Azlan Shah Kamaruzaman mengesahkan gelaran selaku Juara Asia masing sebaik Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu (ARRC) musim 2017 melabuhkan tirai di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand semalam.
Azlan yang beraksi untuk musim kedua bersama Manual Tech KYT Kawasaki Racing merekodkan gelaran keduanya dalam kelas SuperSports 600cc ARRC selepas menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga untuk mengumpul 155 mata keseluruhan, hanya dua mata mengatasi rakan senegara, Mohd Zaqhwan Zaidi (Musashi Boon Siew Honda Racing).
Azlan bermula dengan baik dari petak keempat untuk bersaing dalam kelompok empat pelumba bersama-sama Chalermpol Polaimai, Anthony West dan Thitipong Warokorn manakala Apiwat Wongthananon bersendirian mendahului perlumbaan sehingga ke garisan penamat.
Selepas berada di kedudukan keempat pada satu ketika, Azlan terpaksa mengerah jentera pada saat akhir untuk menamatkan perlumbaan di kedudukan ketiga dengan masa keseluruhan 29’59.060s manakala Apiwat muncul juara dengan masa keseluruhan 29’53.158s. West menamatkan perlumbaan di kedudukan kedua, 29’55.549s.
“Pasukan kami bekerja keras sepanjang malam untuk menyiapkan jentera saya selepas prestasi tidak begitu baik sewaktu perlumbaan pertama semalam. Saya berterima kasih kerana mereka tidak berputus asa dan sentiasa menyediakan yang terbaik untuk saya,” jelas juara musim 2013 itu.
Tambahnya, “Dari awal perlumbaan saya tahu yang saya perlu menamatkan perlumbaan di kedudukan terbaik. Pada masa sama juga saya perlu menjaga tayar saya sehingga ke penamat. Strategi saya berjaya dan membantu untuk memintas Chalermpol pada pusingan terakhir,” jelas Azlan yang turut membantu pasukan Kawasaki muncul pasukan terbaik selepas kali terakhir mereka memenangi pada tahun 2011.
Penamat di tangga ketujuh meletakkan Zaqhwan sebagai naib juara keseluruhan dengan 153 mata manakala Taiga Hada (RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10) yang tamat di kedudukan kelapan di tangga ketiga keseluruhan dengan 149 mata.
KEPUTUSAN
SUPERSPORTS 600CC
1 Apiwat Wongthananon (THA) Yamaha Thailand Racing TEAM 29:53.158s
2 Anthony West (AUS) Akeno Speed Racing 29:55.549s
3 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 29:59.060s
4 Chalermpol Polaimai (THA) Yamaha Thailand Racing Team 29:59.543s
5 Thitipong Warokorn (THA) Kawasaki Thailand Racing Team 29:59.656s
Kedudukan Keseluruhan Individu
1 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 155 mata
2 Md Zaqhwan Zaidi (MAS) MUSASHi Boon Siew Honda Racing 153 mata
3 Taiga Hada (JPN) RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 149 mata
4 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing 141 mata
1 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 125 mata
Kedudukan Keseluruhan Pasukan
1 Manual Tech KYT Kawasaki Racing (Kawasaki) 182 mata
2 Yamaha Thailand Racing Team (Yamaha) 165 mata
3 MUSASHi Boon Siew Honda Racing (Honda) 161 mata
4 RAMA Honda by NTS T.Pro Ten 10 (Honda) 155 mata
5 Yamaha Racing (Yamaha) 151 mata