Terpantas pada sesi kelayakan pada hari pertama Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang berlangsung di Litar Lumba Tangkak, Johor, juara bertahan Kasma Daniel Kasmayuddin terus membuktikan kehebatannya apabila mengungguli perlumbaan pertama musim ke-25 ini semalam.
Kasma pada awalnya dikejutkan oleh pelumba rookie dan juara CP115 musim lepas iaitu Mohd Akid Aziz yang mencatat masa terpantas ketika sesi Superpole dan seterusnya memulakan perlumbaan dari petak pertama. Namun beliau gagal mengekang kehebatan Kasma yang segera memintasnya sebaik terpadamnya lampu merah, malah gagal menamatkan pusingan pertama perlumbaan apabila menghadapi masalah teknikal.
Kasma memimpin perlumbaan dari awal lagi sehingga ke garisan penamat dan diekori rapat dua pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha CKJ, Ahmad Afif Amran dan Mohd Hafiz Nor Azman. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu akhirnya menyempurnakan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 14:54.984s dengan diikuti Afif dengan catatan masa 14:55.266s manakala Hafiz meraih podium pertamanya dalam kelas perdana di tangga ketiga dengan masa 15:01.124s.
Kasma mengakui bahawa beliau terpaksa bekerja keras untuk mengekalkan kedudukan pada penghujung perlumbaan kerana berhadapan dengan saingan sengit dari Afif. Namun begitu beliau berjaya menutup segala ruang bagi mengekang cabaran Afif untuk memintas.
Dalam saingan CP115, Tengku Amirul Haffirudin (Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing) memulakan musim 2018 dengan cemerlang setelah muncul juara dengan masa keseluruhan 11:45.056s. Ahmad Syukran Aizat (PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ) di kedudukan kedua dengan masa 11:48.459s diikuti Md Haziq Md Fairues (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) ketiga, 11:49.814s.
Sementara itu dalam kategori WIRA KBS, kemenangan menjadi milik duo SIC Junior Team AFB Tech Racing, Md Danial Syahmi dan Md Harith Haziq dengan masa keseluruhan 10:27.747s dan 10:28.421s. Tempat ketiga milik Alif Ashraf Tahiruddin (PETRONAS Sprinta Yamaha) ketiga dengan masa 10:29.866s.
Menteri Belia dan Sukan Malaysia, Khairy Jamaluddin Abu Bakar turut hadir bagi merasmikan sambutan ulangtahun ke-25 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS dan pembukaan Litar Lumba Tangkak.
CP150
1 Kasma Daniel Kasmayuddin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 14:54.984s
2 Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 14:55.266s
3 Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 15:01.124s
4 Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15:01.350s
5 Md Adib Rosley (SGR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 15:09.121s
CP115
1 Tengku Amirul Haffirudin (TRG) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:45.056s
2. Ahmad Syukran Aizat (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha-CKJ 11:48.459s
3. Md Haziq Md Fairues (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 11:49.814s
4. Md Fareez Afeez (JHR) Motul Zeneos Yamaha YY Pang Racing 11:50.054s
5. Nazirul Izzat Md Bahauddin (MLK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 11:55.567s
WIRA KBS
1. Danial Syahmi (PRK) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:27.747s
2. Harith Haziq (SGR) SIC Junior Team AFB Tech Racing 10:28.421s
3. Alif Ashraf Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha 10:29.866s
4. Fadlyshah Redzuan (SGR) Idemitsu Kozi Yam Honda Racing 10:34.911s
5. Daniel Fahim (PNG) Sic Junior Team AFB Tech Racing 10:39.437s
No comments:
Post a Comment