Yamaha NVX Challenge uji aspek kelasakan

 Asalkan ia nya beroda, tidak kiralah beroda dua atau empat, akan ada yang berlumba dengannya satu ketika nanti baik di taman atau di jalanraya.  Jika anda menganggap sebuah skuter sebagai satu mod pengangkutan yang mudah, murah, cepat dan cara yang menyenangkan untuk ke sekitar bandar, anda juga tentu pasti bahawa akan ada orang yang akan berlumba dengannya.

Lumba skuter bukanlah satu perkara baharu dan telah pernah dianjurkan di negara ini  Mungkin ramai yang masih mengingati zaman perlumbaan Suzuki VS atau Yamaha Ego satu ketika dahulu. Kini Yamaha menganjurkan satu lagi perlumbaan satu-pengeluar dengan memaparkan skuter terbaharu yang baru saja mereka lancarkan iaitu Yamaha NVX 155 Challenge yang merupakan salah satu acara perlumbaan bermula Pusingan 6 musim 2017 dalam kejohanan Petronas AAM Malaysian Cub Prix, yang telah berlangsung di Jasin, Melaka semalam. Seperti perlumbaan lain, ia nya juga akan merupakan platfom untuk menguji kelasakan skuter ini apabila didedahkan dengan keperluan mendesak alam perlumbaan.

Berlumba skuter memerlukan sedikit perubahan paradigma dalam corak penunggangan anda. Menunggang skuter sedikit berbeza dari menunggang motosikal biasa kerana posisi badan yang lebih menegak dan kedudukan kaki kini tidak lagi mengepit badan motosikal atau di atas pemijak, dan anda boleh menggerakkan kaki anda dengan mudah mengekalkan kaki di atas lantai skuter. Ini juga membuatkannya lebih mudah untuk mengeluarkan lutut kaki bahagian dalam ketika menangani selekoh.

Teknik ini membolehkan anda untuk membelok dengan lebih cepat dan mendadak sambil mengekalkan kawalan mampan dalam proses membelok tersebut. Anda tidak perlu menyandarkan badan ke dalam selekoh. Cukup sekadar mengeluarkan lutut anda ke arah puncak atau apeks selekoh yang ingin ditangani. Semakin dibuka, semakin mudah untuk menghalakan skuter anda ke selekoh tersebut. Badan anda akan mengikuti hala yang sama,  dan ini membuat pemindahan berat yang lebih lancar.

Jika kita perhatikan pelbagai model skuter (dan juga motosikal) yang berbeza, kita akan dapati bahawa ketegangan tekanan tuil brek skuter pelbagai model ini tidak sama dari satu skuter ke model yang lain. Di samping itu setiap penunggang mempunyai bentuk dan saiz tangan serta jari yang unik. Skuter menggunakan tuil brek di kiri untuk roda belakang dan tuil brek kanan bagi roda hadapan seperti mana motosikal lain. Memegang bar hendal dan mengekalkan beberapa jari pada tuil brek memerlukan ketangkasan. Anda perlu memegang bar hendal seperti ini iaitu dengan jari berada pada tuil brek apabila menunggang di bandar, terutama di jalan-jalan yang sibuk, apatah lagi ketika perlumbaan.

Untuk memudahkan anda mengekalkan jari pada tuil brek, minta mekanik untuk menyesuaikan ketegangan tuil berdasarkan ukuran dan kedudukan menunggang anda. Jika anda mempunyai tangan kecil atau jari pendek, melonggarkan kabel sedikit atau laraskan tuil brek anda.

Perlumbaan skuter memerlukan kemahiran mengawal brek dan kawalan pendikit atau throttle ketika menangani selekoh. Memandangkan skuter tidak memberikan pilihan gear untuk pecutan atau meredam kelajuan dengan enjin, pelumba harus pandai mengawal brek untuk mendapatkan momentum yang baik ketika memasuki selekoh, supaya momentum skuter yang sesuai mampu dikekalkan untuk keluar dari selekoh tersebut dengan tangkas dan cepat.

