Menggamit kenangan 2014


Tahun 2014 yang lepas telah meninggalkan kita dengan seribu kenangan. Sebagai manusia kita tentunya mengharapkan setiap detik yang berlalu akan dipenuhi kenangan indah yang akan diingati sepanjang hayat.

Namun begitu lumrah kehidupan sentiasa penuh dengan cabaran dan rintangan, apatah lagi dalam dunia permotoran yang penuh risiko. Dalam kita tersenyum mengingati pengalaman dan kenangan sepanjang se tahun ini, mungkin ada juga yang menitiskan air mata dek terkenangkan sahabat atau saudara mara yang telah pergi meninggalkan kita buat selama lama nya. Tak kurang juga mereka yang mendapati kehidupan seharian kini telah berubah sama sekali dalam sekelip mata sahaja akibat kecederaan yang telah dialami dalam musibah di jalanraya.

Mungkin ramai yang mula menuding jari dan membuat pelbagai andaian secara am. Selain kesilapan penungang, tidak krang juga kemalangan yang berlaku disebabkan oleh kecuaian pengguna kenderaan lain. Bayangkan jika ada yang dilanggar dari belakang walaupun hanya sedikit. Jika tiada saksi lain pada waktu kejadian tersebut, ada kemungkinan kemalangan itu akan ditakrifkan sebagai 'gagal mengawal kenderaan secara sendiri' dan jika ianya melibatkan kehilangan nyawa, tiada siapa yang akan tahu kebenarannya melainkan orang yang melanggarnya.

Peningkatan kemalangan yang melibatkan motosikal berkuasa tnggi juga telah menimbulkan beberapa persoalan berkenaan keberkesanan sistem perlesenan negara ini, yang dilihat tidak mengambilkira keperluan pengalaman yang mencukupi bagi pengendalian jentera yang lebih berkuasa. Mungkin ada keperluan untuk mengkaji sistem perlesenan motosikal kita untuk mengambil kira pengalaman penunggang seperti yang diamalkan oleh sesetengah negara. Malah diberitakan ada juga yang mewajibkan pemohon lesen kereta untuk melalui pengalaman bermotosikal bagi memahami sepenuhnya permasalahan dan risiko yang dihadapi penunggang motosikal di jalanraya, agar mereka akan menjadi pemandu yang lebih bertimbangrasa.

Pun begitu, seusai semua ini, mungkin tumpuan patut diberikan kepada sikap dan disiplin diri kesemua penunggang di jalanraya. Tiada gunanya latihan atau perundangan seketat mana pun jika jiwa dalaman masih lagi dipenuhi keinginan memberontak tanpa arah. Nafsu melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan atau tidak perlu hanya akan reda setelah kepuasasan dicapai, ataupun sesuatu musibah menimpa....

Motosikal dan apa jua kenderaan lain adalah jentera yang perlu kita fahami sepenuhnya sebagai sesuatu yang perlu dikendalikan dengan berhemah dan berhati hati. 'Bersabar dan bertimbangrasa' merupakan slogan keselamatan jalan raya yang telah lama digunakan, dan amat bertepatan. Banyak kemalangan yang mampu dielakkan jika kita bersabar, dan banyak juga nyawa yang boleh diselamatkan jika kita lebih bertimbangrasa.

Salihin Abd Rahim

Beg udara pinggul bagi warga emas



Kemalangan adalah bahaya yang sentiasa wujud - itulah sebabnya kenderaan masakini dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti beg udara.

Bagaimanapun, untuk warga emas,  hanya terjatuh sewaktu berjalan boleh menyebabkan kecederaan yang mengubah hidup mereka. Apatah lagi bagi warga emas yang menunggang motosikal. ActiveProtective sedang membangunkan satu beg udara untuk melindungi tulang pinggul senior kita.

Ketua Pegawai Teknologi ActiveProtective, Dr. Robert Buckman, merupakan seorang pakar bedah trauma. Sepanjang kariernya, beliau mendapati berapa ramai orang tua telah dibawa ke hospital dengan tulang pinggul yang patah akibat jatuh, dan  mereka sering tidak pulih sepenuhnya daripada kecederaan tersebut.

Beliau kemudianya telah merekacipta satu beg udara untuk dipakai seperti tali pinggang, sama ada di atas atau di bawah pakaian. Apabila sensor gerakan 3D mengesan gerakan atipikal yang unik untuk jatuh, ia menggunakan inflator gas sejuk untuk mengaktifkan satu beg udara yang melapisi sisi pinggul pemakai. Beg itu didakwa mampu mengurangkan daya impak ke tulang pinggul sehingga  90 peratus. Ujian fungsi peranti sedang dijalankan dengan menggunakan replika seorang wanita berusia 90 tahun.

Setakat ini, keputusan telah dilaporkan amat memberangsangkan. Syarikat itu memberitahu bahawa ujian manusia dijadualkan bermula tahun ini, dengan pengkomersilan dirancang untuk akhir 2016.








Beg udara kolar Hövding


Beg udara kolar Hövding merupakan beg udara untuk penunggang basikal yang mengembung di bawah 0.1 saat untuk melindungi kepala anda. Ianya telah mula diperkenalkan pada tahun 2010 oleh pereka industri Anna Haupt dan Terese Alstin dan kini secara rasmi telah mula dijual.

Teknologi ini juga sebenarnya sedang dibangunkan untuk penggunaan penunggang motosikal.

Hövding menggunapakai teknologi beg udara yang terdapat dalam kereta. Dipakai seperti kolar, ia akan mengembung di bawah 0.1 saat untuk melindungi kepala sewaktu kemalangan. Ia berfungsi dengan membebaskan gas helium untuk mengembungkan beg udara apabila ia mengesan pergerakan yang tidak normal yang dikaitkan dengan kemalangan berbasikal. Sebuah perakam kotak hitam juga terdapat dalam kolar beg udara untuk merekodkan 10 saat data sebelum dan semasa kemalangan.

Beg udara kolar Hövding ini berharga € 399 (AS $540), yang merupakan satu alternatif mahal untuk sebuah topi keledar yang lebih konvensional.



Aksi pelumba Asia Dream Cup di Pasir Gudang



Enam pelumba Asia Dream Cup (ADC) menamatkan sesi ujian Moto3 dengan mencatat aksi positif sepanjang dua hari sesi berlangsung yang berakhir di Litar Pasir Gudang, Johor hari ini.

Sesi ujian yang bermula pada hari Isnin disertai oleh pelumba Malaysia yang juga juara keseluruhan ADC musim 2014, Khairul Idham Pawi, pelumba Jepun, Syunya Mori, Sarath Kumar (India), Chuang An-Yu (Taiwan) dan Aditya Pangestu serta Andi Farid (Indonesia) manakala seorang lagi pelumba India, Sumit Loucs Toppo tidak dapat menyertai sesi ujian akibat masalah kesihatan.

Pada masa sama, Khairul Idham turut diumumkan bakal beraksi dalam saingan Moto3 di Kejuaraan Motosikal Sepanyol CEV Repsol bagi musim 2015.

Ini merupakan kali pertama sesi ujian diadakan di Litar Pasir Gudang dimana ujian Moto3 ini dijalankan sebaik pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia PETRONAS (ARRC) di Litar Losail, Qatar, sepanjang dua tahun lepas.

Pengurus Motorsports Boon Siew Honda Sdn Bhd, Rodney Peh merumuskan pelumba-pelumba terpilih berjaya mempamerkan aksi positif sebaik diberi peluang menggunakan jentera Moto3 NSF250R.

"Objektif utama sesi ujian ini adalah untuk memberi pendedahan kepada pelumba-pelumba terpilih yang beraksi cemerlang dalam saingan ADC musim lepas untuk beraksi dengan jentera Moto3. Kami percaya peluang seperti ini memberi pengalaman berguna kepada mereka terutama Khairul Idham yang akan beralih ke kategori Moto3 di Kejuaraan CEV pada musim depan," jelasnya.

"Secara keseluruhan, sesi ujian berlangsung dengan baik dan kami memperoleh keputusan yang positif daripada pelumba-pelumba. Semua pelumba ini berpeluang menggunakan jentera Moto3 sebenar berbanding jentera pengeluar yanng digunakan di dalam saingan ADC. Kesemuanya juga berpuas hati dan gembira serta menerima banyak tunjuk ajar dan pengalaman sepanjang dua hari sesi ujian berlangsung.

"Sesi ini juga turut berguna kepada jurutera-jurutera kami dimana mereka dapat belajar dan memahami bagaimana untuk mengendalikan dan mempersiapkan enjin jentera Moto3," tambahnya.