Rawang Bypass dibuka hari ini

Pintasan Rawang atau Rawang Bypass seperti yang lebih gemar disebut banyak pihak, telah boleh dilalui secara rasminya hari ini. Jalan pintas yang dibina bagi menguraikan kesesakan bandar Rawang ini telah dibuka dari jam 6 pagi semalam untuk upacara perasmiannya. Ia mempunyai jambatan bertingkat sepanjang 2.7km yang setinggi hingga 58.2m dari atas tanah sebagai sebahagian daripada lebuh raya sepanjang 9km yang menghubungkan Rawang dan Serendah tersebut.

Tinjauan kami hari ini walaubagaimanapun mendapati bahawa ramai pengguna ke bandar Rawang yang masih tidak sedar bahawa laluan tersebut telah dibuka, dan telah terlajak masuk ke laluan tersebut yang akan membawa mereka melepasi langsung bandar Rawang.

 Mungkin punca utamanya adalah kerana TIADA PAPAN TANDA YANG MENUNJUK ARAH KE BANDAR RAWANG!!
 



 Pun begitu, mereka tidak sepatutnya bersikap mementingkan diri sendiri dan mengambil jalan mudah dengan berundur menongkah aliran trafik dan menyebabkan bahaya dan kesukaran kepada pengguna jalanraya yang lain. Walaupun telah tersilap masuk, mereka sepatutnya meneruskan perjalanan dan mencari jalan lain untuk berpatah balik, seperti keluar di persimpangan Sungai Choh yang hanya beberapa kilometer ke depan sahaja.

Pada majlis pelancaran itu semalam, Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia merupakan kejayaan kejuruteraan dan menandakan keupayaan dan komitmen Jabatan Kerja Raya (JKR) terhadap projek yang kompleks tanpa mengorbankan alam sekitar.

"Projek ini menggunakan Sistem Perancah Bolehgerak (MSS) untuk memelihara ekosistem dengan menghalang penggunaan jentera berat dan penebangan pokok yang berlebihan.

"Ketinggiannya juga menjadikannya unik kerana ia kelihatan seperti anda memandu melalui awan di waktu pagi atau selepas cuaca hujan. Bahagian ini juga menawarkan pemandangan panorama indah bandar Rawang," katanya.
 Projek itu di Taman Warisan Selangor itu hanya memerlukan pembangunan kira-kira 9.7 hektar tanah berbanding 25 hektar jika binaan itu dibina tanpa bahagian jambatan tinggi tersebut. Reka bentuk jambatan itu juga bertujuan untuk melindungi spesies pokok  yang jarang ditemui iaitu Merawan Kanching atau Giam Kanching di taman itu.

Fadillah berkata pintasan itu akan mengurangkan kesesakan dan masa perjalanan antara Rawang dan Serendah, yang kadang kala mengambil masa sehingga dua jam akibat kesesakan lalu lintas melalui bandar tersebut.

"Laluan ini akan memberi manfaat kepada penduduk Hulu Selangor, Selayang dan Rawang dengan mengurangkan aliran trafik di kawasan itu," katanya.

 

No comments: