Caponord baru dijangka lebih berbisa



Aprilia Caponord 1200 telah ditampilkan buat tontonan orang ramai sewaktu perjumpaan pengedar Piaggio di Monte Carlo baru baru ini. Motosikal baru ini juga diwar-warkan sebagai Aprilia Tuareg 1200 dan ianya jelas dibina berdasarkan platform Dorsoduro 1200 dengan pengaruh reka bentuk Aprilia RSV4.

Model ini akan mewakili cabaran Aprilia kepada Ducati Multistrada 1200 dan model model seangkatannya. Besar kemungkinan Aprilia telah menggunakan Dorsoduro 1200 sebagai asas untuk Caponord 1200 ini, dan bukannya Dorsoduro 750 seperti yang dijangka pada awalnya. Caponord baru ini mungkin mampu menjana 130hp, dan model kembara-wisata bergaya Itali ini mungkin akan mula ditawarkan sebagai model 2013, dan akan dibekalkan dengan brek anti-kunci (ABS) beserta sistem gantungan aktif yang akan meletakkannya setanding dengan model model dari BMW dan Ducati.



Aprilia berkemungkinan besar akan membuat pelaburan dalam kemanjuan elektronik motosikal bagi Daponord 1200 ini, dan bukannya statistik enjin yang akan menjadi ukuran. Bermodalkan pakej Kawalan Prestasi Aprilia (APRC) elektronik yang digunapakai pada model model RSV4 dan Tuono V4R, Aprilia tentunya akan mengorak langkah bijak untuk meneruskan penggunaan kemajuan sistem elektronik sebagai penanda-aras yang baru, dan menawarkan Caponord 1200 ini dengan sistem elektronik paling maju dalam industri ini.

Can-Am Spyder pemasangan tempatan






USF-Hicom lancar Can-Am Spyder pemasangan tempatan

MOTOSIKAL unik BRP Can-Am Spyder kini dipasang dalam negara oleh pengedar barunya iaitu USF-Hicom (Malaysia) Sdn Bhd. Pemasangan tempatan ini berikutan kejayaan DRB-Hicom mendapat hak pengedaran motosikal beroda tiga tersebut, yang dikeluarkan oleh Bombardier Recreational Products (BRP). Usaha tersebut dilakukan agar motosikal tesebut mampu ditawarkan pada harga yang lebih mampu milik.

Motosikal Can-Am SPyder ini telah terjual di lebih 58 buah negara semenjak mula diperkenalkan lima tahun lepas. Model terkininya merupakan model Can-Am Spyder Roadster yang telah dipertingkatkan dari segi prestasi dan ciri kemewahan berbanding model terdahulu. Motosikal Spyder ini unik dari segi tapak rekabentuknya yang berbentuk 'Y' dengan dua roda di hadapan dan satu di belakang. Dua model Spyder ini ditawarkan untuk pengguna Malaysia iaitu model Roadster Sports bagi mereka yang menginginkan gaya tunggangan aktif dan sporti, manakala Roadster Touring pula lebih disasarkan bagi perjalanan kembara jarak jauh.

Kedua dua nya dikuasai enjin Rotax 998cc dengan kekotak gear lima kelajuan. Teknologi Bosch turut digunakan untuk kawalan stabiliti kenderaan nya (Bosch Vehicle Stability System) yang mengabungkan kawalan brek ABS, kawalan pacuan TCSdan juga kawalan stabiliti, di samping stering kuasa dinamik (Dynamic Power Steering DPS).

USF-Hicom menyasarkan jualan sebanyak 15 hingga 18 unit an-Am Spyder sebulan bagi tahun 2012 dan setakat ini telah menerima 50 tempahan pra-pelancaran. Ia boleh didapati pada harga RM103,800.00 hingga RM129,190.00 bagi model RS, manakala model RT pula ditawarkan pada harga RM134,800.00 hingga RM159,290.00 dan didatangkan dengan jaminan dua tahun. Majlis pelancaran BRP Can-Am Spyder ini telah dilangsungkan oleh Menteri Pertahaman Malaysia Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Turut hadir di majlis tersebut merupakan Pengerusi DRB Hicom Datuk Syed Mohd Aidid Syed Murtaza, Pengarah Urusan DRB-Hicom Datuk Mohd Khamil Jamil dan juga Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Khalid Abu Bakar.
-Salihin Abd Rahim-