Yamaha Xmax 250 kan jadi perintis?

Pra-tonton Yamaha X-Max 250 untuk pasaran tempatan telah diadakan bersempena pelancaran Yamaha MT09 2018 pada 12 Januari 2018 lepas oleh HONG Leong Yamaha Motor (HLYM). Skuter menarik ini akan muncul dalam pasaran bermula Mac ini, dan belum ada gambaran harga yang diberikan secara rasmi, namun diyakinkan tentunya akan kompetitif dengan pesaing yang ada di pasaran sekarang.
Langkah untuk memasarkan model 250 cc tentunya memudahkan peminat skuter mahupun peminat baharu untuk menaiktaraf skuter atau moped mereka tanpa perlu meningkatkan lesen memandu mereka.

Setakat ini sebenarnya belum ada butiran rasmi yang diberikan mahupun diumumkan bagi jentera pemasangan tempatan ini, tetapi dijangka bahawa X-Max 250 keluaran Indonesia ini akan dilengkapi enjin 4-lejang 249cc SOHC sejejukan cecair yang mempu menghasilkan kuasa 20 hp pada 7,500 rpm dan tork sekitar 21Nm pada 6,000 rpm, menggunakan sistem transmisi V-Belt Automatik.
Pelananya amat selesa pada ketinggian 785mm bagi membolehkan ia nya diimbangkan dengan mudah di hentian lampu isyarat, disamping menyembunyikan ruang simpanan yang cukup luas untuk dua buah topi keledar.

Di pasaran Eropah, warna kelabu turut ditawarkan bagi skuter menarik ini. Mungkin di sini ia bakal ditawarkan dalam dua warna yang dipertontonkan iaitu putih dan merah hati (yang kelihatan sedikit keperangan) dan ia nya turut dilengkapi ciri brek anti-kunci ABS sebagai peralatan standard. Walaupun ini mungkin memberikan sedikit kesan kepada peningkatan harga, namun ia adalah ciri yang dirasakan amat penting bagi jentera beroda kecil sepertinya. Tayar hadapannya bersaiz 120/70 R15 manakala tayar belakangnya pula bersaiz 140/70 R14. Lebih diharapkan lagi, apakah mungkin bahawa Yamaha akan menawarkan sistem kawalan cengkaman bagi skuter X-Max 250 yang mempunyai dimensi 2160mm panjang, 790mm lebar dan setinggi 1,337 mm ini?
Seperti Yamaha NVX, skuter ini turut menggunapakai unit kunci pintar yang dipanggil Sistem Smart Key Keyless Ignition bagi penghidupan tanpa kunci, dan dilengkapi fungsi pelumpuhan enjin atau immobiliser. Unit lampu utama LED berada di depan kluster meter paduan paparan digital dan analog.  Soket mengecas turut dibekalkan pada skuter terbaharu ini.

Butiran rasmi akan kami berikan apabila ia nya diperolehi kelak menjelang pelancarannya pada Mac ini, namun mungkin ramai yang sudah mula merancang untuk membuat tempahan bagi skuter yang dijangka akan mendapat sambutan di negara ini. Apakah anda setuju bahawa harga di bawah RM24,000 mungkin berbaloi bagi skuter peringkat pertengahan berjenama ini....?



















No comments: