#25 Azlan Shah gagal kekal rentak

Selepas aksi cemerlang pada Perlumbaan 1, aksi pelumba negara sedikit tenggelam apabila hanya satu podium diraih pada hari ketiga Pusingan 3 Kejuaraan Motosikal Asia FIM di Litar Suzuka, Jepun, hari ini.

Dalam saingan SuperSports 600cc, Azlan Shah Kamaruzaman yang memenangi Perlumbaan 1, semalam gagal meneruskan rentak apabila terpaksa berpuas hati di kedudukan kelima dengan masa keseluruhan 22’22.477s.

“Saya sudah mencuba yang terbaik namun sedikit kesilapan kami terhadap pelarasan jentera memusnahkan impian untuk mengulangi pencapaian podium semalam,” jelas pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu.

“Kami menggunakan pelarasan yang serupa dengan semalam dan ia terbukti baik ketika sesi latihan sebelah pagi. Malangnya cuaca sewaktu perlumbaan agak sejuk, berbeza dengan cuaca panas semalam dan menyebabkan kuasa enjin saya berkurangan, sama seperti rakan sepasukan saya, Ahmad Yudhistira.”

Perlumbaan dimenangi pelumba Australia, Anthony West (Webike Ikazuchi Racing) dengan masa keseluruhan 22’22.002s manakala Keminth Kubo (Yamaha Racing Team Asean) meraih podium pertamanya dalam kelas perdana dengan masa 22’22.379s. Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira lebih bernasib baik apabila berjaya menamatkan perlumbaan di tangga ketiga dengan masa keseluruhan 22’22.408s.

Gelaran juara meletakkan West kembali ke tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan mengumpul 86 mata manakala Azlan jatuh ke tangga kedua dengan 74 mata. Yuki Ito (Yamaha Racing Asean) yang menamatkan saingan di tempat keempat berada di tangga ketiga dengan 68 mata.
KEPUTUSAN PERLUMBAAN 2
SS600
1 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 22'22.002s
2 Keminth Kubo (THA) YAMAHA Racing Team ASEAN 22'22.379s
3 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 22'22.408s
4 Yuki Ito (JPN) YAMAHA Racing Team ASEAN 22'22.435s
5 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 22'22.477s

Kedudukan Keseluruhan
1 Anthony West (AUS) Webike IKAZUCHI Racing 86 mata
2 Azlan Shah Kamaruzaman (MAS) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 74 mata
3 Yuki Ito (JPN) Yamaha Racing Asean 68 mata
4 Keminth Kubo (THA) Yamaha Racing Asean 57 mata
5 Ahmad Yudhistira (INA) Manual Tech KYT Kawasaki Racing 52 mata

No comments: