Kesinambungan Triumph Street Triple diteruskan

 Penantian para peminat motosikal Triumph berakhir semalam apabila pengimport, pengedar dan pemegang rasmi bagi jenama Triumph di Malaysia, Fast Bikes Sdn Bhd, dengan rasminya telah memperkenalkan tiga varian baharu barisan motosikal Street Triple 2018 yang telah mendapat pujian ramai sedunia.

Di Malaysia, minat terhadap motosikal Triumph tidak hanya terbatas kepada penampilan jentera klasik ketika pertunjukkan, malah telah menular kepada golongan peminat baharu dengan penampilan pelbagai model moden kasik, kruiser, kembara, dwi-guna dan juga sports. Jualan motosikal Triumph juga telah menampilkan pertumbuhan mapan yang kian meningkat saban tahun. Jualan tahunan sebanyak 110 motosikal telah meningkat ke 210 unit dan kemudiannya 250 unit, dan kini masih mampu menyaksikan pertumbuhan sebanyak 7-8%, walaupun pasaran kini dikatakan mengecut bagi sesetengah pengeluar. Namun kejayaan Triumph dalam penampilan semulanya di malaysia tidak datang mudah, melainkan berkat usaha sepasukan yang telah dipamerkan oleh seluruh warga Fast Bikes Sdn Bhd untuk menawan hati pelanggan dalam segmen motosikal premium.


Varian terbaharu Triumph Street Triple yang diperkenalkan ini meneruskan kesinambungan warisan Street Triple generasi yang terdahulu yang menjadi kegemaran di kalangan peminat motosikal yang mendambakan sebuah jentera yang ringan dan lincah, praktikal dan juga mesra pengguna.

Sejak ia mula diperkenalkan pada tahun 2007, barian model motosikal Street Triple telah dinobatkan sebagai antara motosikal ‘naked’ terbaik untuk kegunaan dalam bandar mahu pun di litar, dengan jualan melebihi 50,000 unit di serata dunia. Generasi terkini Street Triple ini melanjutkan lagi kesinambungan apa yang kelihatan seperti sebuah resepi yang sempurna.
Tiga varian telah diperkenalkan bagi pasaran Malaysia iaitu Street Triple S, Street Triple RS, dan Street Triple Low Ride Height (LRH). Street Triple ini dipasang dengan pelana yang mempunyai ketinggian 30mm lebih rendah daripada pelana standard.

Motosikal Triumph Street Triple S boleh didapati dalam dua warna iaitu Diablo Red dan Phantom Black, dengan harga RM52,900.00. Varian Street Triple R (LRH) pula menawarkan pilihan tiga warna iaitu Crystal White, Phantom Black dan Matt Silver Ice pada harga RM59,900.00.
Menerajui barisan varian Street Triple ini sebagai model perdana merupakan Street Triple RS yang didatangkan premium dalam dua warna menarik iaitu Matt Silver Ice dan Phantom Black (Metallic), pada harga RM66,900.00. Kesemua harga yang disebutkan di atas adalah termasuk GST.
Berucap di majlis pelancaran barisan Triumph Street Triple baharu ini, Ketua Pegawai Operasi Fast Bikes Sdn Bhd, Dato’ Razak al-Malique berkata generasi motosikal Triumph Street Triple sebelum ini merupakan antara salah sebuah motosikal paling versatil dalam segmennya.
“Street Triple menawarkan praktikaliti bagi mereka yang inginkan jentera tunggangan harian, namun mempunyai prestasi yang menakjubkan untuk hujung minggu di atas litar. Motosikal Street Triple yang baharu ini dibina berdasarkan formula terbukti yang telah dijadikan lebih baik lagi. Kami yakin bahawa penunggang di Malaysia akan mendapati yang motosikal Street Triple ini cukup sesuai untuk keperluan mereka, sama ada untuk berulang alik, mengembara atau menunggang di litar, mereka pasti akan menyukai prestasi motosikal Street Triple S, R dan RS yang baharu ini,” katanya.

Triumph Street Triple baharu ini telah direkayasa secara menyeluruh bagi mencapai tanda aras baru satu dalam semua kategori. Motosikal ‘naked’ yang baharu ini tampak lebih agresif dan berpewatakan, dengan lampu hadapann yang beserta Lampu Nyalaan Siang (Daylight Running Lights– DRL) untuk varian R dan RS, yang meningkatkan keternampakannya kepada pengguna jalan raya yang lain. DRL ini juga 28 kali lebih terang berbanding model generasi sebelum ini yang bercirikan sebuah lampu konvensional di sisi.

Rekaan keseluruhan untuk Street Triple juga telah diperkemaskinikan dengan struktur badan serba baharu seperti penutup radiator luaran dan dalaman baharu, madgad hadapan dan panel belakang badan yang baharu. Varian RS dibezakan dari varian yang lain dengan pelindung bawah enjin dan penutup pelana pembonceng dengan warna sedondon. Pelana pembonceng boleh ditukar-ganti sebagai kelengkapan standard, dan ia juga didatangkan dengan penghadang rantai.

Kualiti keseluruhan juga telah dipertingkatkan lagi dari model yang terdahulu, dengan perhatian khusus diberikan kepada kualiti dan letak-duduk suis-suis yang ergonomik supaya mudah  dicapai pada kelajuan tinggi. Street Triple R dan RS kini dilengkapi dengan punat kawalan lima cara lebih ergonomik yang intuitif bagi menjadikannya mudah untuk memilih mod penunggangan walaupun ketika menunggang.
Gugusan paparan instrumen juga telah diperkemaskini untuk generasi terbaru Street Triple ini. Varian S telah dikemaskini dengan skrin instrumen LCD yang memaparkan tolok bahanapi, odometer dan juga meter perjalanan. Varian R dan  S pula telah dikemaskini dengan paparan TFT lima inci serba baru yang dikatakan antara yang tercanggih dalam industri motosikal masakini. Paparan TFT berkenaan menawarkan empat tema berbeza yang mengubah susun atur maklumat yang bersesuaian dengan mod penunggangan yang dipilih. Paparan itu juga mampu dilaraskan supaya penunggang berketinggian  berlainan akam mampu melihat skrinnya dengan jelas dan tepat.




Kemasan serta perincian yang berkualiti tinggi ini turut mencakupi rekaan semula pengadang tumit penunggang dan tempat letak kaki pembonceng yang ditempa. Bagi kerangkanya pula, varian Street Triple S dilengkapi dengan rangka utama, sub-kerangka dan lengan ayun bersadur serbuk hitam, manakala varian Street Triple RS pula dilengkapi dengan sub-kerangka belakang yang diwarnakan dengan warna perak aluminium legap atau matte.

Street Triple baharu ini  dikuasakan oleh enjin yang lebih besar namun lebih ringan berbanding dengan enjin lama. Enjin baharu ini diasaskan kepada enjin 675cc yang menjadikan Triumph Daytona sebuah motosikal yang digemari ramai. Ia mempunyai 80 bahagian enjin yang baharu, termasuk lejang dan gerek yang dibesarkan, aci engkol baharu, omboh, aci sesondol dan engkol pengimbang. Terdapat juga laras omboh aluminium bersadur nikasil baharu yang menggantikan laras omboh besi di dalam enjin 675cc yang terdahulu.

Enjin tiga-silinder 765cc yang diasaskan dari Daytona itu mempunyai tahap keluaran kuasa yang berbeza bagi varian S, R dan RS. Untuk Street Triple S, enjin itu menghasilkan 111bhp pada 11,250rpm dan 73Nm tork pada 9,100rpm. Bagi varian R, enjin itu menghasilkan 116bhp pada 12,000rpm dan 77Nm tork pada 9,400rpm. Untuk RS pula, enjin DOHC, 12-injap, sejukan cecair yang sama, menghasilkan 121bhp pada 11,700rpm dan 77Nm tork pada 10,800rpm. Ketiga-tiga varian disuap suntikan bahanapi elektronik berbilang turutan dikawal SAI dan kawalan pendikit elektronik. Sistem ekzos pada kedua-dua motosikal ini juga serupa dengan sistem ekzos keluli tahan karat tiga-ke-satu dengan peredam keluli tahan karat sisi. Kuasa dipacu melalui klac berbilang plet basah dengan fungsi ‘slip and assist’. Hanya varian RS sahaja yang dilengkapi dengan ‘quickshifter’ sebagai kelengkapan standard.

Kuasanya diselaras oleh sebuah ECU pintar yang menawarkan sehingga lima mod penunggangan yang berbeza. Street Triple S dilengkapi dengan dua mod penunggangan ‘rain’ dan ‘road’ dan ABS serta Kawalan Cengkaman Triumph, manakala varian RS pula dilengkapi dengan lima mod ‘rain’, ‘road’, ‘sport’, ‘track’ dan satu lagi mod yang boleh diprogram oleh penunggang dengan campur tangan elektronik yang boleh diubah tetapannya. Varian R dilengkapkan dengan ke semua mod penunggangan yang sama seperti RS, kecuali mod ‘track’.

Kesemua varian didatangkan dengan ABS dan kawalan cengkaman sebagai kelengkapan standard. Motosikal Street Triple kekal sebagai motosikal paling ringan dalam kelasnya. Pengendalian  Street Triple telah dikenali sejak dahulu lagi sebagai salah sebuah motosikal ‘naked’ dengan pengendalian yang terbaik di dalam industri, dan generasi terkini Street Triple ini tiada bezanya. Kini pengendaliannya ditingkatkan lagi dengan penggunaan lengan ayun belakang jenis ‘gullwing’ yang lebih keras dan mempunyai titik paksi baharu yang memberikannya rintangan yang lebih semulajadi pada mampatan ketika pecutan mendadak. Lengan ayun baharu ini membantu menangani selekoh dengan lebih pantas dan kemas, ketegaran casis yang lebih jitu, dan prestasi anti-mendap yang lebih baik.

Triumph Street Triple S didatangkan dengan suspensi hadapan USD Showa SFF baharu yang direka dan ditala khas dengan julat gerakan sebanyak 110mm, dan diimbang penyerap kejutan tunggal pramuatan bolehlaras, Showa, dengan tangki dokongan dan jarak gerakan roda belakang sebanyak 124mm. Varian R didatangkan dengan fork bolehlaras sepenuhnya Showa SF-BPF dengan jarak gerakan sebanyak 115mm. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan penyerap hentakan tunggal Showa RSU dengan jarak gerakan sebanyak 131mm dengan pramuatan (preload) gegelung, lantunan serta pelarasan mampatan. Penyerap kejutan belakang itu juga dilengkapi dengan tangki dokongan.
Varian RS yang lebih canggih pula dilengkapi dengan fork hadapan beromboh besar Showa BFF yang mempunyai spesifikasi tertinggi dengan jarak gerakan sebanyak 115mm. Fork hadapannya boleh dilaraskan sepenuhnya untuk pramuatan, lantunan dan redaman mampatan. Bagi bahagian belakangnya, RS ini dilengkapkan dengan penyerap hentakan tunggal Ohlins STX40 dengan tangki dokongan. Penyerap hentakan belakang ini bercirikan jarak gerakan roda belakang sebanyak 131mm, dan ianya boleh dilaras sepenuhnya untuk pramuatan gegelung, lantunan dan redaman mampatan.
Cengkaman jalanraya RS disediakan oleh Pirelli Diablo Supercorsa SP yang amat berkemampuan, sementara daya hentinya disediakan oleh angkup Brembo M50 mono bloc jejari empat-omboh di bahagian hadapan. Bahagian belakangnya pula dilengkapi dengan angkup gelongsor satu omboh Brembo. Varian S dan R pula didatangkan dengan tayar Pirelli Diablo Rosso Corsa. Daya henti Street Triple R disediakan oleh angkup Brembo M4.32 monobloc jejari empat-omboh untuk bahagian hadapannya, serta angkup gelongsor satu omboh Brembo untuk bahagian belakangnya. Street Triple S pula akan dilengkapi dengan angkup gelongsor dwi-omboh Nissin untuk bahagian hadapan dan angkup gelongsor satu omboh Brembo di bahagian belakang.

Untuk maklumat lanjut tentang rangkaian terbaru Triumph Street Triple, sila kunjungi www.triumphmotorcycles.my