MODENAS Dominar 400 sports tourer dilancar

 MODENAS Dominar D400 kini tampil sebagai motosikal besar pertama Motosikal dan Enjin Nasional Sdn Bhd (MODENAS) yang dinanti-nantikan sejak dua dekad lepas. Pelancaran motosikal sports tourer Dominar D400 mengembalikan segmen sports touring ke dalam jenama MODENAS seperti model Jaguh yang popular di tahun 1999.
 Dominar D400 dikuasakan enjin satu selinder empat injap sejukan cecair 373 cc dengan sistem nyalaan digital tiga percikan (DTS-i) dan suapan pancitan bahan api bagi menghasilkan kuasa maksimum 35 hp pada 8,000 rpm.

Berasaskan motosikal 400 cc antara yang terbaik di India keluaran Bajaj, sejumlah 35 Nm tork tersedia, dengan 28 Nm darinya didapati seawal 3,000 rpm, bagi menawarkan tunggangan lancar dan berkuasa.
Kuasa enjin ini disalurkan melalui transmisi enam kelajuan yang dikawal cekam atau klac gelincir (slipper clutch) dan ia juga dilengkapi dengan ABS dwi-saluran untuk memberikan prestasi, pengendalian dan keselamatan yang terbaik. Sistem suspensi terdiri daripada topang teleskopik 43mm hadapan dan penyerap kejutan tunggal boleh laras berbilang peringkat di belakang untuk tunggangan yang sporty. Keseluruhan pakej ini seberat 182 kg dan berbekalkan bahan api sebanyak 13 liter, bagi membuatkannya sesuai untuk pecutan jarak pendek dan juga pengembaraan jarak jauh.

Ia menawarkan gabungan kuasa yang mantap untuk pecutan pendek dan perjalanan enjin yang lancar untuk pengembaraan jarak jauh. Motosikal ini merupakan sports tourer lengkap yang memiliki reka bentuk dan kedudukan postur yang meningkatkan lagi pengalaman menunggang.
Sekali lagi MODENAS telah mengejutkan pasaran dengan mengumumkan harga mampu milik yang amat kreatif pada RM13,788.00 sebagai harga asas.

Ketua Pegawai Eksekutif – Pengagihan Automotif, Pertahanan, Pembuatan & Kejuruteraan, DRB-HICOM Berhad, Dato’ Abdul Harith Abdullah yakin Dominar D400 mampu menarik minat rakyat Malaysia menerusi reka bentuk yang moden dan berbeza serta harga yang kompetitif, menjadikan motosikal ini paling sesuai untuk kegunaan kerja harian dan motosikal pengembaraan pada hujung minggu.

“Permintaan terhadap motosikal street dijangka meningkat kerana semakin ramai belia yang memilih gaya hidup pantas untuk dinikmati. Kejayaan Pulsar dan V15 di pasaran tempatan telah mengukuhkan lagi kepercayaan kami bahawa madanya telah tiba untuk memperkenalkan produk baharu yang sudah tentu akan meningkatkan pengalaman menunggang motosikal di kalangan peminat motosikal di Malaysia,” kata beliau.

Naib Presiden Bajaj Auto Limited, Dinesh Kulkarni pula berkata bahawa Dominar D400 dibina untuk memberikan pengalaman pengembaraan yang hebat dan bilangan pemilik yang berpuas hati dengan motosikal ini kini semakin bertambah di seluruh dunia; dari Amerika Latin dan Eropah hingga ke Asia Selatan dan kini di Asia Tenggara.

“Baru-baru ini, motosikal Dominar D400 telah berjaya menamatkan salah satu daripada perjalanan motosikal paling jauh, Trans-Siberian Odyssey meliputi 15,000 km dalam masa 53 hari. Perjalanan dari Uzbekistan ke Rusia dan merentasi enam buah negara telah berjaya ditamatkan tanpa sebarang kerosakan. Ini membuktikan tahap keselesaan dan kuasa motosikal serta kehebatannya
sebagai sebuah sports tourer yang sebenar,” tambah beliau.
MODENAS Dominar D400 merupakan produk keempat dalam segmen motosikal jalan raya hasil kejayaan kerjasama antara syarikat dengan Bajaj. Motosikal jalanan jenis “naked” Pulsar NS200, motosikal lumba RS200 dan motosikal retro V15 telah menyaksikan gabungan jualan melebihi 4,500 buah unit sejak dilancarkan pada Mei 2017. Ini membolehkan MODENAS menawan 23% daripada bahagian pasaran segmen motosikal jalanan 250 cc dan ke bawah. Dalam tahun kewangan 2017/18, MODENAS telah berjaya menjual lebih daripada 41,800 unit motosikal iaitu peningkatan sebanyak 47% berbanding tahun kewangan 2016/17.




No comments: