Pelumba negara, Azlan Shah Kamaruzaman tidak mahu dibebani
harapan untuk meraih gelaran juara keseluruhan SuperSports 600cc pada pusingan
terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) di Litar Antarabangsa Chang,
Buriram, Thailand, minggu ini.
Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu yang ketika ini
menghuni tangga keempat keseluruhan sebaliknya selesa bertindak sebagai pelumba
bukan pilihan meskipun hanya 10 mata ketinggalan kepada pendahulu, Mohd Zaqhwan
Zaidi.
“Saya tidak mahu meletakkan sebarang tekanan kepada diri
sendiri. Saya hanya memikirkan bagaimana untuk tampil terbaik ketika di litar
dan bagaimana untuk memenangi perlumbaan. Lima pelumba teratas masih berpeluang
dan sedang bersaing sengit memburu kejuaraan.
“Tumpuan lebih diberikan kepada Zaqhwan kerana dia sedang
mendahului kedudukan. Saya selesa tampil selaku pelumba ‘underdog’ dan menamatkan perlumbaan di atas podium,” jelas juara
tahun 2013 itu.
Pada masa sama, Azlan dan rakan sepasukan, Ahmad Yudhistira
turut mempunyai misi untuk membantu pasukan muncul juara keseluruhan setelah
mendahului kedudukan ketika ini dengan 155 mata, sembilan mata mengatasi juara
bertahan, Musashi Boon Siew Honda Racing yang berada di kedudukan kedua.
“Kiraan mata diambil dari pelumba terbaik pasukan. Yudhistira
ketika ini juga sedang bersaing untuk gelaran keseluruhan. Ini akan memberi
kelebihan buat pasukan kerana tidak kira saya ataupun Yudhis pasti akan memungut
seberapa banyak mata dan optimis kami mampu untuk menamatkan dominasi pasukan
Musashi Boon Siew Honda Racing yang memegang gelaran pasukan terbaik selama
lima tahun berturut-turut,” tambah Azlan yang pernah membantu pasukan
berpengkalan di Malaysia itu memegang gelaran pasukan terbaik pada 2012 dan
2013.
Kali terakhir jentera Kawasaki memenangi gelaran pada tahun
2011 melalui Katsuaki Fujiwara sebelum penguasaan oleh Musashi Boon Siew Honda
Racing.
No comments:
Post a Comment