3 model baharu BMW di lancar



BMW Motorrad Malaysia memperkenalkan barisan motosikal baharunya pada acara Malaysian Motorcycle Grand Prix 2017 hujung minggu ini. BMW HP4 Race, BMW G 310 GS serba baharu dan BMW S 1000 XR dipertontonkan buat pertama kali di Malaysia pada acara tahunan MotoGP di Litar Antarabangsa Sepang (SIC).  

Harga runcit (tidak termasuk insurans dengan GST) model-model baharu ini ialah:
BMW HP4 Race - RM 520,900.00
BMW G 310 GS - RM 29,900.00
BMW S 1000 XR - RM 105,900.00

Ketika memperkenalkan motosikal premium tersebut, Ketua BMW Motorrad Malaysia, Owen Riley berkata, “Memandangkan MotoGP merupakan acara perlumbaan motosikal paling besar di Malaysia, maka memang sesuai jika BMW Motorrad Malaysia membuat penampilan yang gah di sini. Pada tahun ini, kami mengetengahkan tiga buah motosikal baharu yang sememangnya sudah lama ditunggu-tunggu oleh peminat motorrad sejak ia membuat kemunculan di Milan tahun lalu!
“BMW HP4 Race serba baharu – jentera superbike perlumbaan sebenar kami dicipta khas untuk kegunaan di trek perlumbaan! Tidak ketinggalan, model BMW 310 GS serba baharu dan Super Adventure Sports Tourer, BMW S 1000 XR.”

BMW HP 4 Race serba baharu. Direka khas dengan inovasi untuk prestasi terbaik di atas litar perlumbaan.
Dengan BMW HP4 Race, BMW Motorrad Malaysia menawarkan sebuah jentera perlumbaan sebenar yang hanya diproduksi sebanyak 750 unit sahaja di seluruh dunia. Motosikal ini dibina satu persatu oleh pasukan pakar demi memastikan tahap kualiti kuasa dan kebolehpercayaan paling tinggi ketika beraksi di atas litar lumba.
BMW HP4 RACE dikuasakan oleh enjin bagi tujuan perlumbaan, bersama spesifikasi 6.2 dan 7.2 untuk Kejohanan Endurance dan Superbike Dunia. Kuasa maksimumnya mencecah 158kW (215hp) pada 13900 rpm dan tork puncak 120Nm pula boleh dicapai pada 10,000rpm. Berbanding BMW S 1000 RR, kelajuan maksimum jentera ini telah ditingkatkan daripada 14,200rpm kepada 14,500rpm. Dengan matlamat untuk mencapai prestasi terbaik, kotak gear perlumbaan enam kelajuan dengan  nisbah pendek digunakan. Nisbah transmisi dan beberapa nisbah sekunder turut dioptimumkan.
Dari segi enjin dan sistem elektronik, BMW HP4 RACE serba baharu berada dalam kategori sama seperti jentera perlumbaan keluaran kilang. Namun, ia lebih menyerlah menerusi suspensi dengan kerangka gentian karbonnya. Hanya seberat 171 kilogram dalam keadaan tangki penuh dan bersedia untuk beraksi di atas trek, BMW HP4 RACE sebenarnya lebih ringan berbanding mana-mana jentera perlumbaan yang digunakan dalam Kejohanan Superbike Dunia sekarang.
BMW HP4 RACE semestinya memenuhi keperluan paling tinggi teknologi perlumbaan dari segi elemen suspensi dan breknya. Fork terbalik (upside-down) FGR 300 dan topang gegelung TTX 36 GP dibekalkan oleh pengeluar dari Sweden, Öhlins. Ia merupakan komponen sama yang digunakan oleh jentera dalam perlumbaan Kejohanan Superbike Dunia dan MotoGP. Aloi ringan lengan ayun diperbuat daripada kepingan besi itu juga ialah komponen yang digunakan dalam Kejohanan Superbike Dunia.
Dengan dua angkup brek monoblock Brembo GP4 PR, sistem brek HP4 RACE baharu ini sebenarnya boleh ditemui pada jentera Kejohanan Superbike Dunia. Omboh titanium dan satu unit angkup aluminium dengan permukaannya disadur nikel secara kimia ialah kombinasi material terbaik yang boleh anda perolehi pada hari ini. Dengan brek 6.75 mm setebal 320 milimeter bagi tujuan perlumbaan, sistem brek ini menjanjikan prestasi mengagumkan.  
BMW HP4 RACE didatangkan dengan pakej sistem bantuan penunggang, kawalan elektronik dan satu sistem elektrikal  ringan yang telah dioptimumkan untuk memenuhi keperluan perlumbaan. Pelbagai maklumat boleh diperoleh daripada papan pemuka 2D (data-logger) dengan memori datanya boleh dikongsi.
BMW HP4 Race hanya ditawarkan dalam skim warna BMW HP Motorsport yang memberikan penampilan agresif sebuah superbike sebenar.

