Aksi pelumba Asia Dream Cup di Pasir Gudang



Enam pelumba Asia Dream Cup (ADC) menamatkan sesi ujian Moto3 dengan mencatat aksi positif sepanjang dua hari sesi berlangsung yang berakhir di Litar Pasir Gudang, Johor hari ini.

Sesi ujian yang bermula pada hari Isnin disertai oleh pelumba Malaysia yang juga juara keseluruhan ADC musim 2014, Khairul Idham Pawi, pelumba Jepun, Syunya Mori, Sarath Kumar (India), Chuang An-Yu (Taiwan) dan Aditya Pangestu serta Andi Farid (Indonesia) manakala seorang lagi pelumba India, Sumit Loucs Toppo tidak dapat menyertai sesi ujian akibat masalah kesihatan.

Pada masa sama, Khairul Idham turut diumumkan bakal beraksi dalam saingan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol bagi musim 2015.

Ini merupakan kali pertama sesi ujian diadakan di Litar Pasir Gudang dimana ujian Moto3 ini dijalankan sebaik pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Losail, Qatar, sepanjang dua tahun lepas.

Pengurus Motorsports Boon Siew Honda Sdn Bhd, Rodney Peh merumuskan pelumba-pelumba terpilih berjaya mempamerkan aksi positif sebaik diberi peluang menggunakan jentera Moto3 NSF250R.

"Objektif utama sesi ujian ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba terpilih yang beraksi cemerlang dalam saingan ADC musim lepas untuk beraksi dengan jentera Moto3. Kami percaya peluang seperti ini memberi pengalaman berguna kepada mereka terutama Khairul Idham yang akan beralih ke kategori Moto3 di Kejuaraan CEV pada musim depan," jelasnya.

"Secara keseluruhan, sesi ujian berlangsung dengan baik dan kami memperoleh keputusan yang positif daripada pelumba-pelumba. Semua pelumba ini berpeluang menggunakan jentera Moto3 sebenar berbanding jentera pengeluar yanng digunakan di dalam saingan ADC. Kesemuanya juga berpuas hati dan gembira serta menerima banyak tunjuk ajar dan pengalaman sepanjang dua hari sesi ujian berlangsung.

"Sesi ini juga turut berguna kepada jurutera-jurutera kami dimana mereka dapat belajar dan memahami bagaimana untuk mengendalikan dan mempersiapkan enjin jentera Moto3," tambahnya.

No comments: