Tayar tidak makan usia di kedai


Kebelakangan ini terdapat banyak salah paham yang tersebar di media sosial membabitkan usia atau umur tayar. Sebenarnya harus diketahui bahawa yang paling penting bukanlah tarikh pembuatan atau penghasilan tayar tetapi tarikh pemasangannya pada kenderaan. Sebabnya adalah semasa dalam simpanan (pra pemasangan), tayar tidak dikembungkan atau dikenakan tekanan udara, tidak juga mengalami bebanan, dan hanya terdedah kepada naik turun suhu yang agak kecil di dalam stor  penyimpanan.

Penyelidikan yang telah dijalankan oleh organisasi bebas membuat kesimpulan bahawa tayar yang disimpan dalam keadaan penyimpanan yang disyorkan, tidak akan mengalami pengurangan prestasi jika perbandingan dibuat antara tayar yang baharu dan tayar yang dihasilkan tiga tahun yang lepas.

Tarikh tayar dipasang pada kenderaan adalah lebih relevan atau penting. Semasa tayar digunakan pada kenderaan, ia dikenakan tekanan tinggi, terkesan oleh sentuhan permukaan jalan, bebanan dan keadaan lain yang tidak wujud sewaktu penympanan. Oleh itu, usia hayat tayar menyusut dengan ketara sebaik sahaja ia dipasang, dan bukan sebelumnya

Tiga kajian telah dilakukan di Korea, Jerman, dan Arab Saudi yang mengesahkan bahawa penuaan tayar tidak relevan sewaktu dalam penyimpanan.

Kajian di Korea & Jerman tidak menunjukkan perbezaan prestasi antara tayar yang baharu dibuat berbanding tayar yang disimpan selama 3 tahun. Kajian Arab Saudi pula menunjukkan bahawa tayar yang digunakan pada kenderaan selama 1 tahun mempunyai penuaan yang setara dengan tayar dalam penyimpanan selama 10 tahun.

Selepas pemasangan pada kenderaan, tayar memerlukan penjagaan yang sangat istimewa semasa hayat operasinya seperti penyelenggaraan tekanan, penjajaran (alignment), pemeriksaan kerosakan dan pengukuran kedalaman bunga tayar - kesemua ini - tidak relevan sewaktu tayar dalam simpanan.

Walaupun begitu, sesetengah pengeluar tayar seperti Michelin mengesyorkan bahawa tayar yang berusia lebih sepuluh tahun dari tarikh pembuatannya agar dihentikan penggunaannya. Continental Malaysia pula memberi jaminan atau waranti selama 5 tahun dari tarikh pemasangan oleh pelanggan dengan syarat bahawa tarikh pembelian adalah dalam tempoh 5 tahun dari tarikh pengeluaran tayar kenderaan persendirian.


Sumber: Jabatan Perlindungan Pelanggan Korea; ADAC, organisasi pengguna kenderaan Jerman; dan kajian Arab Saudi yang dijalankan oleh Osaka City University, diterbitkan dalam Rubber Chemistry and Technology.

Aduss... tayar spare pun pancit juga!

 Tak ada sesiapa pun yang ingin terkandas di tepi jalan kerana tayar pancit, terutamanya di musim perayaan. Sebab itulah adanya tayar ganti atau tayar spare dalam kenderaan, walaupun kebelakangan ini ada kereta yang tiada lagi berbekalkan tayar ganti dan hanya mengharap kepada cecair penampal ketika tayar bocor, namun ia nya bukanlah penyelesaian jika tayar anda pecah kerana kereta yang ada tayar ganti masih boleh menukar tayar dan meneruskan perjalanan mereka. Ada juga kereta yang menggunakan tayar yang boleh dipandu terus walaupun telah kehilangan tekanan udara (run-flat tyres). Kereta sebegini iada dibekalkan tayar gantian dan tayar 'run-flat' harus diganti dengan tayar yang berciri serupa juga.

Pun begitu pada kebanyakan kenderaan yang anda beli hari ini, tayar ganti di dalam kenderaan anda sebenarnya bukanlah tayar ganti dalam ertikata sebenarnya. Ia mungkin tayar sementara, yang juga dikenali sebagai donat. Tujuan jenis tayar ganti ini adalah untuk membolehkan anda sampai ke rumah atau ke kedai tayar supaya anda boleh menggantikannya dengan tayar sebenar.

Walau bagaimanapun, anda mungkin ingin mempertimbangkan menukar tayar donat anda dengan tayar ganti sebenar, jika ruang simpanan tayar membolehkannya. Ini kerana kadangkala tayar donat ini mempunyai kawasan simpanan yang kecil untuk menjimatkan ruang, dan kadangkala dipanggil juga sebagai tayar "space-saver".

Tapi mendapatkan tayar donat yang baharu ini mungkin sukar, malah penyelidikan Motorev di kedai kedai tayar semuanya mengatakan bahawa ia nya seolah olah tiada dijual! Bagi pemilik kenderaan yang agak baharu, mungkin tiada yang perlu dirisaukan, tapi pemilik kenderaan yang telah berusia lebih sepuluh tahun haruslah segera menukar tayar donat mereka kepada tayar biasa sebagai tayar ganti. Tentunya anda tak ingin tersadai kerana tayar ganti yang anda gunakan turut bocor atau pecah kerana sudah keras dan terlalu tua usianya.

 Berapa laju boleh memandu dengan tayar donat?

Apabila anda memandu dengan tayar ganti sementara atau tayar donat ini, anda perlu mengekalkan kelajuan anda. Ia bukanlah tayar bersaiz penuh untuk kereta anda, dan ia tidak sepatutnya digunakan pada kelajuan seperti tayar biasa. Lazimnya ada pelekat atau stiker tang akan tertulis kelajuan masima sebagai contoh "Max 80kmh". Anda dinasihatkan memandu pada kelajuan yang rendah sedikit, kerana tentunya akan menjadi masalah besar jika tayar ganti ini pun bocor atau pecah, kerana bebanab berat kereta anda mungkin lebih tinggi dari biasa untuk perjalanan balik kampung di musim perayaan ini.

Berapa Lama Anda Boleh Menggunakan Tayar Ganti Sementara?

Anda seharusnya menggunakan tayar ganti sementara ini ketika kecemasan sahaja. Jika anda menggunakan tayar ganti donat ini untuk terlalu lama, ada peluang yang ia ya juga akan. Periksa dengan manual kenderaan dari pengilang kereta anda untuk melihat perbatuan yang disyorkan - ia mungkin lebih kurang 100km sahaja.

Apakah Tekanan Udara yang Betul Untuk Tayar Donat Ini?

Semak manual untuk mencari tekanan yang betul untuk tayar ganti anda. Dalam kebanyakan kes, ia perlu dinaikkan tekanan anginnya setinggi 60 psi. Ramai yang sering lupa untuk memeriksa tekanan dalam tayar ganti anda, dan masih tersadai bila mendapati tayar ganti tidak mempunyai tekanan angin yang mencukupi.

Pastikan anda mempunyai tayar ganti yang berada dalam keadaan baik supaya anda tidak terdampar di tepi jalan atau lebuhraya. Benar, anda boleh menghubungi talian bantuan ataupun trak tunda, namun di waktu perayaan mungkin sukar untuk mereka memberikan bantuan segera dalam keadaan kenderaan yang sesak.