BMW G 310 GS serba baharu. Bersedia untuk pengalaman tunggangan setiap hari.
Rangkaian motosikal GS daripada BMW Motorrad menjanjikan aspek fungsi, kebolehpercayaan dan ketahanan yang mengagumkan. BMW G 310 GS membawakan semua kualiti ini ke dalam segmen motosikal berkapasiti bawah 500cc bersama interpretasi yang lebih matang dan tersendiri.
Produk yang sangat kontemporari dan versatil itu dilihat tidak mempunyai pesaing dalam segmennya. Ia cukup lincah di bandar dan sangat mantap di laluan off-road ringan. Aspek ini menjadikannya sebagai teman terbaik untuk tunggangan yang mengujakan pada setiap hari. Sangat kompak, matang dan selesa, GS membuka satu dunia serba baharu dalam segmennya. Versatiliti inilah yang membuatkan BMW G 310 GS begitu unik dalam segmen asas atau entry-level.  
Tarikan utama BMW G 310 GS baharu ialah enjin silinder tunggal dengan sistem penyejukan cecair. Turut digunakan pada model BMW G 310 R, ia hadir dengan empat injap dan dua unit overhead camshaft dan sistem pancitan bahan api elektronik. Kapasiti 313cc itu hasil daripada satu gerek (bore) bersaiz 80 milimeter dan lejang 62.1 milimeter. Salah satu ciri unik pada enjin silinder tunggal pada BMW G 310 GS ini ialah silindernya dicondongkan ke belakang dan kepala silinder diputar 180 darjah. Corong pengambilan berada di hadapan dan outlet pula di belakang.  
Konfigurasi ini membolehkan bekalan campuran udara segar-bahan api disalurkan dengan lancar. Di samping memberi kesan positif ke atas seni bina motosikal ini. Dengan output 25kW (34hp) pada 9,500rpm dan tork maksimum 28Nm pada 7,500 rpm enjin BMW G 310 GS ini memang ideal untuk memberi tunggangan yang dinamik, dibantu oleh beratnya yang hanya 169kg.   
Dari segi suspensi, BMW G 310 GS menggunakan kerangka besi tubular dengan bahagian belakang dipasang secara bolt-on untuk menawarkan ketegaran dan kualiti terbaik. Dengan ketegaran yang seimbang, ia memberi asas kestabilan tunggangan dan maklum balas stereng lebih tepat. Suspensi roda hadapan terdiri dari unit fork terbalik (upside-down) yang teguh. Sementara roda belakang pula menggunakan lengan ayun aluminium bersama topang gegelung dipasang terus padanya.    
Dapra (fender hadapan yang tinggi), garis badan yang menyerlah serta bahagian belakang yang pendek dan tinggi memberikan BMW G 310 GS ciri klasik model-model GS bersesaran lebih besar.  Perkadarannya yang kompak bersama tapak roda pendek, rim hadapan bersaiz 19 inci dan pergerakan gegelung suspensi lebih panjang menawarkan postur tunggangan yang menegak. Seterusnya menjanjikan kualiti tunggangan yang lincah dan responsif. BMW G 310 GS juga direka untuk pasaran dunia, jadi ia sesuai untuk digunakan dengan pelbagai kualiti bahan api, selain mematuhi semua standard emisi dan keperluan setiap pasaran berbeza.  
BMW G 310 GS didatangkan dalam tiga warna menarik iaitu hitam bukan metalik (Cosmic Black), merah bukan metalik (Racing Red) dan putih mutiara metalik (Pearl White). Varian-varian ini menawarkan spektrum pilihan daripada sporty, kukuh dan kontemporari.


BMW S 1000 XR baharu. Jentera Adventure Sport yang semakin menarik.
Melalui pengenalan BMW S 1000 XR pada tahun 2015, BMW Motorrad menawarkan interpretasi tersendiri ke dalam pasaran jentera sports touring apabila menggabungkan aspek emosi. Maka, lahirlah gaya motosikal Adventure Sports - satu bentuk sintesis di antara teknologi inovatif, prestasi dan keselamatan. Ia kemudian digabungkan dengan kualiti touring yang dinamik, sporty, tahap keselesaan terbaik dan praktikaliti untuk tunggangan harian.
Lebih penting lagi, XR baharu digerakkan oleh enjin empat silinder sebaris yang menepati piawaian EU4. Pada S 1000 XR, BMW Motorrad menggunakan enjin 4 silinder sebaris bersesaran 999cc yang bukan sahaja dibina supaya memenuhi piawaian emisi EU4, malah kuasanya juga telah dipertingkatkan. Tujahan kuasanya kini mencecah 121kW (165hp) pada 11,000rpm (sebelum ini: 118kW (160hp) pada 11,000rpm), dalam erti kata lain, meningkat sebanyak 3kW (5hp).  
Bukan itu sahaja, aspek getaran bar pemegang yang dioptimumkan dan penambahan 10kg pada berat memberikan motosikal ini lebih kestabilan ketika menunggang, selain boleh membawa lebih banyak beban. Elemen penyerap pada bar hendal S 1000 XR dapat mengurangkan getaran dengan efektif.     
Untuk memberi lebih keseronokan ketika dalam perjalanan santai dan bercuti, penunggang akan menikmati manfaat peningkatan berat S 1000 XR sebanyak 10kg daripada 434 kepada 444kg. Ini juga bermakna pertambahan beban sebanyak 10kg.
S 1000 XR kini hadir dengan tawaran satu warna baru iaitu biru metalik matt (Ocean Blue) yang memberikan motosikal Adventure Sport touring ini penambilan tersendiri yang lebih menyerlah. 

BMW HP4 Race





BMW S1000 XR





 BMW G 310 GS





 

 

No comments: