Ahmad Fazli Sham yakin pasukannya OneXOX TKKR Racing Team akan
kembali bangkit dan memberikan saingan di kelompok hadapan pada perlumbaan
pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS 2018 di Litar MAEPS,
Serdang, Selangor, 7 dan 8 Julai ini.
Pelumba berpengalaman berusia 36 tahun yang beralih pasukan
pada musim 2018 itu sekadar menamatkan perlumbaan akhir CP150 di kedudukan
ke-10 sewaktu pusingan pembukaan di Tangkak manakala rakan sepasukan Md Khairul
Ikhwan Ajis di kedudukan ke-11 dan Md Hafiza Rofa gagal menamatkan perlumbaan.
Keputusan itu jelas berbeza berbanding musim 2017 dimana
Fazli menamatkan musim di kedudukan keempat keseluruhan dengan pencapaian
terbaik tiga kali muncul sebagai naib juara perlumbaan.
“Kami sudah mengenalpasti beberapa kelemahan dan kesilapan
perlumbaan lepas dan telah memperbaiki kelemahan tersebut. Beberapa ujian yang
dijalankan sebelum ini juga menunjukkan keputusan positif,” jelas juara kelas
Expert 2007 dan 2008 itu.
Tambah Fazli, “Walaupun baru bersama pasukan TKKR, saya
tidak mahu menjadikan ia sebagai alasan sebaliknya berharap dapat menggunakan
pengalaman saya untuk membantu pasukan menaiki podium. Musim 2017 pasukan ini
berjaya meraih satu podium di tangga ketiga, jadi kami berharap dapat meraih
keputusan lebih baik pada tahun ini bermula dengan perlumbaan di MAEPS.”
No comments:
Post a Comment