Media Test Drive Volvo XC90 D5 21 & 22 Jan 09
Volvo XC90 D5 mengujakan.
Sejak versi petrol Volvo XC90 2.5T dilancarkan pada tahun 2003 di Malaysia, SUV mewah 7-tempat duduk pertama telah menguasai segmen SUV mewah terbaik selama 5 tahun berturut-turut. Volvo XC90 ini sesuai untuk kegunaan harian untuk bekerja, bersantai, memandu di bandar mahu pun percutian hujung minggu. XC90 telah dilancarkan secara global pada awal tahun 2002 sebagai SUV lima-pintu pertama pertama Volvo Cars, dengan tujuh-tempat duduk , dan dilengkapi All-Wheel Drive yang dikawal secara elektronik.
Volvo XC90 D5 yang dipasang di dalam negeri kini didatangkan dengan varian enjin diesel turbo lima-silinder.
BH Auto telah berpeluang memandu-uji XC90 D5 ini dari Kuala Lumpur ke Lumut dan balik. Pandu-uji yang dirancang melalui pelbagai rupabentuk jalan daripada lebuhraya hinggalah ke lajan persekutuan dan juga jalan kampung, berjaya memberikan gambaran pengenalan bagi kemampuan enjin dan juga untuk menilai hantaran kuasa enjin D5 ini. Perjalanan yang juga disertai model petrol 2.5T ini juga telah membolehkan perbandingan terus di buat di antara kedua dua model XC90 tersebut.
Ternyata enjin diesel turbo melintang 2.4 liter 5 silinder sebaris yang mampu menjana 185 kuasa kuda dan 400 Nm tork melalui transmisi Geartronic automatik 6-kelajuan itu tidak menghampakan dan mampu menangani kehendak kuasa pemandunya. Seperti yang boleh dijangkakan, pemanduan versi petrol adalah lebih senyap, namun begitu enjin D5 diesel ini juga agak senyap jika dibandingkan dengan kenderaan diesel lain. Namun apa yang nyata ialah penggunaan bahanapinya, yang nyata lebih menjimatkan. Penggunaan bahanapi lebihkurang 8.5liter/100km bagi versi diesel ini sudah cukup untuk menjadikan ia sebagai satu opsyen menarik dalam penentuan pilihan memandangkan harga kedua duanya yang sama iaitu pada RM355,000 (atas jalan tanpa insurans). D5 ini mampu untuk memecut dari pegun ke100km/h dalam hanya 11.5 saat, dan ini mungkin cukup untuk membayangkan kemampuannya bagi memberikan pemanduan yang mengujakan.
Ujian di jalan berliku di kawasan Bukit Beruntung juga menyakinkan kemampuan kenderaan besar ini dalam mengekalkan stabiliti walaupun di kerah. Hantaran kuasa juga agak memuaskan pada keseluruhan julat rpm seperti yang dikehendaki. Dan, dengan mengekalkan tradisinya sebagai jenama kenderaan amat mengutamakan keselamatan, ianya juga dilengkapi pelbagai ciri keselamatan berteknologi tinggi seperti DSTC (Kestabilan Dinamik dan Kawalan Pacuan), WHIPS (Sistem Perlindungan Tali Cemeti), SIPS (Sistem Perlindungan Impak Sisi) dan IC (Tabir Boleh Kembung).
Mungkin persoalannya di sini ialah dari segi pilihan. Dengan harga yang sama, pembolehubah yang akan dipertimbangkan adalah samada anda inginkan sebuah kenderaan petrol yang senyap sedikit, ataupun sebuah kenderaan diesel yang menjimatkan. Mungkin ada yang mengatakan bagi kenderaan bersaiz sebegini, diesel adalah lebih praktikal dengan tork yang tinggi dan sekata.
Apa pun, XC90 D5 ini memang sebuah kenderaan yang mengujakan, menjimatkan dan perlu dipertimbangkan dalam pembelian sebuah SUV. Yang pastinya, tahap keselamatan Volvo yang tinggi akan dikekalkan dalam kenderaan ini. Ia didatangkan dalam empat warna – Metallic Biru Nilam Hitam, Mutiara Tiram Kelabu, Metallic Perak Elektrik dan Metallic Biru Bayangan.
Enjin: 2400cc turbo-diesel 5-selinder sebaris
Kuasa max 185hp @ 4000rpm
Maximum torque 400 Nm@ 2000 - 2750rpm
Transmisi 6 kelajuan auto
Kelajuan maksima 190kmh
Harga RM355,200.00 (atas jalan tanpa insurans)
Komen BH Auto :"SUV yang selamat, mengujakan dan menjimatkan"