Penamat mendebarkan di CP150 Cub Prix MAEPS

Ahmad Afif Amran mempamerkan aksi cukup bertenaga dan cukup dramatik sebelum berjaya menjuarai perlumbaan CP150 Pusingan 2 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 yang berakhir di Litar MAEPS, Serdang, Selangor, semalam.

Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ yang bermula dari petak ketiga mengerah seluruh tenaga jentera di selekoh terakhir dan bersaing sengit sehingga ke garisan penamat berjaya menamatkan 20 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 15’52.716s, hanya berkelebihan 0.028s berbanding Mohd Akid Aziz (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor).

 Akid yang menguasai hampir keseluruhan perlumbaan terpaksa berpuas hati di kedudukan kedua dengan masa 15’52.744s manakala rakan sepasukan, Kasma Daniel Kasmayudin di kedudukan ketiga dengan 15’55.635s.

“Saya memang menanti sehingga ke penghujung perlumbaan untuk cuba memintas Akid kerana yakin jentera saya mempunyai kelebihan. Selepas melihat ada ruang untuk memintas, saya tidak teragak-agak untuk melakukannya dan kami bersaing sengit sehingga ke garisan penamat,” jelas Afif yang kini naik ke tangga teratas keseluruhan dengan 45 mata. 
Akid (13) Kasma (27) dan Afif (50) bersaing sengit
 Tambahnya, "Saya gembira dengan kemenangan ini terutama setelah berjaya menewaskan Akid yang menguasai sepenuhnya kesemua sesi sepanjang dua hari perlumbaan minggu ini."

Kasma yang menamatkan perlumbaan di tempat ketiga berada di kedudukan kedua keseluruhan dengan 41 mata manakala rakan sepasukan Afif, Mohd Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 29 mata.


KEPUTUSAN
CP150
1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 15’52.716s
2. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15’52.744s
3. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 15’55.635s
4. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 15’56.625s
5. Md Aiman Tahiruddin (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 15’59.147s

Kedudukan Keseluruhan
 1. Ahmad Afif Amran (TRG) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 45 mata
2. Kasma Daniel Kasmayudin (JHR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 41 mata
3. Md Hafiz Nor Azman (PRK) PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ 29 mata
4. Md Ramdan Rosli (SGR) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 22 mata
5. Md Akid Aziz (KUL) PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor 20 mata

No comments: