Anthony West hampiri kejuaraan Asia 2018

Pemimpin kejuaraan SuperSports 600cc, Anthony West kini satu langkah lebih dekat untuk dinobatkan sebagai juara Asia 2018 setelah dia memenangi perlumbaan pertama di Madras Motor Race Track, India.

Pelumba Webike IKAZUCHI Racing tersebut memulakan perlumbaan 16 pusingan dari kedudukan petak pertama selepas mencatat rekod pusingan baharu dengan catatan masa 1'40.585s. Walaupun kelihatan agak gugup pada permulaan perlumbaan, West tidak lama kemudian berusaha untuk memastikan kemenangan dengan jumlah masa 27'35.304s. Ini merupakan kemenangan ketiga bagi pelumba Australia tersebut untuk musim ini dan telah memperluaskan jurang kelebihannya kepada 35 mata.


Laluan West ke kejuaraan Asia ini menjadi lebih mudah apabila pesaing utamanya mengalami kemalangan di Madras Motor Race Track. Azlan Shah Kamaruzaman terjatuh di Lap 7, dengan melibatkat pelumba Thai Decha Kraisart. Yuki Ito, seorang lagi pencabar West selesai ditempat kelapan.

Sementara itu, dua pelumba yang mengiringi West podium, Mohd Zaqhwan Zaidi yang menduduki tempat kedua dan Taiga Hada yang ketiga, tidak berada dalam kedudukan yang mampu mencabar kejuaraan tahun ini.

Dalam kelas Pengeluaran Asia 250cc, Mohd Hafiz Nor Azman dari pasukan CKJ Yamaha Racing merupakan pelumba terbaik Malaysia di tempat ketujuh. Kontinjen Indonesia menyapu bersih podium Race 1 dengan Rheza Danica Ahrens di tempat pertama, Mario Suryo Aji di tempat kedua dan Rey Ratukore di tempat ketiga.

No comments: