Rantai yang haus tidak perlu menunggu pecutan untuk putus, ada rantai yang putus sewaktu anda baru memasuki gear satu untuk bergerak.... Sentiasa memeriksa rantai anda dan pastikan operasi rantai adalah licin dan agak senyap apabila anda memusingkan tayar belakang, rantai yang kering atau rosak selalunya berdesing, atau seperti tersentap. Jika ianya seperti tersangkut-sangkut, periksa dahulu pin sambungan rantai, atau setiap sambungan dan minyakkan. Jika ini tidak menyelesaikan masalah anda, sudah sampai waktunya rantai perlu ditukar baru.
Motosikal kini selalunya mempunyai penanda kehausan rantai pada pengikat gandar atau axle belakang. Apabila anda melaras rantai, perhatikan tanda tersebut agar sama penandanya di kiri dan kanan, atau jika tiada tanda, memadai dengan memerhatikan samada skru pelaras telah habis dipusing. Jika rantai masih kendur setelah skru pelaras diikat sepenuhnya atau telah sampai ke hujung tanda, maka tukarlah rantai anda.
Satu lagi tanda kehausan rantai ialah apabila rantai tidak lagi sama muat dengan gegancu (sprocket) anda. Tegangkan rantai dan cuba gerakkan rantai itu di gegancu, jika ia longgar, tandanya rantai telah haus dan perlu ditukar, kerana rantai akan memanjang apabila lama digunakan (stretched). Cara mudah untuk memahami keadaan ini ialah dengan mengambil seutas rantai baru dan pasangkan pada sebuah gegancu yang baru, anda akan dapati bahawa rantai itu akan sama muat dengan gegancu baru tanpa sebarang kelonggaran. Rantai ini yang memindahkan kuasa menarik jentera dan juga berat anda sendiri sewaktu bergerak di jalanraya, bayangkan tenaga tarikan yang telah dilalui oleh rantai anda.
Rantai secara amnya terdapat dalam dua jenis iaitu rantai biasa dan rantai yang dilengkapi "O-ring" atau "x-ring" dan sebagainya yang lazim digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi dan juga dalam perlumbaan. Rantai "O-ring" memerlukan minyak khas yang sesuai untuk kegunaan rantai "O-ring", kerana minyak yang tidak sesuai akan menyebabkan "O-ring" menjadi kembang dan membocorkan gris yang terdapat di dalam rantai itu.
Sentiasa minyakkan rantai anda dengan minyak yang bersih; minyak hitam mungkin mengandungi bahan logam yang haus dari enjin. Rantai yang berminyak juga mudah menjadi kering selepas perjalanan meredah hujan, oleh itu jadikanlah amalan meminyakkan semula rantai selepas hujan. Bersihkan rantai jika selepas melalui jalan yang berdebu, kerana debu jalanan akan melekat pada rantai dan mempercepatkan kehausan lantas memendekkan usia rantai dan gegancu anda. Adalah menjadi amalan yang baik untuk menukarkan set rantai dan gegancu secara serentak, usahlah cuba berjimat dengan menukar rantai tanpa menukar gegancu ataupun sebaliknya, kerana kesepadanan rantai dan gegancu tidak akan anda perolehi dan akhirnya menyebabkan jangka hayat gegancu menjadi jauh lebih pendek dan merugikan. Rantai yang telah memanjang melebihi had juga perlu ditukar; adalah amala yang tibak digalakkan untuk memotong rantai dan menyambungnya semula, "penjimatan" ini mungkin menyebabkan anda terpaksa menolak motosikal anda apabila rantai itu putus sewaktu menunggang.
Terdapat juga sistem meminyakkan rantai automatik seperti "Scott-Oiler" namun ianya melibatkan belanja permulaan yang besar sekitar RM600, dan selalunya digunakan oleh motosikal berkuasa tinggi, namun dari segi ekonomiknya ia memanjangkan usia rantai; ada yang mencapai 60,000km sebelum perlu menukar rantai baru.