Honda Ace baharu untuk peniaga Nigeria

Sedikit berita dunia. Honda lancarkan Ace 110 khas kegunaan perniagaan di Nigeria

Honda Manufacturing (Nigeria) Ltd. telah melancarkan motosikal Ace110 yang baru pada 17 November 2017 lepas.

Ace110 mengekalkan imej Ace125 yang popular dengan pengguna perniagaan, namun dengan mengekalkan kualiti sambil mengurangkan kos pengeluaran. Ia dijual dengan harga 220,000 Nigeria Naira (NGN: kira-kira 600 Dolar AS atau RM2,300). Honda berhasrat untuk menjual 80,000 unit pada tahun pertama dan 110,000 unit pada tahun berikutnya.

Ace110 dilengkapi dengan enjin yang sama dengan CG110, iaitu enjin 110cc dengan ketahanan dan kecekapan bahan api yang terbukti. Tangki bahan api Ace110 adalah 45% lebih besar daripada CG110, bagi jarak perjalanan lebih jauh. Kepuasan dan keselesaan pelanggan telah dipertingkatkan dengan ciri-ciri seperti pelana yang lebih selesa dan gantungan depan dan belakang yang sangat tahan lama.
Pasaran motosikal Nigeria adalah kira-kira 1 juta unit pada tahun 2015, tetapi disebabkan oleh tukaran mata wang asing, jatuh kepada kira-kira 500 ribu unit pada 2017. Honda percaya ekonomi Nigeria akan pulih pada tahun 2018 disebabkan peningkatan kecairan mata wang asing dan merancang untuk menjual 100 ribu unit dalam tempoh ini.

Kalendar provisional Kejuaraan Cub Prix Musim 2018

Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan menyambut ulangtahun penganjuran musim ke-25 telah mengumumkan kalendar sementara perlumbaan untuk musim 2018.
Selepas memperkenalkan kategori baharu CP150 sebagai perlumbaan kelas perdana pada musim ini, tiada sebarang perubahan kategori lain dilakukan dengan Litar Tangkak, Johor akan menjadi venue pembuka musim pada 1 April diikuti negeri Melaka sebagai tuan rumah pusingan kedua pada bulan berikutnya.
Cuti rehat pertengahan musim kejuaraan bagi menyambut bulan Ramadhan dan Syawal akan berlangsung lebih awal, dan dijangka bermula 15 Mei sehingga 14 Jun 2018.

Penggal kedua kejuaraan akan bersambung di Selangor pada 1 Julai sebelum menuju ke pantai Timur untuk Pusingan 4 dan Pusingan 5 di Pahang dan Kelantan.

Bandar Penawar, Johor yang menjadi lokasi penamat musim 2017  kekal di dalam kalendar Kejuaraan Cub Prix dipilih sebagai hos pusingan ketujuh pada bulan September. Batu Kawan, Pulau Pinang muncul lokasi tunggal di Utara tanah air menjadi tuan rumah pusingan kelapan pada penghujung Oktober. 
Pusingan kedua terakhir akan berlangsung di Jempol, Negeri Sembilan pada 18 November sebelum saingan musim 2018 melabuhkan tirai di Teluk Intan, Perak pada 16 Disember.

KALENDAR PERLUMBAAN 2018
Pusingan 1          31 Mac – 1 April               Tangkak, Johor                                
Pusingan 2          5 – 6 Mei                            Melaka                                             
Pusingan 3         30 Jun – 1 Julai                   Selangor                                          
Pusingan 4          20 – 21 Julai                       Temerloh, Pahang                            
Pusingan 5          3 – 4 Ogos                          Terengganu                                      
Pusingan 6          31 Ogos – 1 September       Kelantan                                         
Pusingan 7          22 – 23 September              Bdr Penawar, Johor  
Pusingan 8          27 – 28 Oktober                  Batu Kawan, P. Pinang                   
Pusingan 9          17 – 18 November              Jempol, N. Sembilan                      
Pusingan 10        15 –  16 Disember              Teluk Intan, Perak                          
(*Tertakluk kepada perubahan)

Toyota Gazoo Racing Malaysia sertai Saingan Super Endurance Thailand

Pemandu kereta lumba Vios Challenge, Mark Darwin akan menjadi wakil dari Malaysia di dalam Team Asia dan memandu sebuah Toyota Altis bagi perlumbaan ketahanan 600 minit Super Endurance Thailand.

Mark akan menyertai pelumba-pelumba lain dari Filipina, Indonesia dan Thailand pada perlumbaan yang bakal berlangsung pada Disember nanti di Litar Antarabangsa Chang di Buriram, Thailand. Perlumbaan ini merupakan sebahagian daripada usaha Toyota untuk melahirkan bakat lumba dari rantau ini dengan menyediakan peluang yang lebih besar untuk mereka menyertai arena perlumbaan antarabangsa.

Timbalan Pengerusi UMW Toyota Motor (UMWT), Akio Takeyama yang menyerahkan bendera Malaysia kepada Mark berharap perlumbaan itu akan memberikan pengalaman berharga  dan membantu mengembangkan kemahiran dan keupayaan pemandu-pemandu tempatan.

"Kami sangat berbangga untuk menamakan Mark Darwin bagi perlumbaan 600 Minit Super Endurance ini. Ia adalah bahagian utama dari usaha Toyota diperingkat global untuk menggunakan sukan permotoran sebagai saluran bagi membangunkan bukan sahaja kereta, tetapi yang lebih penting, untuk menyediakan peluang kepada bakat-bakat kita untuk membolehkan mereka melebarkan potensi lebih jauh," ujar Takeyama.

Berikutan pemilihannya di Kuala Lumpur, Mark Darwin, 27, menyatakan rasa terima kasih kepada Toyota untuk peluang yang diberikan bagi mewakili negara. "Ia merupakan satu penghormatan dan keistimewaan untuk dipilih dan membawa nama Malaysia dalam perlumbaan tersebut. Saya tak sabar mahu menggalas cabaran dan bersaing dengan pemandu-pemandu Corolla Altis yang lain dan berharap akan dapat mencatatkan keputusan yang membanggakan Malaysia," jelas beliau yang telah berlepas ke Thailand untuk menjalani latihan bersepadu selama empat hari di litar Bira dan Buriram.

Darwin akan segera kembali ke Malaysia selepas itu untuk berlumba di dalam saingan Vios Challenge hujung minggu ini di MAEPS, Serdang. Sebagai seorang pesaing dikedudukan teratas, beliau terpaksa membiasakan diri dengan litar itu dalam masa yang singkat untuk mengekang dominasi Tengku Djan dalam siri berkenaan.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan Mark Darwin dan semua pelumba-pelumba Vios Challenge hujung minggu ini ketika acara Toyota GAZOO Racing (TGR) Racing Festival. Untuk maklumat lanjut dan jadual terkini acara, lawati laman web rasmi Toyota GAZOO Racing Malaysia.