Bila kali terakhir cecair brek anda ditukar?


Mungkin anda pernah terbaca mengenai siasatan Pentadbiran Keselamatan Trafik Lebuhraya (National Highway Traffic Safety Administration) Amerika tentang kegagalan brek pada model Harley-Davidson tertentu. Berita ini adalah sesuatu yang amat relevan bagi pemilik kereta walaupun anda tidak memiliki sebuah motosikal, kerana prinsip operasi brek kereta juga amat serupa.

Siasatan NHTSA itu meliputi lebih daripada 400,000 Harley-Davidson yang dikeluarkan dari tahun 2008 hingga 2011. Agensi itu menerima pelbagai aduan kegagalan brek depan dan belakang, termasuklah satu kes di mana penunggangnya telah merempuh pintu garaj.

Apakah implikasi yang relevan kepada semua penunggang motosikal, dan juga pengguna kereta?

NHTSA berkata Harley-Davidson mendakwa masalah ini adalah kerana pemilik motosikal tidak mematuhi sela masa dua tahun untuk menggantikan cecair brek mereka. Kebanyakan cecair brek (kecuali gred DOT 5) adalah dari jenis higroskopik (hygroscopic) yang bermakna ia menyerap kelembapan dari udara. Harley-Davidson mendakwa bahawa kelembapan yang terdapat di dalam cecair brek lama yang tercemar boleh merosakkan injap penggerak yang terdapat dalam sistem brek anti-kunci, walaupun masih tidak jelas samada ia adalah kegagalan fungsi  sistem anti-kunci ataupun keseluruhan sistem brek itu sendiri.

Namun, hasil siasatan ini masih menarik dan relevan kerana dua sebab:

Pertama, sistem anti-kunci ABS motosikal dan kereta yang bermasalah pernah dialami ramai, tetapi ia didapati tidak menjejaskan keupayaan brek untuk memperlahankan kenderaan. Jika apa yang dikatakan pihak Harley-Davidson adalah benar, maka apa yang mungkin telah berlaku di sini adalah bahawa kegagalan sistem brek anti-kunci  mampu menyebabkan kegagalan brek secara keseluruhan.

ABS telah jauh membangun sejak ia mula diperkenalkan pada motosikal BMW pada tahun 1988. Hari ini, kita mempunyai sistem ultra-canggih seperti yang ada pada BMW S 1000 RR. Ia adalah penting untuk menyedari kemungkinan bahawa cecair brek lama mampu menyebabkan kegagalan keseluruhan sistem brek ABS yang lebih kompleks masa kini.

Ini membawa kita untuk mempertimbangkan isu kedua, iaitu hakikat bahawa bukan menjadi amalan kerap bagi kebanyakana pemilik motosikal untuk menukar cecair brek mereka. Kita mungkin telah menyedari kepentingan untuk menukar minyak pelincir, palam pencucuh, dan penapis udara. Namun penukaran cecair brek adalah salah satu kerja penyelenggaraan yang sering diabaikan. Dan kini kita diberitahu bahawa ia mungkin mampu menyebabkan kegagalan keseluruhan sistem brek.

Menukar cecair brek bukanlah satu kerja yang terlalu sukar, dan boleh dibuat dengan mudak oleh mekanik ataupun anda sendiri. Menyedari perkembangan terkini ini, mungkin sudah tiba masanya untuk anda mengingati semula berapa kerap anda telah menukar cecair brek motosikal atau kereta anda. Periksa rekod servis anda untuk melihat jika sudah tiba masanya untuk menukar cecair brek anda.

Secara peribadi, mungkin berbaloi untuk menukar cecair atau bendalir brek secara lebih kerap. Memandangkan harga cecair brek yang rendah, ia nya adalah satu jaminan yang agak murah untuk memastikan anda tidak berakhir menunggang merempuh pintu garaj, atau menghadapi keadaan yang lebih teruk lagi.

Periksa motosikal sebelum menempuh perjalanan jauh


Sempena Hari Lebaran ini, tentunya ramai yang menyambutnya bersama keluarga tersayang. Tak kurang juga yang telah pulang ke kampung menggunakan motosikal tersayang, dan ramai  yang merancang konvoi bersama teman sekampung atau daerah, seolah olah menjadi tradisi acap kali hadirnya Syawal.

Perjalanan jauh memang mencabar, dan menyeronokkan, asal saja ditempuhi dengan selamat. Keluarga tersayang tentunya menanti kepulangan anda. Persiapan dan pemeriksaan motosikal sebelum perjalanan pastinya sesuatu yang wajib.  Paling mudah, periksa motosikal anda dari bawah ke atas sewaktu membasuh motosikal anda. Perhatikan setiap komponen motosikal seperti skru dan kabel sewaktu anda mencuci setiap bahagian. Imbas kembali rekod servis dan bawa motosikal ke pusat servis bertauliah untuk gantian minyak pelincir dan juga alatganti jika perlu. Berikut ini dilampirkan beberapa panduan pemeriksaan asas sebelum memulakan perjalanan dengan motosikal kebanggaan anda.

    1. Periksa angin tayar anda agar menepati tekanan yang diperlukan, berpandukan buku panduan motosikal anda, dan juga bebanan yang akan di bawa. Tekanan tayar yang tidak mencukupi, mahupun berlebihan akan memberikan kesan negatif kepada kawalan motosikal. Pastikan juga bahawa bunga tayar masih elok dan mencukupi. Periksa dengan tolok pengukur untuk memastikan bunga tayar melebihi 1.5mm. Pembaris keluli juga boleh digunakan jika tiada tolok pengukur, dan pastikan tayar tidak terkopak, merekah atau retak.

    2. Periksa ketebalan pelapik atau kekasut brek agar masih berada di dalam tahap yang boleh digunakan. Periksa juga keadaan rantai atau belting anda agar berkeadaan baik dan pada ketegangan yang sesuai. Pastikan rantai diminyakkan untuk mengelakkan kehausan terlampau. Bawa bekalan minyak atau penyembur rantai.

    3. Penongkat motosikal anda perlu diperiksa, samada ianya beroperasi dengan baik, bagi kedua dua tongkat sisi (side stand) dan juga tongkat tengah (centre-stand). Pergerakan tongkat perlu lancar dan tidak tersangkut apabila digunakan. Pastikan skru tongkat dan springnya tidak terbuka atau longgar.

    4. Periksa pula semua kawalan motosikal anda, seperti kabel kawalan pendikit, kabel klac, brek, penyambung tuil gear. Sebarang rasa tersangkut atau tersekat perlu diperiksa dan diperbaiki jika perlu.

    5. Periksa pula semua peralatan elektrik agar ianya berkeadaan baik, tidak pecah dan masih berfungsi. Ini termasuklah lampu utama, lampu belakang, lampu isyarat, lampu meter dan juga hon anda.

    6. Hidupkan enjin motosikal dan dengar samada terdapat bunyi yang pelik dan luarbiasa. Matikan enjin dan periksa tahap minyak pelincir agar menepati tahap yang diperlukan.

    7. Pusingkan hendal motosikal ke kiri dan kanan, dan pastikan pergerakannya adalah licin dan tidak tersangkut sangkut. Jika terasa keras atau tersangkut, mungkin pelapik atau bearing stereng sudah haus atau rosak.

    8. Periksa samada terdapat kebocoran minyak atau cecair lain seperti cecair brek atau cecair penyejuk. Cecair atau minyak yang bocor akan meninggalkan kesan pada gasket, dan harus di cari puncanya. Kebocoran kecil boleh menjadi semakin besar dalam perjalanan jauh sewaktu tekanan minyak dan suhu telah meningkat.

    9. Sebelum memulakan perjalanan, pastikan anda memeriksa dan menambah bahanapi dan juga cecair penyejuk. Periksa cermin sisi agar berada pada kedudukan yang betul. Penggunaan beg sandang atau beg galas juga tidak digalakkan kerana ianya mudah bergerak atau teralih sewaktu perjalanan, dan memberi kesan negatif kepada keseimbangan. Gunakan dan ikatkan bagasi yang sesuai, seboleh bolehnya berdekatan dengan pusat graviti motosikal anda, seperti di bahagian tengah, untuk mengimbangkan pembahagian berat. Bagasi yang digunakan mesti tidak menghalang sebarang kawalan motosikal seperti hendal, dan tidak berambu rambu.

    10. Pakai jaket pembalik cahaya supaya mudah kelihatan oleh pengguna jalanraya yang lain. Gunakan pakaian yang sesuai dan tidak gelebeh atau terlalu besar, untuk mengelakkan ianya tersangkut sewaktu perjalanan. Bawa bekalan baju hujan yang bersesuaian, peralatan asas yang perlu seperti spanar plug, gunakan topi keledar yang diiktiraf, dan juga sarung tangan serta kasut yang bersesuaian.









     
     11. Jangan lupa memeriksa rantai motosikal anda agar ia nya cukup tegang dan tidak longgar, kerana rantai yang terlalu longgar mungkin terjatuh dan putus.


    Dalam kegembiraan pulang berhari raya, pastikan perancangan teliti di buat lebih awal agar kita tidak tergesa gesa mengejar waktu apabila pulang ke tempat kerja kelak. Dapatkan rehat dan tidur yang secukupnya sebelum memulakan perjalanan pulang yang jauh. Perjalanan secara berkumpulan adalah baik, tetapi elakkan menunggang secara terlalu rapat antara satu sama lain, dan jangan berlumba. Berhenti jika terasa mengantuk walaupun sedikit dan jangan memaksa diri meneruskan perjalanan.

    Selamat menyambut Aidilfitri, dan tungganglah secara selamat