Salah satu topik yang paling banyak dibahaskan di kalangan penunggang adalah persoalan mengenai konfigurasi enjin motosikal yang paling sempurna untuk penunggang jalanan. Namun memang tidak dapat dinafikan bahawa ramai yang akan bersetuju, walaupun dengan berat hati, bahawa konfigurasi enjin tiga-silinder adalah sesuatu yang berlainan dan amat menarik.
Yamaha menghargai hakikat ini dan membekalkan jentera MT-09 ini dengan enjin 850 cc tiga-silinder dengan tork yang tinggi, berbekalkan kuasa 115hp yang berdaya 87,5 Nm sebagai jentera prestasi generasi baru yang direka untuk penunggang yang menghargai pecutan cemerlang. Ia menghasilkan daya kilas atau tork yang sekata atau linear bagi memberi pecutan penuh sensasi bagi memuncakkan aliran adrenalin ke jantung anda. Ia dikawal pendikit kawalan-dengan-wayar (fly-by-wire) dengan 3 mod menunggang, walaupun ramai pada mulanya mungkin mendapati dua mod awal adalah agak tangkas dan agresif untuk keselesaan menunggang dalam bandar, dan memerlukan sedikit penyesuaian diri.
MT-09 ini didatangkan dengan casis yang padat bagi mendapatkan gabungan konsep keseluruhan yang segar sebagai sebuah motosikal sports. Tangkas dikendalikan, motosikal dinamik gaya motard ini dilengkapi dengan casis aluminium padat dan kedudukan menunggang tegak yang memudahkan tunggang harian dalam bandar mahupun tunggangan bebas santai mahupun tangkas pada hujung minggu.
Suspensi hadapannya kini bolehlaras sepenuhnya, dan sistem breknya kini dilengkapi ABS sebagai peralatan standard. Gantungan belakang monocross dengan penyerap-kejutan mendatar boleh disesuaikan dengan pelarasan mekanikal pra-bebanan spring yang maksimum untuk mengelakkan bahagian belakang dari membuai pada kelajuan tinggi.
Kotak gear nya kini dilengkapi dengan cekam atau klac gelincir dan berbantu (assisted & slipper clutch ASC) yang mengurangkan daya usaha yang diperlukan untuk operasi tuil klac, dan menghalang gelinciran roda belakang semasa penurunan gear yang mendadak. Selain turut dilengkapi kawalan daya cengkaman (traction control), ia juga kini dilengkapi pengalih gear tangkas (quickshifter), bagi memudahkan dan mempecepatkan peralihan gear dua dan ke atas selepas 2,500 rpm.
Yamaha MT-09 ini diringankan dengan penggunaan kerangka aluminium tetuang CF yang nipis dan ringan, piston aluminium tempaan dan rim aloi ringan 10-jejari yang bergaya. Tidak hairanlah MT-09 adalah se ringan itu, dan ini secara efektif akan menyumbang secara positif kepada nisbah kuasa-ke-berat dan meningkatkan kecekapannya.
Kedatangan MT-09 merupakan lebih daripada sekadar lembaran baru dalam evolusi Yamaha. Ia adalah gelombang siri jentera 3-silinder motard yang menawarkan alternatif baru yang menarik untuk penunggang yang memahami keluk tork bermakna.
Model 2018 ini dilengkapi lampu utama LED dari jenis projektor yang menyerupai lampu MT-10. Lampu belakangnya juga kini dari jenis LED yang disusun dalam dua baris.
Dua warna awal bagi 2018 iaitu kelabu Night Fluo dan hitam Tech Black ditawarkan dalam tahun ini pada harga RM47,388 termasuk GST. Jika dikira peningkatan yang telah dilakukan pada model 2018 ini, iaitu suspensi hadapan bolehlaras, serta brek antikunci ABS, kawalan daya cengkaman (traction control) dan pengalih gear tangkas (quickshifter) sebagai peralatan standard, yang mana kesemua ini benar benar memberikan lebih nilai dengan harganya yang tidak banyak naik berbanding model terdahulu.
SPESIFIKASI
ENJIN 3-Silinder, 4-lejang, sejukan Cecair, DOHC, 4-injap
SESARAN 847 cc
GEREK X LEJANG 78.0 mmX 59.1 mm
NISBAH MAMPATAN 11.5: 1
KUASA MAKSIMA 115hp (84.6 kW) @ 10,000 rpm
TORK MAKSIMA 87.5 Nm (8.9 kg-m) @ 8,500 rpm
SISTEM LUBRIKASI Wet Sump
KLAC Berbilang, basah
SUAPAN Suntikan Bahan Api
NYALAAN TCI
PENGHIDUP Elektrik
KOTAK GEAR 6-kelajuan
HANTARAN AKHIR Rantai
KERANGKA Bentuk permata
SUSPENSI HADAPAN Tupang teleskopik kembar, pergerakan 137 mm
SUDUT CAPAI 25 °
SUSPENSI BELAKANG Lenganayun berhubung
PERGERAKAN SUSPENSI BELAKANG 130 mm
BREK HADAPAN Cakera kembar Ø 298 mm
BREK BELAKANG Cakera tunggal Ø 245 mm
TAYAR HADAPAN 120 / 70ZR17 M / C (58W) (Tubeless)
TAYAR BELAKANG 180 / 55ZR17 M / C (73W) (Tubeless)
PANJANG 2.075 mm
LEBAR 815 mm
TINGGI 1.120 mm
TINGGI PELANA 820 mm
TAPAK RODA 1.440 mm
KELEGAAN BUMI 135 mm
BERAT BASAH 193 KG bahanapi penuh
KAPASITI TANGKI BAHANAPI 14 L
JUMLAH MINYAK PELINCIR 3.4 L
No comments:
Post a Comment