Redah banjir, enjin boleh retak

 Kalau menunggang meredah banjir, bolehkah enjin retak atau pecah? Persoalan ini banyak dibincangkan, dan seperti biasa banyaklah pendapat dan debat yang berkisar dengan isu ini.

Seperti lazimnya, sesuatu kerosakan itu terjadi disebabkan berbagai faktor dan penyebab yang menyumbang kepada kerosakan tersebut. Dan perlu juga disedari bahawa ada juga kerosakan yang disebabkan oleh kejadian yang berulang ulang, bagai retak menanti belah, dan kadangkala kerosakan besar akan terjadi disebabkan sesuatu yang kecil, kerana kerosakan dalaman telah lama berlaku tanpa disedari. 

Seperti kita sedia maklum, bahagian enjin dipermuat dari bahan logam. Enjin sekarang banyak diperbuat dari campuran aluminium adau keluli, tisak seperti dahulu bila enjin diperbuat dari besi tuangan (cast iron). Salah satu sebabnya adalah besi tuangan tidak tahan dengan perubahan suhu dan lebih rapuh serta berat, jika dibadingkan dengan logam moden yang digunakan masa kini.

Sekiranya anda memanaskan atau menyejukkan logam secara seragam, biasanya ia tidak mengalami kerosakan teruk atau retak. Tetapi jika anda menyejukkan hanya satu tempat atau bahagian logam panas, ia boleh menyebabkan retak atau sekurang kurangnya membengkok atau kiat. Menyejukkan hanya satu bahagian kecil logam tetapi kawasan sekitarnya masih panas mungkin akan menyebabkan keretakan. Apabila kita melakukan kerja mempateri (welding) besi tuangan, kita perlu memanaskan kawasan sekitar tempat yang ingin dipateri tersebut secara seragam untuk memanaskannya secara seragam supaya bahagian lain tidak membengkok atau retak.
Berbalik kepada persoalan asal, adakan enjin akan retak jika meredah banjir? Mengapa banyak motosikal yang melalui kawasan banjir tidak mengalami kerosakan? Bukankah motosikal telah diuji meredah air di kilang sewaktu ia direkabentuk?

Semuanya bergantung kepada keadaan. Sesetengah motosikal seperti motocross dan adventure dari awal lagi telah direka dan dibina dengan enjin yang lebih tebal dan tahan penyejukan mendadak kerana ia memang berkemungkinan akan digunakan untuk meredah air.

Namun begitu, tidak dapat kita nafikan bahawa logam yang panas jika disejukkan mendadak, akan membengkok. Bahan logam aluminium lebih anjal dan tahan bengkok dan mudah kembali ke bentuk asal. Pun begitu, harus difahami bahawa enjin diikat kepada kerangka, dan tidak bebas bergerak. Enjin yang amat panas jika disejukkan akan membengkok. Jika pemanasan dan penyejukkan terjadi secara seragam dan sekata, tentunya tiada masalah.

Tetapi jika ia nya terjadi secara mendadak, penyejukkan akan menyebabkan daya kilasan, yang'menarik' satu bahagian enjin melawan bahagian lain dan boleh menyebabkan ia retak. Retak halus mungkin tidak akan kelihatan pada masa kasar. Tetapi jika proses ini berlaku berulang kali, retak ini akan semakin membesar menunggu belah.

Dengan tak semena mena pada satu hari ketika anda menunggang di lebuhraya pada hari yang kering, mungkin pada kelajuan atau rpm tinggi, getaran enjin akan menyebabkan retak ini terbelah secara tak semena semena! Kita pun akan menjadi pelik apakah penyebabnya, walhal ia sudah lama rosak dan hanya menunggu hari untuk terbelah.

Jadi, elakkanlah meredah banjir. Jika terpaksa sangat, sejukkan dulu enjin, jangan sewaktu enjin terlalu panas. Begitu juga bila membasuh motosikal, tunggu sejuk dulu. Buat apa ambil risiko, kan.....? Dan, kalau jumpa gambar yang tersebar di media sosial tentang motosikal yang retak atau pecah enjin, jangan terus mudah percaya. Siasat dulu. Mungkin dia selalu meredah banjir atau telah mengalami perlanggaran atau hentakan teruk sebelum ini.


No comments: