Juara bertahan, Kasma Daniel Kasmayuddin akur saingan
Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS musim 2018 lebih mencabar dalam
usahanya untuk mempertahankan gelaran keseluruhan yang dimenangi pada musim
lepas. Pelumba PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor itu memulakan
musim 2018 dengan bergaya apabila muncul juara sewaktu pusingan pembukaan di
Tangkak, Johor namun terlepas gelaran juara kepada pendahulu ketika ini, Ahmad
Afif Amran yang memenangi kedua-dua perlumbaan akhir pada pusingan berikutnya.
Selepas tiga pusingan, Afif kini berada di tangga teratas
dengan 70 mata manakala Kasma di kedudukan kedua dengan 61 mata diikuti rakan
sepasukan Afif, Md Hafiz Nor Azman di kedudukan ketiga dengan 29 mata.
Menjelang perlumbaan pusingan keempat di Temerloh, Pahang
pada sabtu dan Ahad ini, Kasma mula mencongak strategi baharu untuk kembali
mendominasi perlumbaan sepertimana ketika meraih lima kemenangan daripada tujuh
perlumbaan akhir yang disertai pada tahun 2017.
“Persaingan pada musim ini sangat sengit jika dibandingkan
musim lepas. Pelumba dan pasukan lain sudah mula mendapat rentak mereka dan
mampu untuk menyaingi kelajuan jentera kami. Lihat sahaja bagaimana keupayaan
Afif untuk mengekori dan memintas saya pada perlumbaan lepas,” jelas Kasma. “Selain Afif, cabaran sengit juga datang daripada rakan
sepasukan, Md Akid Aziz dan juga Hafiz. Jika sebelum ini saya hanya cuba untuk
berada di depan dan menjarakkan diri sejauh mungkin dengan pelumba lain dari
awal perlumbaan, nampaknya saya perlu mengatur strategi lain juga selepas ini.”
No comments:
Post a Comment