Helmi sedia gegar Cub Prix MAEPS


Pendahulu kedudukan keseluruhan Underbone 150cc di Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC), Mohd Helmi Azman kan hadir di pusingan kedua Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS yang akan berlangsung di MAEPS, Serdang, Selangor, 7 dan 8 Julai ini dengan berbekalkan semangat juara.

Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing itu telah mempamerkan aksi cemerlang di peringkat Asia setelah meraih dua gelaran juara dan satu naib juara sepanjang tiga pusingan ARRC yang telah berlangsung pada tahun ini.
Aksi pembukaan Kejuaraan Cub Prix di Litar Tangkak awal April lalu menyaksikan Helmi sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-19 manakala rakan sepasukan, Mohd Fakhrusy Syakirin Rostam menamatkan perlumbaan di kedudukan kesembilan.

“Banyak perbezaan diantara perlumbaan ARRC dan Cub Prix terutama dari segi litar yang digunakan. Begitu juga dengan pelarasan dan kawalan jentera. Tahun ini saya baru beralih pasukan dan sewaktu di Tangkak, saya masih dalam proses menyesuaikan diri dengan jentera. Selepas beberapa pusingan di Asia, saya semakin serasi dengan jentera Honda yang digunakan.

“Walaupun penamat yang sedikit mengecewakan sewaktu di Tangkak, saya yakin dapat mencapai keputusan lebih baik bersama rakan sepasukan yang lain. Saya meletakkan sasaran sekurang-kurangnya dapat layak ke Superpole,” jelas Helmi.

No comments: