Modenas CTric untuk tentera?


Motosikal telah digunakan oleh pihak tentera sejak ianya wujud lagi, dan tidak dinafikan bahawa ia merupakan satu aset yang penting bagi pergerakan pantas di medan perang. Pihak tentera telah menggunakan motosikal untuk beberapa tujuan khas, untuk operasi bebas, kemudahan angkut mengangkut motosikal dan juga kelebihan taktikal.
Namun begitu, kebimbangan mengenai penggunaan jentera ini seringkali bukanlah berkaitan dengan pelaksanaan atau cara menggunakannya, tetapi lebih menjurus kepada faktor keselamatan personel, kerana memang diakui kadar kemalangan motosikal adalah sentiasa lebih tinggi daripada kenderaan empat roda. Namun begitu, kerapkali ianya disebabkan oleh faktor manusia dan bukanya jentera.

Selain dikuasai petrol, konsep motosikal diesel bukanlah sesuatu yang baru, dan walaupun abad ini kaya dengan inovasi motosikal, hanya segelintir motosikal diesel telah wujud. Seperti yang kita tahu, teknologi diesel telah melangkah jauh sejak kebelakangan ini dan kini enjin disel menjanjikan kebangkitan, dengan kos pengeluaran yang rendah, output kuasa yang baik dan penggunaan bahanapi yang rendah. Ianya juga lebih mesra alam berbanding enjin petrol.

Pihak tentera di luar negara telah mendorong pengeluaran moden motosikal diesel pertama di dunia. Royal Enfield - jenama yang pernah menghasilkan motosikal diesel sebelum dan selepas langkah dari Britain ke India, dengan memasukkan enjin diesel ke dalam bingkai Enfield.

Selain itu, Dnepr Rusia, masih ditawarkan dengan enjin HATZ-Diesel, dan terdapat sekumpulan kecil peminat motosikal diesel masih bersemangat mengeluarkan motosikal mereka sendiri menggunakan enjin diesel pelbagai jenis.

Terdapat juga motosikal diesel di Jerman, yang telah menghasilkan prototaip motosikal mengagumkan seperti Kawasaki berenjin Peugeot. Jika anda berminat dengan motosikal diesel dan perkembangan  diesel dua roda, lihat laman web DieselMotorcycles. Walapun rakyat Malaysia dikenali dengan sikap inovatif mereka, kekangan undang undang mungkin telah mebantutkan keativiti pembangunan motosikal disel di negara ini.

Ketika ini hanya beberapa jenis motosikal diesel moden yang dikeluarkan, seperti jentera berasaskan KLR650 Kawasaki yang dibuat semula dengan enjin diesel untuk tujuan ketenteraan sebagaiusaha untuk memenuhi keperluan NATO baru untuk satu jenis bahan api medan perang,  iaitu diesel. Satu pesanan permulaan untuk 522 motosikal diesel telah dibuat oleh Tentera Marin Amerika Syarikat dan minat yang sama juga telah ditunjukkan oleh Tentera Darat Amerika Syarikat , Kementerian Pertahanan UK dan kuasa-kuasa NATO lain.

Satu perkongsian teknologi unik antara Universiti Cranfield dan Hayes Diversified Technologies (HDT) yang berpangkalan di California telah dibuat untuk mencipta sebuah motosikal dengan unit kuasa diesel. Cabarannya ialah untuk tampil dengan reka bentuk yang cukup ringan dan kuat, dan dengan kelajuan enjin (RPM) berkisar cukup lebar untuk memberikan tahap prestasi yang dikehendaki untuk digunakan sebagai kenderaan taktikal.

Motosikal itu juga perlu memenuhi syarat-syarat yang ketat NATO untuk semua angkatan tentera bagi mengendalikan keseluruhan inventori  dan peralatan berkuasa sama ada bahan api diesel atau minyak tanah gred penerbangan (aviation fuel).

Keupayaan ini akan memberikan kelebihan logistik utama dalam menghindarkan keperluan untuk membawa pelbagai jenis bahanapi ke medan perang. Dan tahap kemudahbakaran yang lebih rendah, berbanding dengan petrol, ia juga akan mengurangkan bahaya kebakaran.

Motosikal ini dikuasai enjin 584cc sejukan cecair DOHC dengan empat injap setiap silinder. Bekalan bahan api diesel adalah melalui unit Suntikan Bahan Api khas dan penyuntik tunggal yang dibangunkan khusus. Motosikal pertempuran berasaskan Kawasaki ini menghasilkan 28 bhp pada 5500 rpm dengan penghantaran kuasa rata dari 1500 dan 7000 rpm.

Tidak seperti enjin petrol, enjin disel ini mempunyai kesesuaian bahan api pelbagai  dan boleh menggunakan diesel komersial, Bahan Api Diesel NATO spesifikasi Tentera, Bio-Diesel (B20 atau B100),  Minyak Tanah Gred Penerbangan termasuk JP4, JP5, JP8, dan AVTR dan juga Minyak Tanah lama.

Motosikal ini juga pada satu ketika telah mencatatkan rekod kelajuan di dunia bagi motosikal yang didorong diesel sewaktu ujian di Bonneville Salt Flats, Utah, dengan catatan 85.466bsj. Malah ada kemungkinan bahawa motosikal ini boleh dibuat untuk pasaran pengguna. Walaupun harga motosikal ini dijangkakan kira-kira 20-30% lebih mahal daripada sebuah motosikal konvensional, motosikal diesel boleh mmencapai 110 batu se gelen - iaitu lebih kurang dua kali ganda jarak motosikal konvensional.

Satu lagi model motosikal disel merupakan  Track T800CDI  dari Evaproducts. Pada masa kini ia adalah motosikal disel pengeluaran yang paling maju dibina. Trek T800CDI adalah motosikal gaya kembara baru dari pengilang Evaproducts Belanda menggunakan enjin 800cc tiga silinder turbo dari kereta Smart, dengan transmisi CVT dan aci pemacu untuk menjaga enjin pada tork puncak.

Enjin  nya mampu mengeluarkan 45 hp dan 78 lb-kaki tork, danT800CDI mampu mengharungi 140 mpg untuk penunggangan umum - dua kali lebih ekonomik dari motosikal petrol kapasiti besar yang paling menjimatkan.

Casis nya direka untuk bersaing secara langsung dengan KTM 990 Adventure dan BMW R1200GS, dengan sistem gantungan WP, brek Brembo dan bingkai trelis moden. Pilihan tambahan termasuk  sistem pemacu hidraulik roda hadapan yang menjadikannya motosikal pacuan dua roda , bagasi aluminium , dan peranti perjalanan padang pasir untuk pengembara tunggal. 250 unit motosikal pertama adalah dalam pengeluaran sekarang, dan kita harus mengakui kemampuannya sebagai motosikal tentera yang hampir sempurna.

Tetapi motosikal ini masih terlalu bising untuk operasi rahsia. Satu lagi pilihan yang lebih menarik perhatian pihak tentera masa kini adalah motosikal berkuasa elektrik. Kumpulan operasi khas telah mengiktiraf kelebihan motosikal dalam pertempuran.

Malah, Pemerintah Operasi Khas Amerika Syarikat  (SOCOM) mahu sebuah motosikal yang seolah halimunan, yang boleh melompat keluar dari helikopter, bergerak dengan pantas dan senyap, bagi membolehkan pasukan serangan untuk mempunyai unsur serangan mengejut. Mereka mahu sebuah mesin yang lasak yang boleh dikendalikan dengan pasti dalam keadaan lapangan yang mencabar, hidup dengan serta-merta walaupun pada suhu yang melampau.

Mereka telah memilih Zero Motorcycles untuk mencadangkan motosikal berkuasa elektrik, disesuaikan untuk spesifikasi mereka. Motosikal elektrik yang berkuasa ini menawarkan kelebihan yang unik untuk kegunaan ketenteraan. Tanpa gear dan cecair, motosikal elektrik juga mempunyai kadar kehausan yang rendah kerana kurangnya bahagian bergerak, dan adalah hampir bebas penyelenggaraan, membuatkannya sangat dipercayai dan boleharap.

Motosikal elektrik hari ini mampu melaksanakan sekurang-kurangnya segala tugas yang sama dengan mana-mana motosikal petrol, dengan berbekalkan kelebihan kemampuan kesenyapan dan kebolehpercayaan. Zero MMX telah direka khas untuk menangani misi operasi khas, dan kini digunakan oleh tentera AS serta negara-negara asing.

MMX Zero menggunakan enjin elektrik Z-Force  yang memacu roda secara langsung dan juga menggunakan motor sejukan udara. Memandangkan tiada kerumitan sistem hantaran, dan tiada cecair atau bahanapi, MMX Zero adalah mudah untuk diangkut dan disimpan. Kuasa tambahan disediakan oleh pek kuasa bolehtukar dengan cepat.
Malah, Zero MMX ini juga telah digunakan oleh LAPD iaitu Polis Los Angeles, Amerika Syarikat untuk tugas tugas khas mereka.

Motosikal elektrik Modenas

Berbalik kepada persekitaran dalam negara, kita juga tahu tentang beberapa model motosikal Modenas yang diubahsuai untuk kegunaan perlumbaan cubcross seperti CT110. Kehangatan perlumbaan motosikal cubcross kini telah berkembang di pelusuk tanahair, dengan pelbagai perlumbaan yang dianjurkan oleh pihak penganjur, dan banyak juga model motosikal Modenas yang telah diubahsuai untuk kegunaan cubcross, selain dari model kotosikal lain seperti Momos Panthera dan juga Demak.

Dalam pada itu juga kita menyedari kewujudan motosikal elektrik pertama Malaysia iaitu Modenas CTric.

Gabungan sebuah motosikal cubcross dan berenjin elektrik akan menghasilkan satu kombinasi yang amat bersesuaian dengan keperluan sebuah motosikal taktikal yang tangkas, pantas, mudahkendali, senyap dan mudah diangkut serta disimpan.

Dengan kemampuan yang ada pada Modenas, tentunya tidak terlalu sukar untuk membangunkan sebuah motosikal elektrik kegunaan ketenteraan atau operasi khas polis seperti yang digunakan di negara luar. Kebanyakan operasi khas terutama sekali di dalam bandar (urban) memerlukan faktor kepantasan dan kesenyapan: dua faktor yang merupakan kelebihan utama motosikal berkuasa elektrik. Operasi khas urban sebegini juga seringkali untuk jarak dekat dan sederhana, jadi kemampuan capaian jarak bukanlah satu masalah bagi pemacu elektrik CTric kini yang mampu mencapai sehingga 80km jika ditunggang laju. Potensi pembangunan jentera sebegini pernah disuarakan penulis kepada pihak Modenas, yang berpayung di bawah DRB-Hicom, yang turut memiliki syarikat berasaskan pertahanan iaitu Deftech. Oleh itu kerjasama di antara kedua dua syarikat adik-beradik ini tentunya mampu membuahkan satu ciptaan praktikal yang berpotensi menjana permintaan dunia. Berbanding dengan motosikal elektrik luar negara, cubcross berkuasa elektrik adalah lebih kecil dan tangkas, serta lebih mudah untuk diangkut ke mana mana, malah mampu dipikul di bahu seorang operatif tugas khas jika dalam keadaan mendesak, tidak seperti motosikal elektrik tentera luar negara yang jauh lebih besar. Mungkin model ini mampu mencetus nama bagi pembuat motosikal Malaysia tersebut.