Weststar Cilik Racing Team berdepan cabaran besar bagi menghadapi saingan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018. Pelumba mereka, Mohd Fitri Ashraff Razali, 24 tahun, akan menghadapi perlumbaan keduanya bersama pasukan baharu yang berada dalam barisan grid CP150 musim ini, menjelang saingan pusingan kedua di MAEPS, Serdang pada 7 dan 8 Julai ini. Beliau akan bergandingan bersama-sama Abd Muhaimin Roslan dan svtu lagi muka baharu, Muhammad Nazif Nor Samsol.
Pasukan yang dikendalikan oleh ayahnya, Razali Ahmad, Fitri menamatkan perlumbaan pertama di Litar Tangkak di tempat kelapan dan Nazif di tangga ke-13 manakala Abd Muhaimin gagal menamatkan perlumbaan.
“Cabaran musim ini sangat besar. Kami merupakan pasukan baharu dalam barisan grid CP150 jadi pastilah kami mempunyai banyak kekurangan terutama dari segi data untuk pelarasan jentera berbanding pasukan lain.” Fitri pernah menamatkan saingan kelas perdana di tangga ketiga keseluruhan pada musim 2015.
“Pada masa sama saya juga mempunyai dua tanggungjawab berbeza dalam pasukan. Selain menjadi pelumba, saya juga sedang belajar mengurus pasukan bersama-sama ayah sebagai persediaan musim-musim akan datang,” tambah Fitri yang tidak menolak kemungkinan akan menjadi pengendali pasukan seandainya tidak lagi bergelar pelumba pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment