Dunia sukan permotoran negara masakini meriah dengan kejayaan beberapa pelumba negara seperti Khairul Idham Pawi, Hafizh Syahrin Abdullah, Adam Norrodin dan Zulfahmi Khairuddin di pentas antarabangsa selain yang terdahulu dari mereka seperti Shahrol yuzy Ahmad Zaini, Wazi Abd Hamid, Zamani Khairuddin dan adik beradiknya, Zamri Baba, Norizman ismail serta nama nama besar lain yang tidak sempat disenaraikan di sini.
Pencarian bakat baharu sukan permotoran sentiasa berlangsung sepanjang tahun, dan seperti lazimnya sebagai aktiviti pra-musim 2018 yang mendatang, pendaftaran untuk pemilihan pelumba bagi siri perlumbaan satu pengeluar kini dibuka menjelang pusingan kesembilan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 yang akan berlangsung di Batu Kawan Pulau Pinang pada 4 dan 5 November ini.
Siri perlumbaan satu pengeluar ini menjadi landasan penting kepada proses mengenalpasti dan membangunkan pelumba muda di Malaysia. Ini memandangkan fakta bahawa hampir kesemua pelumba Malaysia yang mencipta nama di pentas antarabangsa telah memulakan karier mereka di pentas sebegini.
Tempoh selama sebulan diperuntukkan bagi membolehkan pendaftaran bagi mereka yang berminat menyertai dunia perlumbaan dari seluruh negara. Penganjur perlumbaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia akan mengadakan sesi pemilihan dan calon calon yang terpilih akan menerima latihan daripada jurulatih dan bekas pelumba berpengalaman manakala motosikal juga akan turut disediakan oleh pihak pengeluar. Setakat ini difahamkan kedua dua pengeluar Honda dan Yamaha akan meneruskan program perlumbaan satu pengeluar seperti yang ada pada musim 2017 ini.
Bermula musim 2017, semua peserta yang terpilih untuk menyertai perlumbaan satu pengeluar diperlukan untuk membuat bayaran sebanyak RM4,000 semusim yang merangkumi yuran pendaftaran bagi 10 perlumbaan musim 2017, insurans perlumbaan dan lain-lain perkara yang berkaitan. Namun begitu, sut perlumbaan yang dibekalkan untuk kegunaan perlumbaan sepanjang musim akan menjadi milik pelumba pada penghujung musim. Oleh iu, perlumbaan kelas biasiswa ini mampu dijadikan lebih murah dan tidak memerlukan perbelanjaan yang besar bagi mereka yang ingin menceburkan diri dalam dunia perlumbaan. Pada musim lepas, pihak Yamaha juga menyediakan slot kemasukan dalam kategori Wira kepada dua pelumba terbaik musim 2017 manakala pihak Honda akan membantu tiga pelumba terbaik untuk menyertai pasukan satelit Honda.
Bagi mereka yang berminat untuk menyertai perlumbaan kategori Satu Pengeluar Siri Super Yamaha PETRONAS, Cabaran Honda Wave Alpha dan Cabaran Yamaha NVX 155 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS, berikut merupakan sedikit garis panduan cara dan langkah-langkah awal untuk anda memulakan karier anda.
Perlumbaan Satu Pengeluar/One Make Race ialah satu kategori perlumbaan yang dianjurkan oleh pengeluar-pengeluar jentera bersama-sama dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS.
- layari http://malaysiancubprix.com/rider-search-2018/ untuk maklumat terkini
- Setiap pelumba yang berminat perlulah mendapat kebenaran daripada ibu bapa terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyertai perlumbaan Satu Pengeluar/One Make Race Cub Prix.
- Pendaftaran (SECARA ONLINE SAHAJA) kini mula dibuka kepada warga Malaysia di http://malaysiancubprix.com/rider-search-2018/
- Terbuka kepada warganegara Malaysia
- Pendaftaran bermula pada 1 November 2017
- Tarikh tutup pendaftaran 5 Disember 2017
- Ujian pemilihan akan diadakan pada bulan Disember 2017
- Pemohon yang terpilih akan dihubungi sendiri oleh pihak Honda dan Yamaha untuk menghadiri sesi pemilihan
- Permohonan dan ujian pemilihan bagi yang layak adalah PERCUMA
- HANYA peserta yang melepasi ujian pemilihan dan tersenarai beraksi dalam perlumbaan ‘One Make’ perlu menyediakan bayaran pendaftaran berjumlah RM4,000 (merangkumi yuran pendaftaran 10 pusingan musim 2018, insurans dan pengurusan berkaitan perlumbaan)
- Untuk pertanyaan dan maklumat lanjut, sila emel ke daftar1make@twmr.com.my atau ke laman web www.malaysiancubprix.com
Ditegaskan sekali lagi bahawa pendaftaran adalah secara online sahaja jadi sebarang bentuk perhubungan lain seperti panggilan telefon ataupun pesanan mesej tidak diterima.
No comments:
Post a Comment