BMW Group Malaysia memperkenalkan BMW HP4 Serba Baharu


BMW Group Malaysia telah memperkenalkan BMW HP4 serba baharu, iaitu motosikal berprestasi tinggi yang terkini dengan menampilkan keupayaan enjin termaju dan teknologi lengkap untuk tahap keselamatan dan pemanduan dinamik yang tiada bandingan.
Ketika memperkenalkan motosikal terbaharu BMW ini pada 27 Mac 2013 di Litar Antarabangsa Sepang, , Dr. Gerhard Pils, Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia berkata, “Sebagai pengeluar kenderaan premium yang terkemuka untuk kereta dan motosikal di dunia, BMW terus menunjukkan kepakaran inovasi kami dengan memperkenalkan HP4, motosikal berkuasa besar empat silinder yang paling ringan dan dinamik di dunia untuk pasaran Malaysia. HP4 yang baru diperkenalkan ini sudah tentu akan menjadi penyumbang utama kepada peningkatan jualan BMW Motorrad pada tahun 2013."

BMW HP4 serba baharu menandakan kesinambungan siri model BMW Motorrad High Performance yang bermula pada tahun 2005. Selepas pengenalan model enjin boxer pada HP2 Enduro, HP2 Megamoto dan HP2 Sport, HP4 adalah motosikal berkuasa empat silinder yang pertama dalam keluarga High Performance yang dibina menggunakan bahan bermutu tinggi dan teknologi termaju serta ciri direka dengan jitu yang mencerminkan komitmen BMW untuk memenuhi keperluan pelanggan yang sentiasa berubah.

Inovasi teknikal untuk prestasi sport yang mantap.
Dilengkapi dengan enjin 4-silinder sebaris S1000RR dengan jumlah sesaran 999 cc, BMW HP4 serba baharu menghasilkan kuasa sebanyak 152 kW (193hp) pada13,000 rpm. Motosikal ini juga berupaya mencapai kelajuan enjin maksimum sehingga lebih 200km/jam dan bacaan tork maksimum sebanyak 112 Nm pada putaran 9,750 rpm. Pencapaian hebat ini membolehkan motosikal berkuasa tinggi ini untuk memecut 0-100km/j hanya dalam masa 2.9 saat.
Melalui pemasangan enjin berorientasikan prestasi, HP4 serba baharu turut menyaksikan peningkatan tork dalam kelajuan enjin peringkat sederhana. Tidak seperti model S 1000 RR, jumlah outputnya adalah sama bagi semua mod – “Hujan”, “Sport”, “Lumba” dan “Licin” – dengan keluk pendikit yang serupa bagi respons yang sama seperti di litar perlumbaan. Mod "Hujan" dalam HP4 serba baharu kini memberikan output yang lebih lancar dengan keluk tork antara 2,500 rpm dan 8,000 rpm. Walaupun dengan keupayaan prestasi yang hebat, HP4 yang baharu ini dapat mencapai kadar kecekapan yang tinggi dengan purata penggunaan minyak sebanyak 5.9 l/100km pada kelajuan sehingga 120kmj.

Selain sistem elektrik yang sama seperti model BMW Motorrad kontemporari yang lain, HP4 baharu turut dipasang dengan sistem elektrik CAN bus (rangkaian kawasan pengawal) yang menghubungkan kelompok peralatan dan pengawal enjin serta pelumpuh elektronik dan sistem penggera anti kecurian yang disediakan sebagai peralatan opsyenal. Kelompok peralatan bukan sahaja mempunyai muka dail reka bentuk baharu dengan inskripsi HP4 tetapi turut menyediakan pelbagai maklumat dan fungsi seperti menu pilihan Dynamic Damping Control serta tahap pelarasan Dynamic Traction Control yang terperinci dan Launch Control Activation.

Dynamic Damping Control (DDC) yang dipasang pada HP4, iaitu sistem yang pertama bagi mana-mana motosikal, meningkatkan lagi teknologi suspensi. Sistem ini melibatkan penggunaan pemampatan dinamik dan peredaman peringkat pantulan untuk menyesuaikan motosikal mengikut situasi terutamanya di jalan yang tidak rata. Sistem suspensi semi-aktif bertindak balas secara automatik terhadap pergerakan seperti membrek, memecut dan mengambil selekoh pada pelbagai permukaan jalan dan menetapkan tahap redaman yang betul melalui injap pantulan yang digerakkan secara elektrik.


Tetapan asas bagi DDC dihubungkan kepada semua mod yang ada - “Hujan” untuk permukaan basah, “Sport” untuk jalan biasa, “Lumba” untuk litar lumba dengan tayar supersports dan “Licin” untuk litar lumba dengan tayar licin, semuanya mudah dipilih dengan hanya menekan butang. Dalam mod “Hujan” dan “Sport”, tumpuan tetapan DDC ialah redaman penuh dan selesa yang selalu digunakan di jalan luar bandar manakala dalam mod “Lumba” dan “Licin” pula, tetapan DDC adalah untuk gaya tunggangan sport yang lebih sesuai di litar perlumbaan. Tetapan redaman adalah ketat dan ia memberikan penunggang maklum balas secara terus sepanjang masa. Unit DDC memberikan daya tarikan maksimum bagi penggunaan kuasa enjin sepenuhnya semasa pecutan, dan membolehkan HP4 menyediakan tetapan optimum untuk peringkat pantulan dan mampatan peredam dalam setiap keadaan.

Dynamic Traction Control (DTC) yang pernah dipasang pada motosikal RR sebelum ini turut dioptimumkan untuk penggunaan supersports HP4, dan menetapkan tanda aras baharu bagi segmen yang popular ini. Semasa menunggang dalam mod "Licin", DT yang boleh dilaras ini memberikan penunggang pilihan untuk memberikan respons secara lebih fleksibel terhadap keadaan persekitaran seperti suhu udara dan asfalt, perubahan cengkaman tayar dan keadaan permukaan jalan.

Sebagai bonus kepada para peminat perlumbaan, HP4 turut dipasang Race ABS dengan tetapan IDM untuk prestasi membrek yang terbaik terutama sekali di litar lumba. Sebagai pembuat motosikal yang menjadi peneraju dunia kepada pemasangan sistem anti-kunci ABS pada motosikal, BMW Motorrad kini turut mengambil langkah yang sama untuk BMW HP4 Serba Baharu dengan memasang sistem yang lebih terperinci untuk kegunaan di litar lumba. Dalam mod “Hujan”, “Sport” dan “Lumba”, Race ABS beroperasi sebagai bahagian penting di mana brek pada roda belakang digerakkan secara automatik apabila brek roda depan diaktifkan. Ini memastikan motosikal berada dalam keadaan stabil semasa membrek dan membolehkan jarak membrek yang sangat pendek.
Tetapan IDM yang baharu telah direka semasa Kejohanan Superbike Jerman dan memberikan impuls kawalan yang terperinci serta membolehkan nyahpecutan maksimum pada had cengkaman tayar. Diaktifkan semasa mod "Licin", kedua-dua pengesan kenaikan tayat belakang dan fungsi ABS dinyahaktifkan pada roda belakang untuk membolehkan penunggang yang mahir mengawal HP4 menggunakan brek tayar belakang untuk melakukan drift brek.

BMW HP4 Serba Baharu juga merupakan motosikal BMW pertama yang memperkenalkan fungsi Launch Control serta pengesan wheelie, yang disokong oleh pembantu syif untuk pemecutan yang optimum dan permulaan yang sempurna di litar lumba. Bagi memastikan pecutan sepenuhnya daripada permulaan, Launch Control menghadkan tork enjin untuk membolehkan penghantaran tork maksimum daripada roda belakang setiap kali dalam keadaan pendikit tidak dipulas. Ini membolehkan penunggang tidak terlalu tertumpu kepada pendikit kerana pecutan dikawal sepenuhnya oleh klac.

Apabila Launch Control diaktifkan, tork enjin turut dikurangkan sebaik sahaja sistem mengesan roda depan terangkat bagi memastikan wheelie tidak dikehendaki semasa memecut. HP4 juga membolehkan penunggang melakukan pertukaran gear serta merta tanpa sebarang gangguan, hasil daya tarikan daripada pembantu syif yang dipasang sebagai peralatan standard.

Kemasan supersport untuk penunggang sporty.
Edisi terbaru dalam keluarga BMW High Performance benar-benar memenuhi aspirasi dinamiknya dari segi penampilan visual yang selaras dengan aspirasi supersport untuk litar lumba dan tunggangan jalan luar bandar yang dinamik. Selain daripada penampilan monoposto, BMW HP4 serba baharu dilengkapi dengan spoiler enjin dua bahagian yang lebih panjang berbanding S 1000 RR dengan pelindung angin berwarna untuk menonjolkan ciri HP4 yang dinamik.

Lampu isyarat LED diintegrasikan secara tertutup pada BMW HP4 dan nombor siri ukiran laser pada bahagian atas penghubung garpu mencerminkan ciri eksklusif motosikal ini. Kemasan cat berbilang warna yang rapi dengan pilihan Racing Blue Metallic dan Light White memberikan penampilan yang sporty disokong dengan tayar belakang dalam format 200/55 ZR 17” yang baharu.

Sebagai motosikal supersports empat silinder paling ringan sehingga kini dalam kelas 1000cc, BMW HP4 serba baharu hanya mencatatkan berat keseluruhan 199kg yang termasuk Race ABS dan tangki minyak 90% penuh. Supersports BMW terkini turut menyaksikan penurunan berat yang ketara terutama sekali dengan roda aloi tempa 7 jejari, yang teranod dalam warna hitam serta pembawa sprocket baharu yang lebih ringan, seterusnya memberikan penurunan berat sebanyak 2.4kg berbanding S 1000 RR. Tambahan lagi, sistem ekzos diperbuat secara keseluruhan dengan titanium dan menjimatkan 4.5kg selain menyumbang kepada mutu pengendalian yang lebih baik untuk HP4.
HP4 dengan Competition Package.
Untuk gaya yang lebih sofistikated dan penampilan yang lebih sporty, BMW HP4 serba baharu dengan Competition Package untuk perlumbaan turut disediakan sebagai pilihan. Pakej ini menawarkan bahagian karbon HP yang lebih rapi seperti spoiler enjin, sistem alas kaki penunggang, tuil brek dan klac boleh lipat dan kemasan roda dalam warna Racing Blue Metallic dengan kit pelekat penaja istimewa yang meningkatkan lagi gaya eksklusif motosikal supersports.
Harga jualan runcit bagi BMW HP4 yang baharu (atas jalan, tanpa insurans) ialah:
  • BMW HP4 : RM144,444.00
  • BMW HP4 Competition Package: RM158,888.00