Honda Civic Type R pertama diserah pada pemilik

Akkbar bersama Adrian di majlis penyerahan
Adrian Salleh Bin Hashim menjadi pemilik pertama yang menerima Honda Civic Type R di Malaysia dalam satu majlis penyerahan rasmi yang diadakan di Botanic Auto Mall Sdn. Bhd. semalam.

Model global yang membawa teknologi paling canggih Honda ini sangat eksklusif sebagai model Honda yang paling berkuasa pernah dijual di Malaysia. Setiap Honda Civic Type R adalah unik, dengan plat nombor bersiri khas diletakkan secara strategik di pusat konsol.

Naib Presiden Kumpulan Honda Malaysia, Akkbar Danial berkata, "Civic Type R menonjol mengatasi yang lain, dan menyampaikan prestasi perlumbaan yang sangat baik namun menyesuaikan diri dengan kehendak pemanduan harian di jalan raya Malaysia."
Encik Adrian Salleh merupakan salah seoang pelanggan pertama yang ditemuramah untuk mendapatkan maklum balas Type R, yang membantu menyumbang kepada wawasan pasaran terutamanya dalam mengenal pasti permintaan dan keperluan segmen pelanggan baharu. Pada tahun 2007, Malaysia menjadi satu-satunya negara di luar Jepun untuk melancarkan model FD2R secara rasminya. Honda Malaysia telah menjual 420 unit FD2R antara tahun 2007 hingga 2011. Pencapaian ini mungkin disebabkan oleh populariti dan permintaan kereta sporti yang boleh dipandu di jalan raya. Malaysia telah menyaksikan peningkatan bilangan peminat kereta dan juga Honda, yang berminat dengan model seperti Type R. Honda Malaysia telah menerima lebih daripada 70 tempahan untuk Type R ini.
Selain menjadi rakyat Malaysia yang pertama untuk memandu pulang Civic Type R, Adrian juga menerima barangan Honda khusus, sebuah GoPro HERO 5 dan salutan Badan Kereta Ultra Honda dengan Ultra Window bernilai RM5,300 sebagai tanda penghargaan daripada Honda Malaysia di Malaysia.

Honda Civic Type R yang diimport sepenuhnya ini berharga RM320,000 di atas jalan tanpa insurans. Pelanggan boleh melawat mana-mana 20 pengedar Honda Sport untuk melihat dan menempah Civic Type R. Pengedar Honda Sport merupakan pengedar bertauliah yang dilantik untuk mengedar Type R di Malaysia. Untuk lebih maklumat mengenai Honda Civic Type R, sila hubungi nombor Bebas Tol Honda di 1-800-88-2020 atau layari ke www.honda.com.my

Zaqhwan berdepan misi sukar pertahan kejuaraan ARRC

Pelumba SuperSports 600cc negara, Mohd Zaqhwan Zaidi mengakui berasa sedikit tertekan menghadapi pusingan terakhir Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) dalam misi untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada perlumbaan kemuncak di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand bermula 30 November hingga 3 Disember ini.

Bebanan lebih terasa memandangkan pada tahun ini juara keseluruhan 2014 dan 2016 itu beraksi tanpa gandingan pelumba berpengalaman sebaliknya bertindak selaku pelumba utama pasukan bergandingan dengan pelumba kurang berpengalaman, Teppei Nagoe di dalam pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing.
  “Saya terpaksa bekerja lebih keras pada tahun ini. Rakan sepasukan, Teppei merupakan pelumba muda berbakat namun ini merupakan tahun pertamanya dalam kelas 600cc dan memerlukan sedikit masa untuk bersaing di kelompok depan. Ini menyebabkan saya bersendirian tanpa rakan sepasukan ketika bersaing di kelompok depan bersama pelumba berpengalaman yang lain,” jelas Zaqhwan. Tambah juara bertahan itu, dia tidak menyangka untuk menjadi pendahulu setelah kehilangan banyak mata ketika terjatuh pada Perlumbaan 2 di Pasir Gudang manakala meraih keputusan tidak begitu baik pada pusingan berikutnya di Thailand.

 Sebaliknya rakan senegara, Azlan Shah Kamaruzaman yang lebih menonjol pada permulaan musim sebelum juara tahun 2013 itu terbabit kemalangan dan mengalami kecederaan menyebabkannya gagal untuk mengekalkan momentum terbaik pada beberapa pusingan lepas. Keputusan konsisten meraih dua gelaran juara dan lima penamat di podium sepanjang lima pusingan lepas membantu Zaqhwan untuk mendahului kedudukan keseluruhan dengan 138 mata, namun dicabar rapat Yuki Ito dan Taiga Hada yang mengekori rapat dengan 134 mata. “Berdasarkan keputusan lepas, jentera Kawasaki dan Yamaha lebih laju ketika di laluan lurus dan memberi mereka banyak kelebihan di Buriram. Saya dan pasukan perlu mendapatkan pelarasan terbaik dan merencana strategi serta pemilihan tayar tepat yang akan memain peranan besar pada perlumbaan minggu ini,” jelas Zaqhwan.

Kedudukan Keseluruhan SuperSports 600cc
1 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) MUSASHi Boon Siew Honda Racing 138 mata
2 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing 134 mata
3 Taiga Hada (JPN) RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 134 mata
4 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 128 mata
5 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 110 mata

Kedudukan Keseluruhan Pasukan SuperSports 600cc
1 Manual Tech KYT Kawasaki Racing 155 mata
2 MUSASHi Boon Siew Honda Racing 146 mata
3 RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 140 mata
4 Yamaha Racing 140 mata
5 Yamaha Thailand Racing Team 115 mata