Selepas menggenggam dua trofi peribadi di peringkat nasional
dalam kariernya, Mohd Akid Aziz kini dalam misi memburu trofi berprestij ketiga
apabila turun beraksi mempertahankan kedudukan pendahulu keseluruhan dalam
saingan Underbone 150cc pada Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar
Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, minggu ini.
Pelumba berusia 19 tahun yang membawa cabaran UMA Racing Yamaha Maju Motor itu telah menggondol gelaran keseluruhan CP115
Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS pada 2016 dan 2017 selain turut cemerlang
pasukannya memenangi gelaran pasukan terbaik buat dua tahun berturut-turut di
peringkat nasional dan juga antarabangsa.
Pada aksi minggu ini, Akid bakal melengkapkan tahun sempurna
buat pasukan kendalian Yong Ying Hoe seandainya berjaya menjulang gelaran juara
keseluruhan kelas underbone ARRC yang kali terakhir dibawa pulang oleh pelumba
negara pada tahun 2009.
Selepas lima pusingan, Akid kini hanya memerlukan enam mata
kejuaraan dalam baki dua perlumbaan akhir untuk mengesahkan gelaran selaku
juara keseluruhan apabila kini selesa mendahului kedudukan dengan 164 mata, 44
mata mengatasi Wahyu Aji Trilaksana di kedudukan kedua manakala rakan sepasukan
Akid, Md Haziq Fairues ketiga dengan 116 mata.
“Saya sangat berbangga melihat bagaimana pasukan saya
bekerja keras khususnya dalam kelas 150cc pada tahun ini. Kami cepat
menyesuaikan diri dengan peraturan yang ditetapkan dan membantu kami untuk memperoleh
keputusan terbaik tidak kira di peringkat kebangsaan ataupun antarabangsa,”
jelas Akid.
“Untuk perlumbaan minggu ini, tekanan mengejar
gelaran keseluruhan tidak begitu tinggi. Saya cuma berharap semuanya akan berlangsung dengan baik
seperti apa yang dirancang untuk menambah satu lagi koleksi peribadi dan juga
kepada pasukan.”
Untuk rekod, sepanjang tahun 2016 dan 2017, pasukan Maju
Motor telah menggondol 11 gelaran juara keseluruhan berpasukan dan individu
dalam kategori perdana CP130 yang ditukar ke kategori CP150 pada tahun ini dan
juga CP115 di dalam siri Kejuaraan Cub Prix selain muncul pasukan terbaik
Underbone 130 2016.
No comments:
Post a Comment