni dwi-kegunaan untuk jalan biasa dan juga di luar jalan. Dengan golongn peminatnya yang tersendiri, jentera DP menggambarkan imej lasak atau rugged bagi pemiliknya, dan ianya sesuai untuk pelbagai kegunaan baik ke pejabat mahupun tunggangan santai jarak jauh.
Salah sebuah lagenda jentera DP ini ialah siri KLR dari Kawasaki. Bermula dengan pengeluaran siri KL di hujung tahun tujuh puluhan, KL250 pernah digunakan Angkatan Tentera Malaysia sebagai jentera gerak cepat nya. Mungkin ada yang masih mengingati KL650 Tengai, yang masih kelihatan di jalanraya Malaysia.
Meneruskan legasi ini ialah keluaran terbaru dari Kawasaki Malaysia iaitu KLR650. Jentera ini meneruskan penggunaan enjin satu selinder bersesaran 651cc DOHC empat-lejang sejukan cecair, yang disuap oleh karburetor Keihin CVK40. Ia mudah dihidupkan dengan penghidup elektrik dan juga gabungan sistem pelepasan tekanan Kawasaki (Kawasaki Automatic Compression Release) yang mampu meringankan mampatan piston.Konfigurasi "oversquare" dengan piston 100mm berbanding lejang 83mm menghasilkan torque sebanyak 50Nm pada 5,500 rpm . Tenaga sebanyak ini cukup banyak untuk memacu jentera 175kg ini menyusuri jalan bandar dengan tangkas dan cepat. Salah satu kelebihan jentera DP ialah ketinggiannya yang memberikan pandangan hadapan yang jelas, dan KLR 650 ini mempunyai ketinggian pelana 890mm. Kuasa enjinnya bertenaga dan cukup untuk disebarkan melalui lima nisbah gear bagi menangani kehendak kuasa baik di jalanraya mahu pun untuk tunggangan jelajah hutan atau luar jalan.





Malah, tunggang-uji yang dijalankan menggambarkan yang jentera 43hp ini mampu dinikmati sebagai sebuah fun-bike yang akan bertindak balas dengan baik kepada apa jua kehendak penunggangnya. Jentera ini mampu memberikan keseronokan yang di mahukan dengan kawalan mudah dan kemampuannya menangani tekanan kehendak penunggangan yang lasak atau kasar. Kuasanya akan menyebabkan bahagian depan motosikal agak ringan jika ditunggang laju, dan ianya mampu mencecah 150kmj dengan agak cepat. Namun begitu, jentera DP seperti ini bukannya di sasarkan untuk kelajuan, tetapi lebih kepada julat kuasa yang sekata yang mudah di kawal, untuk kita menikmati tunggangan yang mengujakan, malahan untuk tunggangan ekstrim jika anda mampu mengawalnya. Ini juga banyak dibantu oleh kestabilan jentera dan juga kemampuan penyeraphentak dalam menangani penurunan mendadak atau hentakan kasar. Penyeraphentak Uni-Trak belakangnya boleh dilaras pada lima peringkat, manakala bahagian hadapan menggunakan penyeraphentak hidraulik 41mm dengan jarak penurunan serapan sejauh hampir lapan inci.

Lampu utamanya tampak amat menarik dengan dua lampu dan menggambarkan ciri kemodenan berbanding satu lampu seperti model sebelumnya. Paparan meter juga adalah menarik dan kemas, dengan ruang mencukupi di kiri dan kanan jika ingin menambah suis aksesori seperti lampu sorot jika perlu. Fairingnya juga cukup besar di kiri kanan tangki bahanapi, untuk mengalih aliran air hujan dalam tunggangan basah, dan banyak membantu mengurangkan tampanan angin. Penggunaan cakera brek kelopak bertebuk depan dan belakang juga memberikan satu rupabentuk yang meyakinkan.
Tunggangan KLR 650 ini banyak menyerupai tunggangan jentera lain yang lebih besar dan mewah, dan mampu memberikan keselesaan dan kemudahan pengendalian yang diinginkan. Pada harga RM 37,900.00 nyata ianya sebuah jentera yang perlu diberi pertimbangan dalam pemilihan anda.













Enjin 651cc satu selinder empat-lejang DOHC sejukan cecair
Kuasa max 44hp
Torque max 50Nm pada 6,500rpm
Transmisi 5-kelajuan
Berat kering 175kg
Harga RM 37,900.00

2 comments:

Unknown said...

saya tgh cari klr650 kat malaysia.ada idea kat mana nk beli?tq

Anonymous said...

second hand dalam mudah ada berapa biji..cuba tengok