Yamaha NVX 155 dibekalkan dengan sistem brek anti-kunci ABS satu saluran (single channel) untuk roda hadapannya dan ini membantu memudahkan penggunaan brek yang tangkas dan keras tanpa risau roda hadapan akan terkunci.  Sistem ini diimbangkan denga penggunaan brek gelendung atau 'dram' (drum brake) di bahagian belakang yang akan memberikan cengkaman brek yang lebih sekata dan tidak terlalu mengejut jika dibandingkan dengan brek cakera. Penggunaan brek gelendung ini mengurangkan kemungkinan brek belakang terkunci dan banyak membantu dalam mengawal skuter anda ketika diperlukan. Brek hadapannya juga dibekalkan dengan punat tekan untuk mengunci brek hadapan ketika diperlukan. Ini amat berguna ketika meletakkan skuter anda di tempat yang sedikit curam, tanpa risau ia nya akan bergolek dengan sendirinya dan terbalik.
Pengambilan selekoh dengan Yamaha NVX 155 ini dirasakan lebih mantap berbanding abangnya Yamaha Nmax terutama sekali di kawasan selekoh berbilang seperti di jalan berbukit, ataupun di litar perlumbaan. Skuter ini dilengkapi dengan kejutan belakang, dan bagi tujuan perlumbaan, jentera yang digunakan dalam Yamaha NVX Challenge telah dipasang dengan penyerap kejutan bertangki simpanan dari jenis Racing Boy. Jika berat anda melebihi 80kg atau keap membawa pembonceng, anda juga harus belajar untuk membuat penyesuaian yang diperlukan untuk mendapat manfaat daripada skuter anda untuk perjalanan yang lebih selamat dan lebih selesa. Anda boleh memilih untuk memasang jenis penyerap kejutan ini sebagai cara untuk mengendalikan bebanan tambahan pada ekor atau bahagian belakang skuter, sama ada ketika membawa penumpang atau kargo. Anda mungkin tidak menyedarinya di jalan rata, tetapi apabila menangani jalan yang tak begitu elok, gantungan atau suspensi belakang boleh terhentak atau tertekan rapat dari semasa ke semasa, dan ini mungkin menjejaskan keseimbangan dan keselamatan anda. Walaupun semasa menunggang berseorangan atau solo, anda mungkin lebih suka tahap serapan kejutan yang lebih lembut atau keras bergantung kepada keadaan jalan raya.


Enjin 155cc sejukan cecair SOHC LC4V Blue Core dengan VVA  atau Variable Valve Actuation (gerakan injap boleh-ubah) menawarkan kuasa masima yang anda perlukan dengan setiap kilasan pendikit, dan jaminan penjimatan penggunaan bahanapi melalui teknologi Blue Core sama seperti enjin Nmax. Kuasa disalurkan ke roda belakang melalui talisawat V-belt melalui sistem CVT (transmisi sentiasa berubah) bagi hantaran kuasa yang sekata dan tidak tersengguk sengguk.

Disebalik kesemua ciri tunggangan dan pengendalian ini, rekabentuknya beserta grafik sport memberikan penampilan menarik hinggakan pada awalnya tidak kurang yang memikirkan bahawa ia nya adalah sebuah moped dan bukannya sebuah skuter! Dalam pada itu, jangan lupa bahawa skuter ini disasarkan sebagai sebuah skuter premium. Oleh itu ia didatangkan dengan beberapa ciri premium seperti lampu LED depan belakang, lampu tunggangan siang, paparan panel LCD digital 5.8" yang terang dan jelas bagi memaparkan maklumat seperti kelajuan, odometer, jam, tolok bahanapi dan sebagainya.


Ciri premium yang paling menonjol adalah penggunaan sistem tanpa kunci, dengan pengesanan kedekatan atau proksimiti penunggang melalui fob kunci yang boleh disimpan dalam kocek anda. Sebaik skuter ini mengesan bahawa fob kunci adalah berhampiran, ia nya bersedia untuk diaktifkan atau di"bangkitkan dari tidur". Hanya selepas pengesanan ini, barulah segalanya boleh dilakukan seperti menghidupkan skuter, membuka pelanan mahupun melepaskan kunci hendal. Jangan pula risau terlalu jika fob kunci ini hilang, kerana untuk tujuan kecemasan anda dibekalkan dengan kod kunci yang masih membolehkan anda menghidupkan skuter anda walaupun ia nya sedikit rumit prosesnya namun cukup untuk mengelakkan anda terpaksa meninggalkan skuter anda. Cuma pastikan siri nombor kod ini disimpan di tempat selamat atau dengan orang yang diercaai dan mudah dihubungi seperti di rumah ahli keluarga.

Kesimpulannya skuter ini amat menarik dan memberikan nilai untuk wang, dengan kesemua ciri ciri yang ditawarkannya juka dibandingkan dengan skuter premium lain yang lebih mahal. Amat sesuai untuk tungangan komuter, ia boleh dgunakan untuk bersantai dan bersosial bila perlu seperti di hujung minggu. Mungkin ia akan menjadi pencetus fenomena baharu seiring negara Asian lain di mana penggunaan skuter adalah melebihi 50% dari jumlah motosikal di jalanraya.

Baca semula artikel pelancarannya yang mengandungi spesifikasi skuter ini di sini.





















No comments: