Menggamit kenangan 2014


Tahun 2014 yang lepas telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan. Sebagai manusia kita tentunya mengharapkan setiap detik yang berlalu akan dipenuhi kenangan indah yang akan diingati sepanjang hayat.

Namun begitu lumrah kehidupan sentiasa penuh dengan cabaran dan rintangan, apatah lagi dalam dunia permotoran yang penuh risiko. Dalam kita tersenyum mengingati pengalaman dan kenangan sepanjang se tahun ini, mungkin ada juga yang menitiskan air mata dek terkenangkan sahabat atau saudara mara yang telah pergi meninggalkan kita buat selama lama nya. Tak kurang juga mereka yang mendapati kehidupan seharian kini telah berubah sama sekali dalam sekelip mata sahaja akibat kecederaan yang telah dialami dalam musibah di jalanraya.

Mungkin ramai yang mula menuding jari dan membuat pelbagai andaian secara am. Selain kesilapan penungang, tidak krang juga kemalangan yang berlaku disebabkan oleh kecuaian pengguna kenderaan lain. Bayangkan jika ada yang dilanggar dari belakang walaupun hanya sedikit. Jika tiada saksi lain pada waktu kejadian tersebut, ada kemungkinan kemalangan itu akan ditakrifkan sebagai 'gagal mengawal kenderaan secara sendiri' dan jika ianya melibatkan kehilangan nyawa, tiada siapa yang akan tahu kebenarannya melainkan orang yang melanggarnya.

Peningkatan kemalangan yang melibatkan motosikal berkuasa tnggi juga telah menimbulkan beberapa persoalan berkenaan keberkesanan sistem perlesenan negara ini, yang dilihat tidak mengambilkira keperluan pengalaman yang mencukupi bagi pengendalian jentera yang lebih berkuasa. Mungkin ada keperluan untuk mengkaji sistem perlesenan motosikal kita untuk mengambil kira pengalaman penunggang seperti yang diamalkan oleh sesetengah negara. Malah diberitakan ada juga yang mewajibkan pemohon lesen kereta untuk melalui pengalaman bermotosikal bagi memahami sepenuhnya permasalahan dan risiko yang dihadapi penunggang motosikal di jalanraya, agar mereka akan menjadi pemandu yang lebih bertimbangrasa.

Pun begitu, seusai semua ini, mungkin tumpuan patut diberikan kepada sikap dan disiplin diri kesemua penunggang di jalanraya. Tiada gunanya latihan atau perundangan seketat mana pun jika jiwa dalaman masih lagi dipenuhi keinginan memberontak tanpa arah. Nafsu melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan atau tidak perlu hanya akan reda setelah kepuasasan dicapai, ataupun sesuatu musibah menimpa....

Motosikal dan apa jua kenderaan lain adalah jentera yang perlu kita fahami sepenuhnya sebagai sesuatu yang perlu dikendalikan dengan berhemah dan berhati hati. 'Bersabar dan bertimbangrasa' merupakan slogan keselamatan jalan raya yang telah lama digunakan, dan amat bertepatan. Banyak kemalangan yang mampu dielakkan jika kita bersabar, dan banyak juga nyawa yang boleh diselamatkan jika kita lebih bertimbangrasa.

Salihin Abd Rahim

No comments: