Bila kali terakhir cecair brek anda ditukar?


Mungkin anda pernah terbaca mengenai siasatan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya (National Highway Traffic Safety Administration) Amerika tentang kegagalan brek pada model Harley-Davidson tertentu. Berita ini adalah sesuatu yang amat relevan bagi pemilik kereta walaupun anda tidak memiliki sebuah motosikal, kerana prinsip operasi brek kereta juga amat serupa.

Siasatan NHTSA itu meliputi lebih daripada 400,000 Harley-Davidson yang dikeluarkan dari tahun 2008 hingga 2011. Agensi itu menerima pelbagai aduan kegagalan brek depan dan belakang, termasuklah satu kes di mana penunggangnya telah merempuh pintu garaj.

Apakah implikasi yang relevan kepada semua penunggang motosikal, dan juga pengguna kereta?

NHTSA berkata Harley-Davidson mendakwa masalah ini adalah kerana pemilik motosikal tidak mematuhi sela masa dua tahun untuk menggantikan cecair brek mereka. Kebanyakan cecair brek (kecuali gred DOT 5) adalah dari jenis higroskopik (hygroscopic) yang bermakna ia menyerap kelembapan dari udara. Harley-Davidson mendakwa bahawa kelembapan yang terdapat di dalam cecair brek lama yang tercemar boleh merosakkan injap penggerak yang terdapat dalam sistem brek anti-kunci, walaupun masih tidak jelas samada ia adalah kegagalan fungsi  sistem anti-kunci ataupun keseluruhan sistem brek itu sendiri.

Namun, hasil siasatan ini masih menarik dan relevan kerana dua sebab:

Pertama, sistem anti-kunci ABS motosikal dan kereta yang bermasalah pernah dialami ramai, tetapi ia didapati tidak menjejaskan keupayaan brek untuk memperlahankan kenderaan. Jika apa yang dikatakan pihak Harley-Davidson adalah benar, maka apa yang mungkin telah berlaku di sini adalah bahawa kegagalan sistem brek anti-kunci  mampu menyebabkan kegagalan brek secara keseluruhan.

ABS telah jauh membangun sejak ia mula diperkenalkan pada motosikal BMW pada tahun 1988. Hari ini, kita mempunyai sistem ultra-canggih seperti yang ada pada BMW S 1000 RR. Ia adalah penting untuk menyedari kemungkinan bahawa cecair brek lama mampu menyebabkan kegagalan keseluruhan sistem brek ABS yang lebih kompleks masa kini.

Ini membawa kita untuk mempertimbangkan isu kedua, iaitu hakikat bahawa bukan menjadi amalan kerap bagi kebanyakana pemilik motosikal untuk menukar cecair brek mereka. Kita mungkin telah menyedari kepentingan untuk menukar minyak pelincir, palam pencucuh, dan penapis udara. Namun penukaran cecair brek adalah salah satu kerja penyelenggaraan yang sering diabaikan. Dan kini kita diberitahu bahawa ia mungkin mampu menyebabkan kegagalan keseluruhan sistem brek.

Menukar cecair brek bukanlah satu kerja yang terlalu sukar, dan boleh dibuat dengan mudak oleh mekanik ataupun anda sendiri. Menyedari perkembangan terkini ini, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mengingati semula berapa kerap anda telah menukar cecair brek motosikal atau kereta anda. Periksa rekod servis anda untuk melihat jika sudah tiba masanya untuk menukar cecair brek anda.

Secara peribadi, mungkin berbaloi untuk menukar cecair atau bendalir brek secara lebih kerap. Memandangkan harga cecair brek yang rendah, ia nya adalah satu jaminan yang agak murah untuk memastikan anda tidak berakhir menunggang merempuh pintu garaj, atau menghadapi keadaan yang lebih teruk lagi.

No comments: