Semua orang faham bahawa menunggang laju agak senang, cuma perlu kilas pendikit atau throttle. Tapi apa yang paling penting dalam menunggang?
Ya, untuk memperlahankan motosikal dengan cara selamat. Maknanya kita kena membrek dengan cara yang betul. Membrek di jalan lurus mungkin agak mudah difahami, tapi maca mana nak memperlahankan motosikal dan mengambil selekoh dengan baik? Mari kita tengok beberapa panduan membrek sebelum selekoh yang anda boleh amalkan.
1. Betulkan kedudukan badan terlebih dahulu
Bahagian bawah badan (pinggang ke bawah) perlu beralih dari pelana atau tempat duduk motosikal sebelum anda mula membrek. Jadi anda tak perlu memikirkan untuk mengalih badan lagi apabila mula memasuki zon membrek dan ketika memasuki selekoh. Ramai pelumba baharu cuba mengalih badan ke dalam kedudukan yang betul hanya bila sudah perlu membelok. Ini hanya menambah keserabutan fikiran tentang apa ynang perlu anda buat, bila anda sepatutnya hanyamenumpukan perhatian untuk memasuki selekoh dengan betul.
Dapatkan posisi bahagian bawah badan ke kedudukan sepatutnya lebih awal supaya apabila anda memasuk selekoh, apa yang anda perlu lakukan hnaylah untuk menggerakkan kepala dan bahagian atas badan ke kedudukan membelok.
2. Kurangkan masa antara menutup pendikit dan membrek penuh.
Ramai penunggang mahupun pelumba baharu sering mengilas turun pendikit lebih awal dan meluncur agak jauh sebelum mula menekan brek. Menutup pendikit terlalu awal hanya membuatkan anda kehilangan masa sebelum anda sepatutnya mula membrek. Sepatutnya masa di antara menutup pendikit dan menekan brek perlu hampir serta-merta, dan untuk kecekapan maksimum secara idealnya masa di antara posisi pendikit penuh (full throttle) dan membrek penuh (full brake) hendaklah tidak lebih daripada satu saat.
3. Membrek awal
Matlamat utama brek adalah untuk menetapkan kelajuan yang betul untuk bersedia memasuk selekoh. Cara terbaik adalah untuk membrek di awal zon brek supaya hanya perlu menekan sedikit sahaja lagi bila lebih dekat ke tahap membelok. Ramai orang mula panik semasa membrek di kelajuan tinggi, dan cuba untuk mengurangkan kelajuan di penghujung. Ini mungkin membuatkan anda berasa bergegas dan hanya akan meningkatkan potensi anda untuk membuat kesilapan. Lakukan sebahagian besar daripada proses membrek itu lebih awal, bagi memastikan mendapat kelajuan membelok yang betul dan ketengangan fikiran ketika mengambil selekoh.
Masa antara permulaan menekan brek dan usaha maksimum seharusnya sangat pendek (antara suku atau setengah saat), tetapi anda tidak perlulah menyentap brek secepat mungkin. Apabila brek disentap, risiko gantungan atau suspensi tertekan habis (bottom-out) adalah tinggi dan ia mungkin menyebabkan roda depan terkunci. Walaupun gantungan yang dilaras dengan betul dan berfungsi dengan baik mungkin tidak kan tertekan habis, proses menekan brek anda perlulah cepat, tetapi tidak sepatutnya serta-merta atau tersentap.
No comments:
Post a Comment