Pelumba muda negara, Kasma Daniel Kasmayuddin sudah bersedia
untuk menghadapi saingan lebih mencabar apabila bakal beraksi buat pertama kali
dalam musim penuh kelas SuperSports 600cc Kejuaraan Motosikal Asia Idemitsu bermula
di Litar Antarabangsa Chang, Buriram, Thailand, hari ini.
Juara CP150 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2017 itu
sebelum ini pernah beraksi dalam kelas Asia Production 250cc pada tahun 2016 sebelum
beralih ke saingan Moto3 Kejuaraan Remaja Dunia di Sepanyol pada musim lepas.
Pada musim ini, pelumba berusia 18 tahun itu kembali ke arena ARRC bersama pasukan Hong Leong Yamaha Malaysia dan bergandingan bersama
Mohd Ramdan Mohd Rosli.
“Saingan kelas ini memang cukup mencabar. Selain jentera
yang lebih berat dan laju, kami pelumba-pelumba rookie perlu berhadapan dengan
pelumba handalan lain seperti juara bertahan, Azlan Shah kamaruzaman, Zaqhwan
Zaidi dan ramai lagi,” jelas Kasma.
Mengulas tentang aksi dua hari ujian pra-musim, Kasma
berkata, “Saya agak berpuas hati dengan catatan masa sepanjang sesi ujian.
Catatan masa saya lebih semakin baik dalam setiap sesi dan menamatkan dua hari
ujian dengan masa terbaik 1’40.047s, hanya 1.356s berbanding catatan terpantas
Azlan. Keputusan agak positif namun masih banyak ruang untuk dipertingkatkan
dan saya berharap segalanya akan bertambah baik apabila perlumbaan bermula
esok.”
Kasma pernah beraksi atas tiket wildcard
kelas SuperSports 600cc pada pusingan keempat di Indonesia dengan pencapaian
terbaik menamatkan perlumbaan di tempat kelima dalam Perlumbaan 2.
No comments:
Post a Comment