Baka baru prestasi: Yamaha MT-09




Salah satu topik yang paling banyak dibahaskan di kalangan penunggang adalah persoalan berkenaan konfigurasi enjin motosikal yang paling sempurna untuk penunggang jalanan. Anda mungkin mendapati beberapa kumpulan akan bersetuju, walaupun dengan berat hati, bahawa enjin 800cc tiga-selinder adalah apa yang diperlukan. Dan mungkin inilah yang dituruti Yamaha dengan pengeluaran jentera MT-09. 

MT-09 ini didatangkan dengan casis baru yang padat dan enjin 3 silinder berdayakilas (tork) tinggi bagi mempersembahkan konsep keseluruhan yang segar dalam reka bentuk motosikal sports. Jentera prestasi generasi baru ini direka untuk penunggang yang menghargai watak dan jiwa tunggangan mereka. 

Jantung jentera baka baru ini adalah enjin 3 silinder ringan 850cc penuh kuasa, dengan tork linear memberi pecutan penuh sensasi bagi memuncakkan aliran adrenalin ke jantung anda. Tangkas dikendalikan, motosikal dinamik naked gaya motard ini dilengkapi dengan casis aluminium padat dan kedudukan menunggang tegak yang memudahkan segalanya - samada untuk menunggang harian dalam bandar mahupun tunggangan bebas hujung minggu. 

MT-09 ini merupakan sebuah motosikal yang kukuh dan juga menggamit tarikan. Yamaha berhasrat untuk menyampaikan bahawa iianya bukan sahaja sekadar satu lagi motosikal umum dari Jepun, malah ianya adalah sesuatu yang berbeza, dan berdaya tarikan di dalam ciri ciri nya. Siri MT mula diperkenalkan dengan penampilan MT-01 pada tahun 1999, namun tiada apa yang kelihatan seperti nya sejak itu. 

MT-09 baru ini berbekalkan kuasa 115hp yang berdaya 87,5 Nm dan dipersembahkan dalam pakej CBU berharga RM54k hingga ke akhir tahun ini, sebelum disusuli pengeluaran CKD menjelang suku pertama tahun depan. Oleh itu jika dinilai, MT-09 ini tidak mahal, dan dek kerana konfigurasi enjin tiga silinder nya, ia menghasilkan lebih banyak kuasa daripada R-6 walaupun ianya lebih ringan. Pada 188kg basah, ia hanya 5kg lebih berat daripada Triumph Street Triple dan 41kg lebih ringan daripada Kawasaki Z800. Duduk di atas motosikal ini, dan jelas sekali ianya jentera yang agak kurus. Perkara pertama yang anda sedari mungkin pelana berbentuk segi tiga: mernirus di hadapan dan berkembang luas di belakang. 
Pembonceng motosikal anda akan menghargainya, namun anda mungkin inginkan pelana yang lebih luas walaupun ia mungkin memberi kesan kepada capaian kaki kaki ke tanah semasa berhenti. Beberapa peralatan seperti penginjak brek belakang mungkin memerlukan penyesuaian sudut yang kecil untuk mendapatlebih keselesaan dan butang hon yang terletak agak jauh dari capaian ibu jari anda. 

MT-09 ini diletakkan harga bajet bagi membolehkan capaian kepada lebih ramai peminat motosikal, dan beberapa faktor telah menyumbang kepada penjimatan ini. Sistem gantungan nya tidak boleh dilaraskan sepenuhnya, dan cakera brek depan juga adalah bersaiz 298mm; lebih kecil daripada apa yang anda biasanya lihat pada sebuah motosikal sports. Gantungan belakang monocross dengan penyerap-kejutan mendatar terbukti agak lembut dan akan menghendaki pelarasan mekanikal pra-bebanan spring yang maksimum untuk mengelakkan bahagian belakang dari membuai pada kelajuan tinggi. Kotak gear nya bekerja tanpa klac-gelincir dan paparan meter adalah minimum. MT-09 tidak didatangkan dengan keajaiban elektronik seperti kawalan cengkaman atau ABS, dan mempunyai pendikit kawalan-dengan-wayar dengan 3 mod menunggang, walaupun ramai pada mulanya mungkin mendapati dua mod awal adalah agak tangkas dan agresif untuk keselesaan menunggang dalam bandar, dan memerlukan sedikit penyesuaian diri. 

Walaupun dengan semua penjimatan ini, Yamaha MT-09 ini agak mewah dengan kerangka aluminium tetuang CF yang nipis dan ringan, piston aluminium tempaan dan rim aloi ringan 10-jejari yang bergaya. Tidak hairanlah MT-09 adalah se ringan itu, dan ianya menyumbang secara positif kepada nisbah kuasa-ke-berat dan kecekapannya yang lebih tinggi. 

Kedatangan MT-09 merupakan lebih daripada sekadar lembaran baru dalam evolusi Yamaha. Ia adalah gelombang siri jentera 3-silinder motard yang menawarkan alternatif baru yang menarik untuk penunggang yang memahami keluk tork bermakna. Tiga warna: Violet, Orange dan Kelabu-legap ditawarkan pada harga asas RM54,000 (tanpa pendaftaran dan insurans). 
















spesifikasi 
enjin 
Jenis enjin 3-silinder, cecair sejuk, 4-lejang, DOHC, 4 injap 
Sesaran 847 cc 
Bore x Stroke 78.0 x 59.1 mm 
Nisbah mampatan 11.5: 1 
Sistem pelinciran Takungan basah 
Suntikan bahan api Pengurusan pencucuhan TCI 
Penghidup  Elektrik 
Kapasiti tangki bahanapi 14 L 
Kapasiti minyak 3.4 L 
Hantaran akhir Rantai
Kotak gear 6-kelajuan 
Panjang 2075 mm 
Lebar 815 mm 
Ketinggian 1135 mm 
Ketinggian tempat duduk 815 mm 
Jarak roda 1440 mm 
Kelegaan bumi 135 mm 
Berat kering 176 kg 
Berat basah 188 kg dengan 14 liter bahan api 
Kerangka Jenis Diamond 
Gantungan hadapan teleskopik 137mm 
Gantungan Belakang lenganayun 130mm 
Brek hadapan dwi-cakera 298mm 
Brek Belakang cakera, 245mm 
Tayar Depan 120 / 70ZR17M / C (58W) 
Tayar Belakang 180 / 55ZR17M / C (73W)