#99 Lorenzo kembali ke Yamaha musim 2019?


Pengarah Urusan MotoGP Movistar Yamaha, Lin Jarvis telah ditemuramah oleh Sky Sports Italia menjelang Gran Premio d'Italia Oakley untuk mengulas sedikit tentang masa depan bekas pelumba Yamaha di Kejohanan Dunia, Jorge Lorenzo yang kini bersama Pasukan Ducati.

"Sukar untuk memahami apa yang akan berlaku dengan masa depan Lorenzo, tidak semestinya kerana dia tidak berada dalam situasi yang menyenangkan," jelas Jarvis. "Dia belum meninggalkan Ducati, setidak-tidaknya belum rasmi, walaupun ramai yang mengatakan perpisahan itu (antara Lorenzo dan Ducati) adalah satu kepastian. Jika anda telah bertanya soalan ini empat minggu yang lalu, saya akan memberitahu anda bahawa dia akan menyertai Suzuki, tetapi sekarang ini seolah-olah ianya hipotesis yang mustahil. Saya ulangi, dia berada dalam keadaan yang sangat sukar, kerana dia selalu menjadi penunggang pengeluar, penunggang rasmi dan dianggap asas sesebuah pasukan. "
Lin Jarvis
Jarvis turut membincangkan mengenai kemungkinan Juara Dunia lima kali ini meninggalkan paddock Grand Prix sama sekali. "Kita juga kurang pasti jika Jorge terus berlumba atau tidak. Kita perlu menunggu tapi seikhlasnya dia mungkin berhenti, kerana terdapat kemungkinan musim depan akan ada pengurangan empat atau lima jentera di MotoGP. "

Sesas-desus yang telah mengelilingi paddock baru-baru ini adalah angka 99 ini mungkin kembali ke pengeluar Jepun, tetapi dalam pasukan bebas. Bagaimanapun, oleh kerana tiada Pasukan Bebas rasmi yang diumumkan oleh Yamaha, atau sebarang pengesahan bahawa akan ada satu pasukan bebas pada musim depan, masa depan Lorenzo kekal sebagai salah satu topik perbincangan terbesar pada musim 2018.

Namun, adakah kita akan melihat nombor 99 pada jentera Yamaha pada tahun 2019? Jarvis berkata ia "boleh berlaku."

No comments: