Monster Yamaha Tech 3 secara rasminya telah mengesahkan Hafizh Syahrin akan menggantikan Jonas Folger dalam kejohanan MotoGP musim ini. Kini secara rasminya Malaysia telah menengahkan pelumba MotoGPnya yang pertama selepas Hafizh Syahrin mengambilalih tugasan tersebut dari Jonas Folger dalam pasukan Monster Yamaha Tech 3.
Folger terlepas empat pusingan akhir musim lalu kerana menghadapi isu keletihan yang teruk dan walaupun pemulihannya dilaporkan positif, beliau tiba-tiba menarik diri dari musim 2018 pada malam sebelum ujian pra musim di Sepang pada bulan Januari lepas.
Hafizh Syahrin kelihatan amat yakin ketika menamatkan ujian untuk pasukan tersebut di Buriram, Thailand, dan telah berjaya mengatasi tiga pelumba pada hari terakhir ujian, bagi mengesahkan kontraknya dengan Tech3 bagi musim 2018.
"Saya sangat gembira selepas menerima berita bahawa saya akan berlumba untuk Monster Yamaha Tech3 pada 2018," kata Syahrin.
"Saya banyak belajar pada tiga hari ujian yang sangat menarik dan hebat di Buriram, dan saya ingin mengucapkan terima kasih kepada krew saya sekali lagi, terutamanya Nico dan Maxime, tetapi juga Johann dan Laurent untuk nasihat mereka. Dalam masa yang singkat, saya benar-benar belajar untuk mengawal sepenuhnya motosikal MotoGP.
"Saya akan cuba melakukan yang terbaik dan akan memberikan sepenuh usaha saya pada tahun ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Hervé, Yamaha Motor Corporation, Monster dan seluruh pasukan Tech3 kerana mempercayai saya dan memberi saya peluang hebat ini untuk bersaing dalam musim penuh di MotoGP .
"Terima kasih kepada keluarga saya, yang sentiasa menyokong saya untuk membuat impian ini menjadi kenyataan, terutamanya ayah saya, dan terima kasih kepada peminat saya dan sudah tentu kepada Dato' Razlan. Saya tidak sabar untuk menjalani ujian lagi di Qatar dan saya akan menjadi lebih bermotivasi, dan sejujurnya saya tidak sabar untuk memulakan musim ini.
Hafizh kini mengambil alih jentera M1 yang sangat kompetitif pasukan satelit Yamaha itu, selepas penyertaan empat musim penuh dan tiga podium dalam kategori Moto2. Dua podium terakhir Hafizh diraih dalam enam perlumbaan terakhir 2017, dan yang satu lagi ketika muncul sebagai peserta wildcard di Sepang pada tahun 2012, berikutan pembatalan keputusan untuk Anthony West.
Pelumba Malaysia berusia 23 tahun dirancang untuk beraksi bagi pasukan Litar Sepang dalam kelas pertengahan musim ini tetapi kini telah digantikan oleh seorang lagi pelumba kebangsaan iaitu Zulfahmi Khairuddin. Sepang telah lama mencari bintang tempatan dalam kelas perdana, dan Ketua Pegawai Eksekutif Dato' Razlan Razali memberi sokongan sepenuhnya kepada langkah Syahrin.
"Ujian di Buriram baru-baru ini mengesahkan segalanya untuk Hafizh," kata Razlan. "Pengumuman rasmi bahawa Hafizh akan bersaing dalam musim penuh dengan pasukan Monster Yamaha Tech3 adalah pencapaian terbesar bagi pelumba Malaysia selepas lebih daripada 26 tahun lamanya Malaysia menjadi tuan rumah untuk MotoGP.
