Bet and Win 150cc
Kegemaran kepada motosikal jenis skuter memang telah lama tersemat di hati penunggang Malaysia. Sebut saja jenama Vespa, Piaggiodan Lambretta, mungkin ramai yang membayangkan zaman agogo dan pop yeh-yeh, di mana sewaktu itu kegunaan skuter adalah amat meluas sebagai kaedah pengangkutan yang mudah dan ekonomi.
Ritz Motor selaku pengedar Piaggio dan Gilera di Malaysia juga membawa masuk jenama Kymco, dan salah sebuah model Kymco yang di bawa masuk ialah skuter Bet and Win 150cc.
Dengan enjin 152cc empat lejang SOHC, BnW ini melakar kembali keseronokan menunggang, baik untuk pergi kerja mahupun santai, dengan pecutan yang bertenaga. Kuasa dihantar ke roda belakang 12"nya melalui sistem CVT talisawat, dengan kuasa pemberhentian meyakinkan melalui brek cakera depan dan belakang. Ruang yang terdapat di bawah pelananya cukup luas untuk penyimpanan helmet dan bekalan baju hujan seandainya diperlukan.
Tunggangan dirasakan selesa dengan penggunaan dua penyerap hentak teleskopik belakang dan juga fork teleskopik hadapan. Kedudukan suis kawalan mudah dicapai dan kawalan sewaktu mengambil selekoh juga dirasakan menyakinkan dengan tapak atau wheelbase 55inci yang agak panjang. Ciri ini juga menyumbang kepada keluasan tempat duduk yang
selesa bagi penunggang juga pembonceng.
Mudah dikendalikan, ia sesuai untuk pelbagai perjalanan dekat mahupun jauh oleh kedua dua penunggang lelaki atau perempuan. Atau mungkin ianya sesuai untuk membawa yang tersayang pergi bersantai ke mana saja asal masa dan kelapangan mengizinkan. Jarak tidak menjadi halangan dengan sistem sejukan cecairnya yang mampu menangani kehendak kawalan suhu enjin yang optima.
Skuter ini ditawarkan oleh Ritz Motor melalui pengedarnya di seluruh Malaysia dengan harga atas jalan sebanyak RM6,435 (tanpa insurans).
Momos Forza 135
Capsicum frutescens Forza
Apa tu?
Sudah tentu ramai yang pelik membaca atau cuba menyebut ayat tersebut. Capsicum frutescens merupakan nama saintifik bagi cili padi, manakala Forza pula ialah model Mofaz Motosikal atau Momos,kategori monkey-bike yang telah dipandu-uji baru baru ini.
Jentera comel 135cc ini memang mempunyai gaya tersendiri dan tampak mengujakan, dengan rekabentuk bercirikan Eropah yang menarik pada kerangka aloi aluminiumnya. Penggunaan aloi ini berjaya mengurangkan berat keseluruhannya, dan turut digunakan untuk lengan ayun belakang. Aloi ringan dan tegas ini menghasikan stabiliti dan ketegasan kerangka yang baik untuk tunggangan yang mantap. Jentera ini dilengkapi dengan brek cakera, tetapi perhatian harus juga diberikan kepada hos brek teflon yang digunapakai pada motosikal ini, dan juga kepada sistem gantungan monoshock bolehlaras di bahagian belakang. Dan ekzos bawah-ekornya dibekalkan oleh PDK untuk menghasikan bunyi yang padu dan mengasyikkan. Ianya menampilkan lampu hadapan yang cukup terang, dan disudahi dengan penggunaan lampu LED sebagai lampu utama belakang. Pendekata, jentera ini banyak menggunakan bahan dan peralatan berkualiti dalam pembikinannya.
Semua ini menyumbang kepada sebuah tunggangan yang mengujakan dan agak selesa alaupun dengan saiznya yang kecil. Daya pecutannya juga cukup untuk mengejutkan penunggang lain yang akan ketinggalan apabila lampu isyarat bertukar hijau, mungkin sedikit tergamam kerana tidak dapat mengejar anda degan segera.Jentera ini memang menarik tolehan ramai, dan memang sesuai dijadikan motosikal permulaan bagi anak anak muda yang mungkin ingin mula berjinak dengan jentera klac mati. Malah tidak menghairankan bahawa mungkin satu hari nanti akan wujud sebuah kelab Forza di Malaysia.
Inginkan kelainan dalam penampilan anda? Mungkin ini pilihan yang sesuai.
"Cilipadi pedas, padu, menyengat."
Spesifikasi
Enjin: Satu selinder 4-lejang SOHC
Gerek dan Lejang: 55 x 56 mm
Sesaran: 133.1cc
Nisbah mampatan: 9.1:1
Penghidup: Elektrik dan tendang
Nyalaan: Magneto CDI
Kotak gear: 4 kelajuan
Klac: Manual basah
Hantaran akhir: Rantai
Dimensi PxLxT: 688x1655x1055mm
Kelegaan: 180mm
Berat kering: 82kg
Kapasiti tangki bahanapi: 4 liter
Brek: Cakera Depan Belakang
Tayar: Dpn 3.3-12-41P Blkg 2.8-12-41P
Suspensi: Dpn Teleskopik hidraulik Blkg Monoshock
Sejukan: Udara
Karburetor: PZ20 26mm
Konvoi "Kesihatan" ke Pangkor
Konvoi "Kesihatan" ke Pangkor
Kawasaki Z1000
Inginkan kelainan dari rakan rakan bermotosikal anda? Inginkan rupa yang mengundang tolehan sewaktu anda lalu? Dengan rupa yang retro seakan Transformers atau mungkin Power Rangers, Kawasaki Z1000 mampu berbuat demikian. Deruman ekzosnya yang dalam tapi lembut juga menggamit perhatian, tetapi jangan tertipu dengan kemerduannya, ianya membayangkan kuasa yang perlu dihormati.
Sekali imbas dari hadapan, jentera ini ibarat merenung kita, sesuai dengan imej streetfighter (wira-jalanan..?) yang diwakilinya. Jentera streetfigters ini semakin popular di Eropah masa kini. Model Z1000 ni merupakan kesinambungan dari model Z750 terdahulu dengan janakuasa berasaskan enjin Z-9 yang telah ditala seterusnya bagi mendapatkan keseimbangan di antara kuasa dan emisi. Isu emisi ini sememangnya semakin mendapat perhatian legislasi atau perundangan diseluruh dunia, malangnya amat sukar untuk menjana kuasa maksima dengan emisi yang mesra alam, namanya pun enjin yang merupakan salah satu punca pencemaran udara.
Stail yang tampak agresif dengan garisan atau tebing tajam sesuai dengan sasaran pasaran Eropah ini mungkin tampak menawan bagi sesetengah orang, tetapi bagi segolongan yag lain pula, ianya mungkin nampak pelik…. Tak ada jalan tengah, Cuma samada anda sukakannya (atau mungkin anak lelaki anda yang lebih menyukai nya..) ataupun anda langsung tak meminatinya… Tapi memang, ianya sekadar rupa luaran, mungkin bagi golongan peminat motosikal tegar (hardcore..?), kenikmatan menunggang lebih merupakan keutamaan.
Kenikmatan menunggang? Hmmm… satu ayat yang subjektif, dan isu yang berat. Mungkin boleh disimpulkan dengan keseronokan secara keseluruhan mencakupi semua aspek penunggangan. Namun, memang tiada motosikal yang sempurna. Z1000 ini memang dirasakan berkuasa, dan cepat mendaki rpm, walaupun terasa agak tinggi (4100 @ 100kmh dalam gear 6). Sesuai dengan kategori streetfighter dan naked, kelajuan akhir bukanlah ukuran untuk jentera ini, dan fairing atau penghadang angina nya yang kecil juga kurang mampu menampan ulat atau habuk dari mengotori visor helmet anda. Tetapi, julat kuasa di pertengahan cukup meyakinkan, dan tidak akan tersentak sentak walaupun menggunakan gear 6 dalam pemanduan bandar, kawal saja pendikit dengan baik, tak perlu sangat menurunkan gear.
Namun kesimpulannya jentera ini mampu menyeronokkan, ujian penuh tak dapat dijalankan kerana kesuntukan masa, Perjalanan jauh mungkin merengsakan pada kelajuan tinggi dengan fairing comelnya, dan sedikit gegaran terasa pabila melampaui 6500 rpm, boleh merimaskan sekiranya menunggang berjam jam. Tapi, ini bukan motor touring, juga bukan superbike, ianya streetfighter, dan bagi sebuah streetfighter, ianya amat mengancam.
Momos Pantera CX 135
Keseronokan sebuah motosikal serbaguna mungkin dapat dirasai dengan satu lagi model motosikal dari Mofaz Motosikal iaitu Momos Panthera CX 135. Jentera ini juga merupakan jentera seakan enduro yang menggunakan enjin satu selinder SOHC empat lejang sejukan udara dengan penyejuk minyak bersesaran 133.1 cc dengan nisbah mampatan 9.2:1, dilengkapi sistem nyalaan elektronik dan juga penghidup elektrik. Hantaran kuasa ke rantai pemacu disalurkan melalui kekotak gear empat kelajuan untuk mencapai kelajuan yang mencukupi untuk memotong kenderaan lain dengan agak cepat. Brek cakera hadapan nya yang digabungkan penggunaannya dengan brek gelendung belakang menjanjikan kuasa pemberhentian yang cukup selesa dan selamat.
Berat 116kg nya cukup selesa untuk kendalian mudah jentera ini, dan ia dilengkapi penyeraphentak belakang PDK dengan tangki simpanan (reservoir) yang mampu menangani ketidakseragaman jalanraya ataupun lopak kecil.
Dilengkapi tempat barangan hadapan dan belakang agar mudah menambat beg atau barangan, jentera ini sesuai digunakan untuk perjalanan meredah alam semulajadi, dengan kelegaan buminya sebanyak 220mm. Seperti abang abang enduro yang lain, pelindung tangan turut dipasang di hendalnya sebagai aksesori standard, dengan corak gentian karbon sama seperti pelindung kepanasan yang dipasang pada ekzosnya.
Paparan meter agak jelas dengan grafik terang dan merangkumi tolok bahanapi disamping maklumat kelajuan dan lampu isyarat yang lain. Seperti jentera enduro lain, posisi duduk agak selesa untuk kawalan jentera yang baik, dan ianya tidak meletihkan jika terpaksa mengharungi kesesakan jalanraya di tengah bandar atau kota. Malah, kelegaan bumi yang tinggi mungkin mampu membantu untuk membolehkannya menggunakan simpanan jalan di tepi, atau menyeberang pembahagi jalan yang rendah. Sememangnya agak ramai juga pengguna motosikal yang gemarkan jentera berasaskan enduro sebagai alternatif praktikal di kota. Mungkin zaman kegemilangan enduro atau scrambler akan kembali bersinar seperti di awal 80an dulu. Jentera ini ditawarkan dengan harga atas jalan sebanyak RM5,647; satu lagi opsyen menarik untuk pilihan pengguna motosikal Malaysia, ataupun mungkin juga sebagai jentera pemula atau starter-bike bagi anak muda yang ingin berjinak dengan jentera klac mati.