Lumba skuter bukanlah satu perkara baharu dan telah pernah dianjurkan di negara ini Mungkin ramai yang masih mengingati zaman perlumbaan Suzuki VS atau Yamaha Ego satu ketika dahulu. Kini Yamaha menganjurkan satu lagi perlumbaan satu-pengeluar dengan memaparkan skuter terbaharu yang baru saja mereka lancarkan iaitu Yamaha NVX 155 Challenge yang merupakan salah satu acara perlumbaan bermula Pusingan 6 musim 2017 dalam kejohanan Petronas AAM Malaysian Cub Prix, yang telah berlangsung di Jasin, Melaka semalam. Seperti perlumbaan lain, ia nya juga akan merupakan platfom untuk menguji kelasakan skuter ini apabila didedahkan dengan keperluan mendesak alam perlumbaan.
Teknik ini membolehkan anda untuk membelok dengan lebih cepat dan mendadak sambil mengekalkan kawalan mampan dalam proses membelok tersebut. Anda tidak perlu menyandarkan badan ke dalam selekoh. Cukup sekadar mengeluarkan lutut anda ke arah puncak atau apeks selekoh yang ingin ditangani. Semakin dibuka, semakin mudah untuk menghalakan skuter anda ke selekoh tersebut. Badan anda akan mengikuti hala yang sama, dan ini membuat pemindahan berat yang lebih lancar.
Untuk memudahkan anda mengekalkan jari pada tuil brek, minta mekanik untuk menyesuaikan ketegangan tuil berdasarkan ukuran dan kedudukan menunggang anda. Jika anda mempunyai tangan kecil atau jari pendek, melonggarkan kabel sedikit atau laraskan tuil brek anda.
Perlumbaan skuter memerlukan kemahiran mengawal brek dan kawalan pendikit atau throttle ketika menangani selekoh. Memandangkan skuter tidak memberikan pilihan gear untuk pecutan atau meredam kelajuan dengan enjin, pelumba harus pandai mengawal brek untuk mendapatkan momentum yang baik ketika memasuki selekoh, supaya momentum skuter yang sesuai mampu dikekalkan untuk keluar dari selekoh tersebut dengan tangkas dan cepat.
Yamaha NVX 155 dibekalkan dengan sistem brek anti-kunci ABS satu saluran (single channel) untuk roda hadapannya dan ini membantu memudahkan penggunaan brek yang tangkas dan keras tanpa risau roda hadapan akan terkunci. Sistem ini diimbangkan denga penggunaan brek gelendung atau 'dram' (drum brake) di bahagian belakang yang akan memberikan cengkaman brek yang lebih sekata dan tidak terlalu mengejut jika dibandingkan dengan brek cakera. Penggunaan brek gelendung ini mengurangkan kemungkinan brek belakang terkunci dan banyak membantu dalam mengawal skuter anda ketika diperlukan. Brek hadapannya juga dibekalkan dengan punat tekan untuk mengunci brek hadapan ketika diperlukan. Ini amat berguna ketika meletakkan skuter anda di tempat yang sedikit curam, tanpa risau ia nya akan bergolek dengan sendirinya dan terbalik.
Disebalik kesemua ciri tunggangan dan pengendalian ini, rekabentuknya beserta grafik sport memberikan penampilan menarik hinggakan pada awalnya tidak kurang yang memikirkan bahawa ia nya adalah sebuah moped dan bukannya sebuah skuter! Dalam pada itu, jangan lupa bahawa skuter ini disasarkan sebagai sebuah skuter premium. Oleh itu ia didatangkan dengan beberapa ciri premium seperti lampu LED depan belakang, lampu tunggangan siang, paparan panel LCD digital 5.8" yang terang dan jelas bagi memaparkan maklumat seperti kelajuan, odometer, jam, tolok bahanapi dan sebagainya.
Ciri premium yang paling menonjol adalah penggunaan sistem tanpa kunci, dengan pengesanan kedekatan atau proksimiti penunggang melalui fob kunci yang boleh disimpan dalam kocek anda. Sebaik skuter ini mengesan bahawa fob kunci adalah berhampiran, ia nya bersedia untuk diaktifkan atau di"bangkitkan dari tidur". Hanya selepas pengesanan ini, barulah segalanya boleh dilakukan seperti menghidupkan skuter, membuka pelanan mahupun melepaskan kunci hendal. Jangan pula risau terlalu jika fob kunci ini hilang, kerana untuk tujuan kecemasan anda dibekalkan dengan kod kunci yang masih membolehkan anda menghidupkan skuter anda walaupun ia nya sedikit rumit prosesnya namun cukup untuk mengelakkan anda terpaksa meninggalkan skuter anda. Cuma pastikan siri nombor kod ini disimpan di tempat selamat atau dengan orang yang diercaai dan mudah dihubungi seperti di rumah ahli keluarga.
Kesimpulannya skuter ini amat menarik dan memberikan nilai untuk wang, dengan kesemua ciri ciri yang ditawarkannya juka dibandingkan dengan skuter premium lain yang lebih mahal. Amat sesuai untuk tungangan komuter, ia boleh dgunakan untuk bersantai dan bersosial bila perlu seperti di hujung minggu. Mungkin ia akan menjadi pencetus fenomena baharu seiring negara Asian lain di mana penggunaan skuter adalah melebihi 50% dari jumlah motosikal di jalanraya.
Baca semula artikel pelancarannya yang mengandungi spesifikasi skuter ini di sini.