Mohd Helmi Azman berazam untuk menyekat menjulang
Honda dan menyekat dominasi Yamaha
daripada terus menguasai keseluruhan pentas podium saingan kelas CP150
pada perlumbaan pusingan kelima Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS
di Teluk Intan, Perak, hujung minggu ini.
Pelumba Hi-Rev Rapido SCK Honda Racing yang
juga merupakan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal
Asia (ARRC) ini mencipta kejutan
apabila berjaya mengungguli sesi Superpole pada pusingan lepas di Temerloh sekaligus
muncul pelumba Honda pertama melakukannya selepas kali terakhir dicatat oleh Mohd
Zaqhwan Zaidi sewaktu perlumbaan pertama kategori CP150 diperkenalkan pada Mac
2017.
Namun malangnya permulaan yang tidak begitu baik sekadar
menyaksikan Helmi sedikit ketinggalan dan menamatkan perlumbaan akhir di tempat
keempat yang juga merupakan pencapaian terbaiknya pada musim ini.
Helmi yang beralih ke jentera Honda pada musim ini terus
mempamer aksi konsisten dengan berada di kelompok enam pelumba terbaik
sepanjang tiga pusingan lepas dan kini menghuni tangga kelima keseluruhan
dengan mengumpul 34 mata.
“Apa yang ditunjukkan sewaktu di Temerloh menunjukkan kami
berada di landasan tepat ketika ini. Mungkin faktor litar juga banyak membantu jentera
kami mencapai tahap optimum, namun saya harap prestasi tersebut dapat
dikekalkan di Teluk Intan.
“Matlamat saya adalah untuk cuba mencari tempat di atas
podium yang pertama buat pasukan dan Honda serta menyekat dominasi
pelumba-pelumba dari pasukan yang menggunakan jentera Yamaha,” jelas Helmi yang
juga merupakan pendahulu keseluruhan kelas Underbone 150cc Kejuaraan Motosikal
Asia (ARRC).
No comments:
Post a Comment