Tekno-MotoRev: Pandai tukar gear tanpa guna klac?

Bagi yang belum pernah mencuba teknik ini, ia mungkin sesuatu yang dirasakan sukar atau boleh merosakkan kotak gear. Namun ia sebenarnya agak mudah tetapi kurang digunakan oleh penunggang. paling tidak, ia harus dipelajari agar anda tidak akan tersadai di tepi jalanraya jika kabel klac anda putus atau klac hidraulik anda mengalami kebocoran.
Tukaran gear tanpa klac adalah teknik yang tidak digunakan pelumba muda atau penunggang baharu. Mngkin kerana sudah terbiasa menunggang menggunakan klac teutamanya jika banyak menunggang dalam bandar, atau penunggang yang merasakan mereka meningkatkan potensi untuk kerosakan gear, transmisi atau penghantaran, atau mungkin juga mereka hanya menganggap ia nya tidak perlu.

Walau apa pun, kemahiran menunggang ini adalah agak mudah dipelajari dan mungkin juga salah satu kemahiran yang paling diabaikan oleh pelumba yang baru menceburkan diri di litar lumba.

Ia adalah satu teknik yang telah digunakan selama bertahun-tahun, dan telah digunakan oleh penunggang veteran dalam Grand Prix 500 seperti Eddie Lawson dan Wayne Gardner dahulu. Ketika itu peralatan elektronik yang membuat peralihan gear seperti yang terdapat hari ini (quickshifter) masih belum lagi wujud.

Selain amat memuaskan hati apabila mampu melakukannya dengan betul, ada beberapa manfaat yang sebenar untuk menggunakan teknik tukaran gear tanpa klac. Ia nya bukan sekadar menjimatkan masa psingan lap anda, malah akan memberikan kelebihan dalam perlumbaan apabila berjaya mendapat gear yang betul pada masa yang tepat.

Apabila anda menyendeng di sisi motosikal ketika menangani selekoh, tangan kiri dan lengan anda tidak selalu berada dalam kedudukan terbaik untuk membolehkan anda mengendalikan klac dengan mudah. Peralihan gear tanpa klac ketika keadaan sebegini akan membebaskan dari keperluan mmikirkan terlalu banyak perkara, dan anda kini mampu memberi perhatian kepada perkara lain yang lebh penting tanpa perlu koordinasi menarik klac, memasukkan gear dan melepaskan klac.

Ia juga kurang mengganggu keadaan dan posisi motosikal, dan ia nya begitu lancar dan memastikan  bahawa segala-galanya tetap lancar dan kemas, walaupun ketika menukar gear. Penukaran gear dengan klac dan kembali pada kedudukan pendikit semula tentunya akan memberi kesan ke atas kestabilan motosikal jika tidak dilakukan dengan lancar.

Peralihan gear tanpa klac di jalan lurus tidaklah benar-benar menjadi masalah, tetapi ketika menyendeng di selekoh kita tentunya tidak ingin mengalami masalah kestabilan jentera.

Jadi bagaimana harus kita melakukan peralihan atau penukaran gear tanpa klac ini?

Untuk memudahkan pemahaman, bayangkan anda sedang menunggang di lurusan sambil memerhatikan jarum rpm di meter ataupun yang lebih baik lagi, cuma perlu mendengar derumannya dengan telinga, bagi menentukan tahap rpm yang anda inginkan sebelum mengalih atau menukar gear.


Langkah 1 - apabila jentera anda menghampiri tahap rpm yang anda inginkan, kenakan sedikit tekanan kepada tuil gear anda. Ketika ini walaupun di tekan, gear tidak akan masuk, tekan sedikit keras tetapi tak perlu memaksa. Kekalkan tekanan ini.

Langkah 2 - Apabila rpm jentera anda mencapai tahap yang anda ingnkan, lepaskan atau kurangkan/tutup pendikit sedikit, dan kemudiannya kilas semula kembali ke kedudukan pendikit sebelumnya. PENTING: Anda tidak perlu melepaskan atau menutup pendikit sehingga habis, hanya cukup sekadar melepaskan bebanan pusingan enjin pada gear penghantaran.

Pada ketika anda menutup pendikit ini, tuil gear ayang anda tekan tadi akan memasukkan gear dengan sendirinya! Itu sahaja!

Tekanan yang cukup pada tuil gear yang telah anda buat itu sudah cukup untuk mengalihkan gear saat anda melepaskan pendikit, dan akan membolehkan gear seterusnya untuk masuk sebelum anda mengilas pendikit kembali.

Setelah berjaya mengalihkan gear, alihkan tekanan dari tuil gear dan bersiap sedia untuk peralihan gear seterusnya.

Anda mungkin perlu berlatih beberapa kali sebelum mendapat peralihan yang lancar, tetapi ia adalah agak mudah dan tidak seharusnya mengambil masa yang lama. Dan apabila anda mendapat teknik yang betul, akan terasa betapa manisnya!

Anda juga perlu mengambil kira bahawa motosikal yang berbeza akan memerlukan pelbagai tahap peralihan dan tekanan tuil serta pergerakan pendikit, tetapi anda akan tahu bila anda melakukannya dengan betul kerana motosikal akan memasuki gear seterusnya tanpa menyentap atau mengalami penurunan kelajuan.

Selamat mencuba!