"Ini juga merupakan berita yang hebat bagi rantau Asia, dan saya harus berterima kasih kepada Hervé Poncharal untuk peluang ini dan keyakinannya terhadap Hafizh. Kami sekarang akan menyerahkan Hafizh kepaanya dalam penjagaan yang baik dan berkembang menjadi lebih baik, berdaya saing dan melengkapkannya sebagai Pelumba MotoGP. "
"Saya sangat gembira untuk mengumumkan bahawa Hafizh Syahrin akan menjadi pelumba Yamaha Tech3 kedua di samping Johann Zarco," tambah bos pasukan Yamaha Tech3, Herve Poncharal. "Semuanya sukar sejak kita mendapat tahu berkenaan masalah Jonas Folger, malangnya dia memutuskan untuk tidak berlumba pada musim 2018 untuk menjaga kesihatannya dan cuba pulih sepenuhnya. Ia telah menjadi proses yang panjang untuk mencari seseorang pelumba, dan siapa yang boleh menjadi pengganti.
"Di Sepang saya bertemu dengan Razlan Razali, dan kami hanya berbual dan timbul beberapa idea gila, yang kadangkala berubah menjadi hasil yang terbaik. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Razlan Razali atas semangatnya, usaha tenaganya dan penglibatan beliau dalam perlumbaan MotoGP dan untuk sukan bermotor secara umum, ditambah pula dengan menyokong Hafizh Syahrin untuk memanjat langkah terakhir ke kelas perdana.
"Kami perlu meyakinkan semua orang di sekeliling kami, bahawa Hafizh akan menjadi pelumba MotoGP yang baik, oleh kerana itu, kami harus memberi tugasan yang sukar dalam tiga hari ujian di Buriram. Akhirnya, dia melakukan kerja yang luar biasa, dia memenuhi misi itu. Yamaha amat gembira dengan prestasinya dan seluruh pasukan Tech3 juga turut gembira.
"Saya amat berbesar hati dan bangga memberikannya peluang ini dan saya tahu ini akan menjadi sesuatu yang bersejarah, kerana ini kali pertama seorang pelumba Malaysia berlumba musim penuh dengan motosikal MotoGP dan kami tahu betapa popularnya sukan ini di dunia sebelah sini.
"Saya ingin memberitahu Hafizh: Selamat datang di keluarga kami! Kami akan menjaga anda seperti anak kami dan saya pasti kata akan mempunyai musim yang hebat. Anda boleh belajar dari pasukan ini, dan juga dari Johann dengan penglibatan anda. Saya tidak sabar untuk berada di Qatar dengan anda di atas jentera kami. "
Kini akan ada satu lagi ujian pra-musim di Qatar, sebelum perlumbaan bermula di litar Losail yang sama pada 18 Mac kelak.
Hafizh Syahrin Abdullah menjadi topik sensasi negara apabila secara rasminya diumumkan sebagai pelumba bagi pasukan Monster Yamaha Tech 3 sekaligus memahat nama selaku pelumba Malaysia dan Asia Tenggara pertama yang beraksi dalam kelas MotoGP di pentas Kejuaraan Grand Prix Motosikal Dunia.
Memulakan aksi profesional secara kompetitif seawal usia 13 tahun dalam perlumbaan satu pengeluar yang dijalankan oleh Yamaha, pelumba berusia 24 tahun itu terus membuktikan keupayaan luar biasa apabila mendominasi perlumbaan tempatan dan antarabangsa. Bersama pasukan Raceline kendalian Barry Leong, Hafizh kemudian mencatat nama sebagai juara keseluruhan termuda bagi siri kelas Novis dan CP130 di Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS diikuti pelbagai kejayaan di peringkat antarabangsa seperti di Kejuaraan Motosikal Asia, Australia, Sepanyol sebelum melangkah ke pentas MotoGP.
Pencapaian Hafizh selama 10 tahun sejak pembabitan secara profesional dalam arena permotoran negara sehingga ke hari ini merupakan antara contoh di mana tidak ada jalan pintas untuk berjaya. Proses membangunkan seseorang atlet memerlukan masa dan sokongan pelbagai pihak dan tidak boleh dicapai dalam sekelip mata dimana perjalanan karier Hafizh dibantu dengan sokongan Program Pembangunan Bakat PETRONAS.
No comments:
Post a Comment