Kejohanan Dunia FIM Supersport 200 yan berlangsung di Litar Autodromo International do Algarve, telah menyaksikan Ana Carrasco Gabarron memperolehi kemenangan cemerlang dalam Pusingan Portugis DOC Prosecco. Ana Carrasco Gabarron meraih kemenangan sulungnya dengan menunggang Kawasaki Ninja 300 dan mewakili ETG Racing.
Ana yang berasal dari Murcia, Sepanyol, menewaskan pelumba Itali, Alfonso Cappola dan pelumba Sepanyol Marc Garcia, kedua duanya mewakili Halcourier Racing yang masing-masing menduduki tempat kedua dan ketiga dengan menunggang Yamaha YZF-R3. Carrasco memulakan kerjaya perlumbaan motosikalnya di Moto3 pada tahun 2013, sebelum berpindah ke SSP300 dalam siri WSBK, dan kini berada di tempat ketujuh dalam kedudukan keseluruhan pelumba.
Kejayaan penunggang berusia 20 tahun itu disempurnakan di salah satu litar yang paling mencabar dalam kalendar musim ini di Portamio, selepas persaingan 11 pusingan yang menyaksikan Carrasco cekal menakluk kemenangan tipis sewaktu kelompok tiga pelumba hadapan melintasi garisan.
Bersaing sengit dalam pusingan terakhir dengan pelumba petak utama Alfonso Coppola (SK Racing) dan Marc Garcia (Halcourier Racing), Carrasco berjaya bermula di barisan depan pada hari Sabtu untuk kali pertama musim ini. Klasifikasi terbaiknya sepanjang musim ini adalah di Litar Lausitzring dengan kedudukan kelima di grid, yang menunjukkan dia dan pasukan itu telah membuat penyesuaian yang kemas pada jentera Kawasaki Ninja 300 mereka.
Dengan kemenangan bersejarah di trek Portugis ini, Carassco menjadi pelumba kelima dalam kategori baharu untuk menaiki tangga teratas di podium, selepas Mike Perez, Scott Derue, Marc Garcia dan Alfonso Coppola. Pencapaian ini akan tertulis dalam sejarah untuk menjadikannya wanita pertama yang memenangi perlumbaan bertaraf dunia (kelas solo). Ini adalah satu lagi catatan dalam arena pelumba motosikal wanita, seperti mana pencapaian Maria Herrera di FIM CEV, Lucy Glockner dalam pelbagai kategori IDM dan Sarah Heide juga dalam pertandingan kebangsaan Jerman.
Layari laman web KMSB di http://kawasaki.com.my/ dan halaman Facebook Kawasaki Motors Malaysia Sdn Bhd untuk maklumat lanjut.
Pusingan pembukaan di Kompleks Sukan Bermotor Motorsport Complex Thailand, Nakhon Chai Si, telah menyaksikan prestasi cemerlang oleh semua pelumba dari 13 negara yang bersaing untuk kejohanan musim 2017 ini. Mari kita saksikan beberapa detik terbaik yang telah diabadikan lensa kamera Chiang Hsiao-Chuan.
Muhd Habibullah #1 dan Naoto Takayama Jepun #300 meluncur di selekoh tajam litar tak berturap
Khairi Zakaria# 32 dan Hasroy Osman Singapura #77 memasuki bahagian kedua litar tak berturap
Naoto Takayama Jepun #300, Farhan Hendro #162 Indonesia, Natthapat Suksanwatthana Thailand #28 dan Filipina Kenneth San Andres #12 membuat lompatan di atas rataan tabletop
Pelumba veteran Taiwan Lin Chin Pei #720 tergelincir selepas memandu laju di lurusan
Trakarn Thangthong Thailand #5 menangani lompatan dengan ketepatan dan kestabilan
Continental memperkenalkan dua konsep teknologi tayar baru yang akan
menawarkan keselamatan dan keselesaan jalan yang lebih baik pada masa
depan. Kedua-dua sistem ini membolehkan pemantauan berterusan terhadap
keadaan tayar, serta penyesuaian keadaan yang sesuai dengan ciri-ciri
prestasi tayar dengan keadaan jalan. Teknologi yang dipanggil ContiSense
dan ContiAdapt ini akan diperkenalkan buat pertama kali di Pameran
Motor Frankfurt 2017 (IAA) yang disertai dengan kajian tayar.
ContiSense: Menggunakan sensor tayar untuk mengukur kedalaman jejak dan suhu dan memberi amaran kepada pemandu berkenaan kerosakan tayar - penghantaran data melalui getah konduktif elektrik
ContiAdapt: Melaraskan tekanan tayar dan lebar rim untuk menyesuaikan saiz sentuhan tayar dengan keadaan jalan raya
Konsep teknologi baharu ini akan dipamerkan di IAA 2017 selaras dengan kajian teknologi tayar yang dikemas kini
ContiSense didasarkan pada perkembangan sebatian getah konduktif elektrik yang membolehkan isyarat elektrik dihantar dari sensor dalam tayar kepada penerima di dalam kereta. Sensor berasaskan getah sentiasa memantau kedalaman dan suhu bunga tayar. Sekiranya nilai-nilai yang diukur ini berada di atas atau di bawah had yang telah ditetapkan, sistem tersebut akan memberi amaran kepada pemandu. Jika apa-apa menembusi bunga tayar, litar dalam tayar juga kakan mencetuskan amaran segera kepada pemandu - lebih cepat daripada sistem yang digunakan masakini yang hanya memberi amaran kepada pemandu apabila tekanan tayar telah mula menurun. Pada masa akan datang, sistem ContiSense akan menampilkan sensor tambahan yang juga boleh digunakan secara individu. Jadi maklumat tentang permukaan jalan, seperti suhu atau kehadiran salji, boleh "dirasakan" oleh tayar dan disampaikan kepada pemandu. Data boleh dihantar kepada sistem elektronik kenderaan atau melalui bluetooth ke telefon pintar.
ContiAdapt pula menggabungkan kompresor mikro yang diintegrasikan ke dalam roda untuk menyesuaikan tekanan tayar dengan rim lebar boleh-ubah. Oleh itu, sistem itu mampu mengubahsuai saiz permukaan tayar yang bersentuhan dengan jalan. Saiz sentuhan tayar ini merupakan faktor penentu untuk keselamatan dan keselesaan.
Empat kombinasi berbeza membolehkan penyesuaian sempurna bagi keadaan jalan yang basah, tidak sekata, licin dan juga keadaan jalan biasa. Sebagai
contohnya, saiz sentuhan tayar yang kecil dan digabungkan dengan tekanan tayar yang tinggi akan merendahkan rintangan golekan tayar dan memberikan pemanduan yang cekap tenaga di jalan yang lancar dan kering. Di sebaliknya, gabungan sentuhan tayar yang lebih besar dengan tekanan tayar yang lebih rendah akan menghasilkan cengkaman yang ideal di jalan licin. Sistem ini juga membenarkan tekanan tayar rendah di bawah 1 bar ditetapkan, untuk membantu mengeluarkan kenderaan dari kawasan salji tebal contohnya, atau merentasi jalan berais yang berbahaya.
ContiSense dan ContiAdapt dilengkapi pada tayar konsep yang membolehkan faedah kedua-dua sistem untuk dimanfaatkan sepenuhnya. Reka bentuk tayar mempunyai tiga corak bunga yang berbeza untuk pemanduan basah, licin atau permukaan kering. Bergantung pada tekanan tayar dan lebar rim, zon bunga yang berbeza akan diaktifkan dan tayar konsep ini memberikan corak sentuhan tayar yang diperlukan dalam setiap kes. Dengan cara ini, tayar mampu beradaptasi dengan keadaan jalan semasa ataupun pilihan pemandu.
Continental menganggap konsep teknologi tayar ini menjanjikan penyelesaian untuk mobiliti masa depan dengan tayar disesuaikan untuk memenuhi keperluan pemanduan automatik dan elektrifikasi. Sebagai contoh, tayar dengan rintangan golekan yang rendah akan membolehkan kereta elektrik untuk mencapai jarak lebih jauh pada sekali caj penuh. Pada masa yang sama, tayar boleh disesuaikan mengikut keperluan peribadi pemandu atau sebagai tindak balas kepada perubahan mendadak cuaca. Konsep-konsep ini adalah langkah seterusnya yang logik dalam
pembangunan sensor REDI yang berorientasikan masa depan yang telah diperkenalkan ke pasaran oleh Continental pada tahun 2014, yang penting dalam mewujudkan komunikasi pintar antara kenderaan dan tayar. Tayar konsep teknologi baharu ini merupakan turutan dari dua teknologi mobiliti lebih awal iaitu ContiSeal, untuk penampalan kebocoran secara automatik, dan ContiSilent untuk pengurangan ketara bunyi tayar/jalan.
Berikutan kemalangan enduronya pada 31 Ogos lepas, Valentino Rossi telah berusaha gigih untuk pulih daripada kecederaan patah tulang kaki kanannya. Semalam Juara Dunia sembilan kali itu cuba menilai tahap kecergasannya dengan menunggang beberapa pusingan di sekitar Litar Dunia Misano Marco Simoncelli dengan jentera YZF-R1Mnya, sebelum hujan mengganggu percubaannya itu.
Pelumba Itali itu dijangka terlepas pusingan Aragon Grand Prix hujung minggu ini berikutan kecederaan motocrossnya itu.
Pelumba World Superbike, Michael van der Mark telah dipilih oleh Yamaha sebagai pengganti sementara Rossi pada acara di Sepanyol tersebut.
Tetapi Rossi telah muncul pada hari Isnin lepas di Misano untuk menilai keadaan kecederaannya, hanya 18 hari selepas kemalangannya walaupun disarankan oleh para doktor untuk menjalani tempoh pemulihan selama 30-40 hari.
Pelumba berusia 38 tahun itu hanya dapat melengkapkan hanya beberapa lap dengan jentera R1M sebelum ujian itu terganggu oleh hujan.
"Valentino hanya menyelesaikan tujuh atau lapan pusingan sebelum hujan," kata Graziano iaitu bapa Rossi.
"Saya dimaklumkan dia amat merasakan kesakitan di kaki kanannya, tetapi dengan hanya beberapa pusingan sebegitu, dia tidak dapat menentukan sama ada mampu beraksi di Aragon atau tidak.
"Perancangannya adalah untuk kembali ke Misano esok [Selasa], dengan harapan hujan tidak mengganggu, jadi Valentino boleh kembali menjalani penilaian samada akan beraksi di Aragon atau tidak."
Sekiranya Rossi memilih untuk berlumba di Aragon dan diluluskan untuk menunggang, dia boleh menggunakan sesi latihan pembukaan hari Jumaat untuk menentukan kesesuaiannya untuk bersaing, dengan van der Mark bersiap sedia sekiranya dia terpaksa menarik diri.
Bos Yamaha Lin Jarvis telah mencadangkan bahawa Rossi hanya harus berlumba di Aragon jika dia merasakan berpeluang untuk bertarung dalam kelopok lima teratas.
Selepas terpaksa mengundurkan diri dari perlumbaan di Misano, Rossi kini berada di tangga keempat dalam kedudukan keseluruhan MotoGP, dan berada 42 mata di belakang Marc Marquez dan Andrea Dovizioso.