Tayar tidak makan usia di kedai


Kebelakangan ini terdapat banyak salah paham yang tersebar di media sosial membabitkan usia atau umur tayar. Sebenarnya harus diketahui bahawa yang paling penting bukanlah tarikh pembuatan atau penghasilan tayar tetapi tarikh pemasangannya pada kenderaan. Sebabnya adalah semasa dalam simpanan (pra pemasangan), tayar tidak dikembungkan atau dikenakan tekanan udara, tidak juga mengalami bebanan, dan hanya terdedah kepada naik turun suhu yang agak kecil di dalam stor  penyimpanan.

Penyelidikan yang telah dijalankan oleh organisasi bebas membuat kesimpulan bahawa tayar yang disimpan dalam keadaan penyimpanan yang disyorkan, tidak akan mengalami pengurangan prestasi jika perbandingan dibuat antara tayar yang baharu dan tayar yang dihasilkan tiga tahun yang lepas.

Tarikh tayar dipasang pada kenderaan adalah lebih relevan atau penting. Semasa tayar digunakan pada kenderaan, ia dikenakan tekanan tinggi, terkesan oleh sentuhan permukaan jalan, bebanan dan keadaan lain yang tidak wujud sewaktu penympanan. Oleh itu, usia hayat tayar menyusut dengan ketara sebaik sahaja ia dipasang, dan bukan sebelumnya

Tiga kajian telah dilakukan di Korea, Jerman, dan Arab Saudi yang mengesahkan bahawa penuaan tayar tidak relevan sewaktu dalam penyimpanan.

Kajian di Korea & Jerman tidak menunjukkan perbezaan prestasi antara tayar yang baharu dibuat berbanding tayar yang disimpan selama 3 tahun. Kajian Arab Saudi pula menunjukkan bahawa tayar yang digunakan pada kenderaan selama 1 tahun mempunyai penuaan yang setara dengan tayar dalam penyimpanan selama 10 tahun.

Selepas pemasangan pada kenderaan, tayar memerlukan penjagaan yang sangat istimewa semasa hayat operasinya seperti penyelenggaraan tekanan, penjajaran (alignment), pemeriksaan kerosakan dan pengukuran kedalaman bunga tayar - kesemua ini - tidak relevan sewaktu tayar dalam simpanan.

Walaupun begitu, sesetengah pengeluar tayar seperti Michelin mengesyorkan bahawa tayar yang berusia lebih sepuluh tahun dari tarikh pembuatannya agar dihentikan penggunaannya. Continental Malaysia pula memberi jaminan atau waranti selama 5 tahun dari tarikh pemasangan oleh pelanggan dengan syarat bahawa tarikh pembelian adalah dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pengeluaran tayar kenderaan persendirian.


Sumber: Jabatan Perlindungan Pelanggan Korea; ADAC, organisasi pengguna kenderaan Jerman; dan kajian Arab Saudi yang dijalankan oleh Osaka City University, diterbitkan dalam Rubber Chemistry and Technology.

No comments: