Thor Truck lancarkan trak elektrik ET-One

Thor Trucks yang berpangkalan di Los Angeles, Amerika syarikat mengumumkan penawaran trak ET-One yang merupakan pesaing trak elektrik Tesla Semi. ET-One ini mampu mengangkut muatan seberat 36,287 kg dengan hantaran tork segera dari sifar RPM lagi, dan ia didakwa mempunyai jarak capaian perjalanan sejauh 482 km bagi setiap pengecasan penuh pek bateri litium-ionnya.
ET-One merupakan wawasan pengasas bersama Thor Dakota Semler dan Gio Sordoni, dan pembangunannya telah dibiayai sepenuhnya oleh keuntungan dari beberapa usaha komersial Semler yang lain. Syarikat itu masih mencari rakan komersial lain untuk membantu membawa kenderaan itu ke pasaran.
Ia mempunyai kelajuan tertinggi 113 kmj, menggunakan sistem brek regeneratif, dan dibekalkan pelbagai bateri terutamanya untuk jarak pendek. Pengecasan semula dari kosong mengambil masa 90 minit. Tesla Semi juga direka bentuk untuk jangka pendek, dengan model asas mengangkut maksimum 36 tan metrik sehingga 482 km. ET-One juga merancang untuk menawarkan versi jarak jauh 800 km, bagi menandingi penawaran Tesla 500-batu (805 km).
Berbanding dengan trak diesel yang sama, Thor mendakwa bahawa ET-One adalah 60 peratus lebih murah untuk diselenggara bagi setiap kilometer, dan 70 peratus lebih murah untuk dicas penuh semula berbanding isian semula bahanapi diesel.

Masih kurang maklumat spesifikasi yang mampu diperolehi pada masa ini. Sekiranya anda sedang mempertimbangkan pasaran untuk trak elektrik, anda boleh mengharapkan ET-One akan mula ditawarkan pada tahun 2019, dengan harga antara US$150,000 hingga $250,000 bergantung pada konfigurasi kenderaan. Sebagai perbandingan, harga anggaran untuk trak Tesla adalah di antara $150,000 hingga $180,000.
Unit percubaan atau demo terhad kini sudah boleh diuji di AS, dan boleh diatur dengan menghubungi Thor Trucks dalam talian. Mungkinkah kita akan dapat menyakiskan penampilannya dalam filem Thor akan datang?


Sumber: Thor Trucks

No comments: