TEKAD TAMPIL AKSI TERBAIK TUTUP TIRAI 2017
Fakhrusy Syakirin Rostam sedia melupakan prestasi kurang memberangsangkan pada musim ini dengan mencipta kejutan di halaman sendiri pada pusingan terakhir Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 di Dataran Bandar Penawar, Johor, Sabtu dan Ahad ini.
Disebalik kemelut masalah mendapatkan prestasi optimum jentera Honda dalam kategori CP150, pelumba pasukan SCK Rapido Hi-Rev Honda Racing itu masih mampu memberikan cabaran sengit apabila sentiasa layak ke sesi Superpole dan muncul pelumba Honda terbaik keseluruhan ketika ini dengan 52 mata untuk berada di tangga kelapan keseluruhan.
Pelumba berusia 21 tahun itu juga masih berpeluang untuk melonjakkan diri berada di kelompok lima pelumba terbaik keseluruhan seandainya mampu menamatkan perlumbaan di atas podium.
“Ramai yang memperkatakan tentang prestasi kami, namun kritikan seperti ini menjadikan kami lebih kuat pada masa akan datang.
“Kami perlu percaya kepada kebolehan dan kemampuan kami dan membuktikan kami berupaya memberikan saingan di litar. Kamitidak akan mengalah dan akan terus bekerja keras pada perlumbaan terakhir musim ini,” jelas Fakhrusy.
Anak jati Johor itu pernah mencipta kejutan pada musim 2016 apabila muncul juara dalam kategori CP115 sewaktu perlumbaan berlangsung di Pasir Gudang meskipun hanya beraksi atas tiket pelumba persendirian.
No comments:
Post a Comment