Sempena Hari Lebaran ini, tentunya ramai yang menyambutnya bersama keluarga tersayang. Tak kurang juga yang telah pulang ke kampung menggunakan motosikal tersayang, dan ramai yang merancang konvoi bersama teman sekampung atau daerah, seolah olah menjadi tradisi acap kali hadirnya Syawal.
Perjalanan jauh memang mencabar, dan menyeronokkan, asal saja ditempuhi dengan selamat. Keluarga tersayang tentunya menanti kepulangan anda. Persiapan dan pemeriksaan motosikal sebelum perjalanan pastinya sesuatu yang wajib. Paling mudah, periksa motosikal anda dari bawah ke atas sewaktu membasuh motosikal anda. Perhatikan setiap komponen motosikal seperti skru dan kabel sewaktu anda mencuci setiap bahagian. Imbas kembali rekod servis dan bawa motosikal ke pusat servis bertauliah untuk gantian minyak pelincir dan juga alatganti jika perlu. Berikut ini dilampirkan beberapa panduan pemeriksaan asas sebelum memulakan perjalanan dengan motosikal kebanggaan anda.
1. Periksa angin tayar anda agar menepati tekanan yang diperlukan, berpandukan buku panduan motosikal anda, dan juga bebanan yang akan di bawa. Tekanan tayar yang tidak mencukupi, mahupun berlebihan akan memberikan kesan negatif kepada kawalan motosikal. Pastikan juga bahawa bunga tayar masih elok dan mencukupi. Periksa dengan tolok pengukur untuk memastikan bunga tayar melebihi 1.5mm. Pembaris keluli juga boleh digunakan jika tiada tolok pengukur, dan pastikan tayar tidak terkopak, merekah atau retak.
2. Periksa ketebalan pelapik atau kekasut brek agar masih berada di dalam tahap yang boleh digunakan. Periksa juga keadaan rantai atau belting anda agar berkeadaan baik dan pada ketegangan yang sesuai. Pastikan rantai diminyakkan untuk mengelakkan kehausan terlampau. Bawa bekalan minyak atau penyembur rantai.
3. Penongkat motosikal anda perlu diperiksa, samada ianya beroperasi dengan baik, bagi kedua dua tongkat sisi (side stand) dan juga tongkat tengah (centre-stand). Pergerakan tongkat perlu lancar dan tidak tersangkut apabila digunakan. Pastikan skru tongkat dan springnya tidak terbuka atau longgar.
4. Periksa pula semua kawalan motosikal anda, seperti kabel kawalan pendikit, kabel klac, brek, penyambung tuil gear. Sebarang rasa tersangkut atau tersekat perlu diperiksa dan diperbaiki jika perlu.
5. Periksa pula semua peralatan elektrik agar ianya berkeadaan baik, tidak pecah dan masih berfungsi. Ini termasuklah lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat, lampu meter dan juga hon anda.
6. Hidupkan enjin motosikal dan dengar samada terdapat bunyi yang pelik dan luarbiasa. Matikan enjin dan periksa tahap minyak pelincir agar menepati tahap yang diperlukan.
7. Pusingkan hendal motosikal ke kiri dan kanan, dan pastikan pergerakannya adalah licin dan tidak tersangkut sangkut. Jika terasa keras atau tersangkut, mungkin pelapik atau bearing stereng sudah haus atau rosak.
8. Periksa samada terdapat kebocoran minyak atau cecair lain seperti cecair brek atau cecair penyejuk. Cecair atau minyak yang bocor akan meninggalkan kesan pada gasket, dan harus di cari puncanya. Kebocoran kecil boleh menjadi semakin besar dalam perjalanan jauh sewaktu tekanan minyak dan suhu telah meningkat.
9. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memeriksa dan menambah bahanapi dan juga cecair penyejuk. Periksa cermin sisi agar berada pada kedudukan yang betul. Penggunaan beg sandang atau beg galas juga tidak digalakkan kerana ianya mudah bergerak atau teralih sewaktu perjalanan, dan memberi kesan negatif kepada keseimbangan. Gunakan dan ikatkan bagasi yang sesuai, seboleh bolehnya berdekatan dengan pusat graviti motosikal anda, seperti di bahagian tengah, untuk mengimbangkan pembahagian berat. Bagasi yang digunakan mesti tidak menghalang sebarang kawalan motosikal seperti hendal, dan tidak berambu rambu.
10. Pakai jaket pembalik cahaya supaya mudah kelihatan oleh pengguna jalanraya yang lain. Gunakan pakaian yang sesuai dan tidak gelebeh atau terlalu besar, untuk mengelakkan ianya tersangkut sewaktu perjalanan. Bawa bekalan baju hujan yang bersesuaian, peralatan asas yang perlu seperti spanar plug, gunakan topi keledar yang diiktiraf, dan juga sarung tangan serta kasut yang bersesuaian.
11. Jangan lupa memeriksa rantai motosikal anda agar ia nya cukup tegang dan tidak longgar, kerana rantai yang terlalu longgar mungkin terjatuh dan putus.
Dalam kegembiraan pulang berhari raya, pastikan perancangan teliti di buat lebih awal agar kita tidak tergesa gesa mengejar waktu apabila pulang ke tempat kerja kelak. Dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang yang jauh. Perjalanan secara berkumpulan adalah baik, tetapi elakkan menunggang secara terlalu rapat antara satu sama lain, dan jangan berlumba. Berhenti jika terasa mengantuk walaupun sedikit dan jangan memaksa diri meneruskan perjalanan.
Selamat menyambut Aidilfitri, dan tungganglah secara selamat
No comments:
Post a Comment