Yamaha R25 yang dinanti kini tiba



Kebanggaan terbaru Hong Leong Yamaha Motor Sdn. Bhd (HLYM) iaitu Yamaha YZF-R25 telah dilancarkan bersempena Persidangan Media Yamaha Motor Co Ltd, Motorsports Jepun di Sepang pada 5 Februari lepas. Yamaha YZF-R25 ini memiliki kesemua DNA daya tahan, pengetahuan dan pengalaman Yamaha yang terkumpul selama bertahun tahun . Kesemua ini digabungkan bagi menghasilkan sebuah motosikal sports yang sensasi dan sukar ditandingi untuk pasaran motosikal Malaysia.

Siri R dalam barisan motosikal Yamaha telah dijadikan asas dalam merekabentuk YZF-R25 yang menyerlah dengan enjin 249cc dwi-selinder Diasil sebaris, DOHC, 8-injap sejukan cecair, dengan omboh tempaan dan sistem suntikan bahan api induksi ke bawah. Janakuasa ini digabungkan dengan reka bentuk badan yang ringan dengan pusat graviti yang sempurna bagi menghasilkan nisbah kuasa-ke-berat yang cemerlang. Pasangan lampu utama nya jelas menzahirkan lagi perincian yang diberikan Yamaha dalam merekabentuk YZF-R25 ini. Reka bentuk lampu tersebut yang unik juga memberikan "rupa pemangsa" namun memberikan pencahayaan yang lebih cerah, tajam dan lebih tertumpu.

Pengarah Urusan Hong Leong Yamaha Motor Encik C.H. Ng berkata, "Kami sangat gembira untuk mempersembahkan YZF-R25 atas banyak sebab. Tidak syak lagi kami sememangnya sentiasa berbangga dengan Siri-R dari Yamaha. YZF-R25 adalah satu lagi jentera yang sporti, ringan dan bergaya. Reka bentuk nya yang anggun diserlahkan lagi oleh fungsi yang hebat dan inilah mengapa kami yakin ia merupakan satu model yang akan diinginkan oleh peminat superbike."

Dengan pelana terasing dua yang tampak sporti, YZF-R25 ini juga memaparkan meter kelajuan, lampu ekor LED, roda lebar aluminium tetuang dan tayar yang bersesuaian. Lengan ayun simetrikal nya adalah kuat dan kukuh bagi menghasilkan tunggangan yang lebih stabil dengan gantungan dwi-tiub monocross belakang untuk memastikan pengendalian mantap di selekoh tajam pada kelajuan tinggi. YZF-R25 ini juga dikatakan tangkas dengan kerangka jenis berlian yang padat dan ringan.  Kerangka ini diperbuat daripada tiub keluli yang menawarkan keseimbangan optimum untuk kekuatan dan kestabilan. Jentera ini disudahi dengan paparan ekzos yang sporti yang memberikan penampilan amat menarik.

YZF-R25 ini disasarkan untuk pasaran Malaysia mulai April 2015 dan dipasang sepenuhnya di kilang mereka di Sungai Buluh. Mungkin tiba masanya untuk anda merancang mengumpul RM20,000 bagi memiliki jentera terbaru yang ditawarkan di Malaysia ini.




ENJIN
Jenis 4-lejang, 8 Valve DOHC
Susunan Silinder 2 Silinder / Tegak
Sesaran 249 cc
Lubang x Lejang 60,0 x 44,1mm
Nisbah Mampatan 11,6 : 1
Kuasa Maksimum 26.5 kW (12,000 rpm)
Tork Maksimum 22.6 N.m (10,000rpm)
Sistem Penghidup Enjin Elektrik
Sistem Pelincir Takungan Basah
Isi Tangki Minyak Enjin 2.40 liter
Isi Tangki Bahan Api 14.30 liter
Sistem Bekalan Bahan api Suntikan Bahan api
Jenis Sistem Nyalaan TCI


TRANSMISI
Jenis Transmisi 6 – kelajuan jenis balikan
Nisbah Gear 24.928 - 8.6
Jenis Klac Pegas Gegelung Multiplate
Empar Basah


CASIS
Jenis Kerangka Berlian
Panjang Seluruh 2,090mm
Lebar Seluruh 720mm
Tinggi Seluruh 1,135mm
Tinggi Tempat Duduk 780mm
Kelegaan Minimum Dari Tanah 160mm
Berat Isi 166kg


SUSPENSI
Jenis Suspensi Depan Teleskopik
Jenis Suspensi Belakang Monocross

BREK
Depan Cakera Hidraulik, Dwi Omboh (Dual Piston)
Belakang Cakera Hidraulik, Piston Tunggal

TAYAR
Depan 110/70 - 17
Belakang 140/70 - 17