Pasangan tamatkan 'Kapcai To London'

 Pasangan Mohd Alfishahrin Zakaria dan Diana Latief pulang ke tanahair setelah menamatkan tunggangan mencabar ‘Kapcai To London’ sejauh 26,000km. Pasangan tersebut telah mengharungi penjelajahan selama 146 hari dan melepasi 24 negara.
Perjalanan mereka bermula pada 10 April lepas dari Batu Caves, Selangor dan berakhir pada 31 Ogos lalu bertepatan dengan Hari Kebangsaan di Kedutaan Malaysia di London.
 “Kami sangat bersyukur kerana akhirnya telah tiba di tanahair setelah berbulan meninggalkan kawan-kawan dan keluarga tercinta. Terlalu banyak kenangan pahit manis untuk dikongsi bersama mereka”, kata Alfishahrin sebaik tiba.

GIVI selaku penaja sampingan kepada tunggangan berkenaan telah menyambut pasangan berkenaan di KLIA pada 15 September lepas.  GIVI telah membekalkan Helmet M30.3, Jaket Blackjack, Baju Hujan RRS03, Topcase E43NTL-ADV beserta Sidecase E22 untuk dipadankan dengan motorsikal Honda RS150R didalam jelajah ini. Alfishahrin dan pasangannya Diana akan berada di acara ‘Kapcai Mega Gathering’ yang akan berlangsung di Stadium Shah Alam pada Sabtu 23 September 2017 ini.

Jerayawara Kawasaki akan ke Johor

 Lebih 1,500 orang telah melawat jerayawara Kawasaki Road Show untuk menguji Motosikal Kawasaki yang diminati mereka. Acara dua hari itu telah berlangsung pada 16-17 September lepas di Stadium Selayang, Selangor.
 Kopi percuma dan barisan motosikal ujian telah disediakan di trek yang direka khas untuk para pengunjung merasakan pengalaman pertama mereka dengan jentera Kawasaki.
Jerayawara Kawasaki ini akan menghampiri anda seterusnya dari 22-24 di Angsana Mall, Johor Bahru. Perkhidmatan servis percuma dan pemeriksaan 16-perkara percuma juga disediakan untuk semua pemilik Kawasaki oleh para mekanik terlatih.






Smajli, Farid juara MSBK 2017


Ismael Smajli, pelumba berusia empat puluh sembilan tahun dari Jerman, berjaya mempertahankan mahkota kejohanan Supersport Malaysia Superbike 600cc (MSBK) di Pusingan 4 di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.

Kemenangan tempat ketiga dalam kedua-dua perlumbaan itu dengan jentera Kawasaki ZX6R telah menambah mata beliau sebanyak 32 mata lagi, bagi membolehkan penunggang BikeART itu menerajui kejuaraan keseluruhan musim dengan 154.5 mata, tanpa mampu dicabar lagi oleh pencabar terdekatnya Khurana Diraj, yang telah mengumpul 104 mata selepas empat pusingan.

Bekas pelumba Moto2 dan bekas juara Asia Road Racing Championship (ARRC) Azlan Shah Kamaruzzaman tampil sebagai bintang perlumbaan semalam dengan mengetepikan saingannya dan memenangi kedua-dua perlumbaan dalam gaya dominan dan memintas beberapa pelumba terbelakang di Litar Utara Sepang yang sepanjang 2,705 meter itu.

Bekas pelumba wildcard Moto3 Malaysia, Muhammad Farid Badrul Hisam juga hebat pada Pusingan 4 apabila memenangi gelaran Kejohanan Superbike pertamanya, selepas pelumba kelahiran Kajang itu memenangi dua gelaran keseluruhan Supersport pada 2014 dan 2015.